Konflik, tidak akan selesai dengan senjata

“Saya memikirkan perang adalah sangat tidak masuk akal – gila! – di mana Ukraine yang terseksa adalah mangsa, begitu juga dengan Syria, Yaman dan Myanmar. Konflik ini tidak akan dapat diselesaikan melalui logik senjata melainkan melalui kekuatan kuasa dialog.”

Nov 18, 2022

Gambar yang diambil pada Sept 17 ini menunjukkan seorang kanak-kanak yang menjadi korban akibat serangan udara di sebuah sekolah di kotapraja Depeyin di wilayah Sagaing, barat laut Myanmar, sehari setelah serangan di desa tersebut oleh helikopter militer Myanmar. (Gambar: Ucanews)


TAKHTA SUCI: “Saya memikirkan perang adalah sangat tidak masuk akal – gila! – di mana Ukraine yang terseksa adalah mangsa, begitu juga dengan Syria, Yaman dan Myanmar. Konflik ini tidak akan dapat diselesaikan melalui logik senjata melainkan melalui kekuatan kuasa dialog.”

Sri Paus menegaskan bahawa penggunaan senjata untuk mewujudkan keamanan adalah idea kebudak-budakan!

Prelatus itu berkata demikian semasa Audiensi Mingguan Bersama Umat Awam di mana beliau mengajak lelaki dan wanita beriman untuk mendoakan “Ukraine, Syria, Yaman, Myanmar” dan juga peperangan berlanjutan yang melanda di negara-negara lain.

“Marilah kita fikirkan Syria di mana konfliknya lebih daripada 10 tahun! – marilah kita memikirkan kanakkanak di Yaman; mari kita mendoakan Myanmar, di mana sahaja kita berada!”

“Apa yang diberikan oleh peperangan kepada kita? Hanya kemusnahan. Perang memusnahkan kemanusiaan, membinasakan segala-galanya. Konflik tidak boleh diselesaikan melalui perang.

Bahrain, perjalanan menabur damai dan dialog
Dalam audiensi ini juga, Bapa Suci mendedikasikan perjalanan apostoliknya yang ke-39 ke kerajaan Muslim Bahrain sebagai penziarah “keamanan” dan mempromosikan dialog antara agama.

Bapa Suci menyatakan bahawa lawatannya ke negara yang majoritinya beragama Islam itu merupakan satu lagi langkah dalam perjalanan dialog, pertemuan dan kerjasama persaudaraan antara penganut Kristian dan umat Islam, selepas beberapa siri perjalanan apostolik Sri Paus Fransiskus ke negara-negara Islam seperti Emiriah Arab Bersatu pada 2019 dan Kazakhstan pada September yang lalu.

Beliau mengimbas kembali pertemuannya dengan Imam Besar Al-Azhar, dan dengan anak-anak muda di Sacred Heart School.

Sangti Papa memuji golongan muda yang, katanya, “memberi kita contoh besar, Kristian dan umat Islam belajar bersama.”

Tegasnya, “Orang muda, lelaki dan perempuan, kanak-kanak perlu mengenali antara satu sama lain supaya pertemuan persaudaraan dapat menghalang perpecahan ideologi.”

Dialog oksigen keamanan
Dialog sebenarnya “oksigen keamanan”, membuka minda dan hati untuk menghadapi dan memecahkan dinding keganasan dan keretakan di antara manusia.”

Bapa Suci meminta umat tidak mengabaikan bahawa dialog adalah “oksigen keamanan,” malah amat diperlukan dalam kehidupan domestik, terutama dalam keluarga.

Fransiskus terus menekankan bagaimana pada masa perang ini, usaha yang besar amat diperlukan untuk karya- karya mempromosi keamanan.

Dalam dunia kita yang digegarkan oleh peperangan, para agamawan dan para pemimpin sivil, dan semua orang yang berkehendak baik, dicabar untuk melihat di luar kepentingan sempit dan mengejar perpaduan dan keamanan. — media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments