Liga Wanita Katolik HRL rai ulang tahun penubuhan ke-50

“50 tahun bukanlah satu perjalanan yang singkat namun kamu telah melaluinya dengan penuh dedikasi dan iman yang mendalam. Peranan wanita dalam Gereja tidak dapat dinafikan.

Aug 02, 2024


LIMBAHAU, Papar, Sabah: “50 tahun bukanlah satu perjalanan yang singkat namun kamu telah melaluinya dengan penuh dedikasi dan iman yang mendalam. Peranan wanita dalam Gereja tidak dapat dinafikan.

“Lebih-lebih imej seorang wanita sekaligus sentiasa dikaitkan dengan imej seorang ibu, melambangkan cintakasih, persekutuan dan kebersamaan,” kata Msgr Nicholas Stephen, paderi paroki Holy Rosary Limbahau, sempena perayaan ulang tahun ke-50 Liga Wanita Katolik paroki Holy Rosary, Limbahau (CWL, HRL) pada Julai 7, 2024.

Msgr Nicholas bersama pembantunya, Fr Joshua Liew, meraikan perayaan Ekaristi bersama anggota dan mantan CWL, HRL yang menggunakan tema pakaian berwarna emas.

CWL, HRL ditubuhkan pada Mei 14, 1974 sempena dengan Hari Ibu pada tahun itu. Bermula daripada kumpulan kecil dan atas usaha serta kegigihan mantan-mantan pengerusi, CWL, HRL kini berkembang dan menjadi salah sebuah badan pelayanan penting hampir setiap stasi luar, sesuai dengan moto pelayanan mereka, “Melayani dengan penuh cintakasih.”

Selepas Misa Kudus, para paderi dan ahli-ahli CWL, HRL beredar ke dewan untuk majlis kesyukuran.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Fr Rayner Bisius selaku penasihat rohani komisi Wanita Keuskupan Agung Kota Kinabalu, para religius, ketua penyelaras Liga Wanita Katolik Keuskupan Agung Kota Kinabalu iaitu Pn Anita Tuggolou dan pembimbing rohani CWL, HRL iaitu Sr Jaslia Ramit FSIC.

Uskup Agung John Wong, tidak dapat menghadirkan diri namun menghantar pesan tahniah dan syabas kepada CWL, HRL atas ulang tahun penubuhannya yang ke-50!

Prelatus itu berpesan, “Perayaan jubli emas ini bukan sahaja merupakan satu kebanggaan kepada semua wanita Katolik yang pernah dan sedang menganggotai badan ini, tetapi ia juga adalah satu tanda kematangan komuniti paroki Limbahau kerana mempunyai satu badan Gereja yang boleh bertahan selama setengah abad.”

Total Comments:0

Name
Email
Comments