Kristian dan Muslim: Berkongsi sukacita dan duka

Presiden Dewan Kepausan Untuk Dialog Antara Agama, Kardinal Miguel Ángel Ayuso Guixot, telah menulis kepada saudara dan saudari Muslim sempena Ramadan Hari Raya Aidil Fitri 2022. Pesan bertarikh 18 Februari itu mengatakan akibat pandemik, berjuta-juta nyawa di seluruh dunia telah terkorban.

Apr 16, 2022


VATIKAN:
Presiden Dewan Kepausan Untuk Dialog Antara Agama, Kardinal Miguel Ángel Ayuso Guixot, telah menulis kepada saudara dan saudari Muslim sempena Ramadan Hari Raya Aidil Fitri 2022. Pesan bertarikh 18 Februari itu mengatakan akibat pandemik, berjuta-juta nyawa di seluruh dunia telah terkorban.

Namun, “Semasa anda menyambut bulan Ramadan yang diakhiri dengan Aidil Fitri, mari kita bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana telah melindungi kita dalam kemurahan-Nya.”

Pandemik dan kesan tragisnya mendorong kita untuk memperhatikan hal perkongsian. Sempena Ramadan, adalah sesuai untuk menekankan hal ini kerana kita semua memiliki kurnia tertentu daripada Tuhan.

“Oleh itu, kita harus meletakkan bakat kita untuk berkhidmat kepada semua saudara dan saudari kita, berkongsi apa yang kita ada dengan mereka.”

Menurut Kardinal Ayuso, bentuk perkongsian terbaik ialah rasa empati dan belas kasihan yang sejati seperti yang dinyatakan dalam 1 Yohanes 3: 17-18: Sesiapa mempunyai harta duniawi dan melihat saudaranya menderita kekurangan tetapi menutup pintu hatinya terhadap saudaranya itu, bagaimanakah kasih Tuhan dapat tetap di dalam dirinya? Anak-anakku, marilah kita mengasihi bukan dengan perkataan atau dengan lidah, tetapi dengan perbuatan dan dalam kebenaran.

“Perkongsian tidak terhad kepada barangan material. Ia melibatkan perkongsian suka dan duka antara satu sama lain. Sto Paulus mengajak orang Kristian di Roma untuk “bersukacita dengan orang lain apabila mereka bersukacita, dan berdukacita dengan mereka yang berdukacita” (Roma 12, 15).

Sri Paus Fransiskus pula menegaskan bahawa berkongsi kesakitan akan meringankan kesakitan dan berkongsi kegembiraan akan menjadikannya dua kali gembira (Pertemuan dengan murid-murid Sekolah Occurrentes, 11 Mei 2018).

Dari empati timbul sikap dan sentimen bertimbal balik, terhadap peristiwa-peristiwa penting, baik yang menggembirakan mahupun menyedihkan, dalam kehidupan saudara mara, rakan dan jiran kita, termasuk mereka yang beragama lain: kegembiraan mereka menjadi milik kita, kesedihan mereka adalah milik kita juga. Harapan kami, saudara dan saudari Muslim yang dikasihi, adalah agar kita terus berkongsi kegembiraan dan kesedihan semua jiran dan sahabat kita, kerana kasih Tuhan meliputi setiap orang dan seluruh alam semesta.

Pada akhir pesan yang ditandatangani oleh Kardinal Ayuso dan Setiausahanya, Msgr. Indunil Kodithuwakku Janakaratne Kankanamalage, mengatakan, “Sebagai tanda kemanusiaan kita bersama dan persaudaraan yang mengalir daripadanya, kami mengucapkan selamat menyambut Ramadan yang aman dan serta perayaan Aidil Fitri yang meriah!” -- media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments