Kita tidak jauh dari Kerajaan Tuhan

Sri Paus Pius mahu menjelaskan kepada para golongan anti-Gereja pada waktu itu bahawa Gereja tidak bergantung pada kuasa politik melainkan hanya pada Kristus Raja.

Nov 20, 2021

HARI RAYA BESAR KRISTUS RAJA
DANIEL 7:13-14
WAHYU 1:5-8 INJIL YOHANES 18:33-37

Menurut catatan sejarah Gereja, Hari Minggu Kristus Raja dimulakan oleh Sri Paus Pius ke 11 pada tahun 1925.

Sri Paus Pius mahu menjelaskan kepada para golongan anti-Gereja pada waktu itu bahawa Gereja tidak bergantung pada kuasa politik melainkan hanya pada Kristus Raja.

Memang sejak semula Gereja mengakui bahawa Kristus adalah satu-satunya Raja seperti yang dapat kita baca dalam Injil Mat 25:34-40.

Pada kesempatan ini sangat baik bagi kita untuk merenungi “kerajaan” yang bagaimana Yesus Kristus ini menjadi Rajanya. Ketika Pilatus bertanya Yesus yang tertuduh itu, apakah Dia memang seorang Raja, Dia menjawab “Ya” (Lih Yoh 6:14-15, 18:33-37). Tetapi pada masa yang sama Yesus menjelaskan bahawa Dia bukanlah jenis raja yang difikirkan oleh Pilatus dan orang-orang di sekitarnya pada waktu itu.

Takhta Yesus bukanlah di dunia ini, tetapi Dia bertakhta di hati setiap pengikut-Nya lalu meresapinya dengan nilai-nilai dan sikapsikap yang diingini oleh Tuhan, sehingga Paulus pernah mengatakan, “…aku hidup, tetapi bukan lagi aku sendiri yang hidup, melainkan Kristus yang hidup di dalam aku” (Gal 2:20).

Ini bererti bahawa campur tangan Tuhan secara aktif di dalam hati seseorang itu, menjadikan dia semakin sama dengan sifat-sifat Yesus sehingga Yesus berkenan menyapa kita dengan kata-kata, “…engkau tidak jauh dari Kerajaan Tuhan” (Mrk 12:34).

Yesus pernah juga berkata, “Bertobatlah sebab Kerajaan Tuhan sudah dekat” (Mat 3:2).

Melalui kata-kata ini nampaknya Yesus bukan menyuruh kita untuk mengubah keperibadian kita, misalnya, dari sikap pemalu menjadi berani, sikap keanak-anakan menjadi lebih dewasa.

Namun apa yang Dia kehendak adalah tranformasi nilai-nilai dalaman, sikap dan pendekatan kita terhadap hidup ini sendiri sesuai dengan ajaran-Nya.

Kerajaan Tuhan ditubuhkan melalui misteri kesengsaraan dan kebangkitan Kristus, tetapi penyempurnaannya yang terakhir akan terjadi apabila Dia datang kembali di dalam kemuliaan-Nya pada waktu penghakiman terakhir.

Maka bolehlah dikatakan bahawa Kerajaan Tuhan itu “Sudah datang” tetapi “Belum lagi.” Belum lagi menjadi kenyataan tetapi memang sudah ada.

Masa penantian di antara menaikkan Kristus ke syurga dan kedatangan-Nya kembali pada akhir zaman, bukanlah suatu masa untuk bersantai-santai atau membuang masa bagi para pengikutNya.

Sebaliknya pada masa inilah kita menghadapi cabaran untuk terus memantapkan kerajaan Kristus di dunia ini agar menjadi tempat yang selesa, aman dan damai dengan diwarnai oleh cinta kasih Kristus.

Untuk menjelaskan maksud penantian kedatangan Sang Raja Penyelamat ini, mungkin kisah dongeng berikut ini dapat membantu kita.

Alkisah ada seorang raja yang sangat bijaksana. Suatu hari raja tersebut memanggil empat orang puteranya dan memberi tahu mereka bahawa dia akan berpergian ke suatu tempat dalam tempoh yang lama. Sebelum pergi, raja itu memberi segenggam padi kepada setiap mereka tanpa memberi penjelasan untuk apa padi tersebut.

Putera yang sulung segera menyimpan padi tersebut di dalam kotak emas. Putera yang kedua jua berbuat demikian tetapi menyimpannya dalam peti kayu biasa. Putera yang ketiga pula tidak suka diganggu dengan perkara-perkara yang dianggapnya remeh lalu membuang padi itu kerana memikirkan ia tidak penting.

Manakala putera bongsu, merenung maksud padi itu dan kemudian menanamnya di ladang. Sementara putera yang bongsu Beberapa tahun kemudian raja kembali dan menghimpunkan keempat-empat orang anaknya. Hanya putera yang bongsu Berjaya memahami maksud pemberian sang raja. Putera bongsu telah menanam padi itu sehingga ia dapat dituai berkali-kali sehingga bapanya kembali!

Melalui cerita dongeng tersebut, kita sebagai pengikut Kristus, Sang Raja Penyelamat yang setia itu, tidak harus duduk dan berharap agar Raja kita melakukan segalanya untuk kita. Sebaliknya kita dipanggil untuk bekerja sama membangun Kerajaan Tuhan. Sebab apabila Dia datang kembali, Dia akan meminta setiap kita mempertanggung jawab segala perbuatan kita terhadap sesama dengan bakat-bakat yang sudah diberikan-nya kepada kita. — JL

Total Comments:0

Name
Email
Comments