Lakukan perbuatan baik secara rahsia

Kita sangat mendambakan beberapa perkara seperti ekspresi diri dan pengiktirafan.

Jan 18, 2025

Gambar ilustrasi: Kebanyakan kebaikan tidak tercatat dalam sejarah — Fr Ron Rolheiser.


Kita sangat mendambakan beberapa perkara seperti ekspresi diri dan pengiktirafan. Kita mempunyai keperluan yang meluap-luap untuk menonjolkan diri kita, dikenali, diiktiraf, difahami dan dilihat oleh orang lain sebagai unik, berbakat dan penting.

Peribadi yang tidak diketahui, tidak dikenali, tidak dihargai , kurang keyakinan dan selalu dilupakan pasti membawa kepada kegelisahan, kekecewaan dan kepahitan.

Dan, memang benar, mengekspresikan diri dan menonjolkan kelebihan diri kita sebenarnya adalah mustahil.

Pada akhirnya, bagi kebanyakan kita, hidup kita sentiasa lebih “kecil” berbanding orang lain, tidak kira di mana kita tinggal atau pencapaian kita sebenarnya lebih baik daripada orang lain.

Dalam angan-angan, kita ingin menjadi popular, menjadi penulis terkenal, balerina yang anggun, atlet yang dikagumi, bintang filem, gadis kulit muka depan, ulama terkenal, pemenang Hadiah Nobel, mengharumkan nama keluarga; tetapi pada akhirnya, kebanyakannya hanya kekal lamunan malah kekal tidak dikenali oleh orang lain.

Oleh sebab itu, hidup kita kelihatan terlalu kecil untuk kita. Kita merasakan diri kita, meskipun berbakat atau mempunyai pencapaian, terperangkap dalam dunia yang membosankan.

Meskipun ada sesuatu dalam diri kita yang masih berusaha menonjolkan diri, masih mencari pengiktirafan dan merasakan sesuatu yang berharga dalam diri kita tetapi tidak ada apa yang berlaku dan akhirnya mati dalam kesia-siaan.

Sebenarnya, jika melihat daripada perspektif dunia ini, ada ramai orang yang unik dan kaya tetapi tidak terkenal dan dilupakan begitu sahaja selepas mereka mati.

Hanya sebilangan kecil yang mencapai pengiktirafan yang memuaskan. Iris Murdoch pernah berkata bahawa ini ialah sejenis kemartiran: “Kemartiran mempunyai seni yang tersendiri, tidak terkecuali mereka yang sememangnya tidak peduli mengenai populariti atau kekayaan.”

Kekurangan ekspresi diri, sama ada kegagalan peribadi atau disebabkan oleh keadaan, adalah kematian sebenar; tetapi seperti semua kematian, ia boleh difahami dalam pelbagai cara.

Jika kematian itu diterima dengan sedih dan sebagai tragis, ia membawa kepada kepahitan dan semangat yang hancur.

Walau bagaimanapun, jika ia difahami dan dihayati dalam iman, sebagai jemputan untuk menjadi sel tersembunyi di dalam Tubuh Kristus dan keluarga manusia, untuk memberikan rezeki dan kesihatan secara tanpa nama kepada keseluruhan tubuh, ia boleh membawa kepada ketenangan, kesyukuran, dan rasa penting yang menghapuskan akar-akar kekecewaan, putus asa, kemurungan, dan kesedihan.

Saya mengatakan ini kerana melalui sejarah, kita belajar bahawa kebanyakan perkara yang memberi kita kehidupan sebenarnya tidak ada kena mengena dengan kekayaan, prestij, penghargaan dan pujian.

Seperti yang ditegaskan oleh George Eliot, kita tidak perlu melakukan perkaraperkara hebat yang meninggalkan nama besar dalam sejarah manusia kerana “kebaikan dunia yang semakin bertambah kerana sebahagiannya disebabkan oleh tindakan atau aksi-aksi konkrit yang tidak tercatat dalam sejarah; dan perkara-perkara itu tidaklah begitu buruk buat saya dan anda kerana ia juga pernah berlaku kepada ramai orang yang melakukan banyak kebaikan dalam diam-diam dan mati tanpa diziarahi.” Kata-kata yang bijak.

Sejarah membuktikan ini. Sebagai contoh, Therese dari Lisieux yang menjalani hidupnya yang tenang di sebuah biara kecil yang terletak di luar bandar Perancis, yang apabila dia meninggal dunia pada usia 24 tahun, mungkin hanya dseratus orang yang mengenalinya semasa dia hidup.

Daripada segi cara kita menilai sesuatu di dunia ini, Therese tidak banyak pencapaian, tidak cemerlang atau tidak ada sumbangan besar yang dapat dilihat.

Dia memasuki biara pada usia 15 tahun dan menghabiskan bertahun-tahun sehingga kematiannya untuk melakukan perkara-perkara kecil di dobi, dapur dan taman di dalam biaranya.

Satu-satunya harta benda yang dia tinggalkan adalah diari, jurnal peribadi dengan ejaan yang buruk, yang menceritakan kisah keluarganya, pendidikannya dan apa yang dia alami pada bulan-bulan terakhirnya semasa dia terbaring sakit di katil ketika dia menghadapi kematian.

Tetapi apa yang dia tinggalkan ialah sesuatu yang menjadikannya seorang tokoh yang kini terkenal di seluruh dunia, baik dalam kalangan religius mahupun di luar kalangan agama.

Jurnal peribadi kecilnya, “The Story of a Soul” telah menyentuh berjuta-juta nyawa, walaupun ejaannya banyak yang salah (yang terpaksa diperbetulkan oleh kakaknya selepas kematiannya).

Apa yang memberikan jurnal kecilnya berkuasa unik sehingga menyentuh hati ialah ia mengisahkan apa yang berlaku di dalam privasi jiwanya sendiri selama bertahun-tahun ketika dia tidak dikenali, semasa kanak-kanak dan sebagai seorang biarawati.

Apa yang ditulisnya ialah kisah jiwanya, apabila dia menyedari sepenuhnya keunikan dan betapa berharganya dia, tanpa segan memberikan dirinya dengan penuh iman kerana dia percaya bahawa karunia dan bakatnya bekerja secara senyap (tetapi kuat) di dalam mistik (melalui tubuh sebenar, organik), Tubuh Kristus dan manusia. Dia memahami dirinya sebagai sel di dalam tubuh yang hidup, memberikan apa yang berharga dan unik dalam dirinya untuk kebaikan dunia.

Seseorang yang tidak dikenali pernah menawarkan ajakan ini kepada kita. Tidak ada karya seni yang lebih hebat yang boleh diberikan kepada dunia. Yesus telah bersabda berulang kali bahawa Dia menyuruh kita melakukan perbuatan baik secara rahsia dan jangan biarkan tangan kiri kita (dan jiran kita dan dunia) mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanan kita.

(Hakcipta Terpelihara 1999-2025@Fr Ron Rolheiser)

Total Comments:0

Name
Email
Comments