Majlis perjumpaan pemimpin antara agama di Masjid Kuantan

Masjid Negeri Sultan Ahmad I di Kuantan telah menganjurkan majlis perjumpaan pemimpin-pemimpin antara agama di bandar tersebut pada 23 Ogos lalu.

Sep 16, 2022

Dialog antara agama penting untuk mengekalkan keharmonian di negara yang berbilang kaum dan agama.



KUANTAN:
Masjid Negeri Sultan Ahmad I di Kuantan telah menganjurkan majlis perjumpaan pemimpin-pemimpin antara agama di bandar tersebut pada 23 Ogos lalu.

Perjumpaan itu adalah sebahagian daripada “Program Merarau Harmoni” (Makan Tengah Hari Harmoni Masjid Negeri). Merarau ialah perkataan yang baru dicipta oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bermaksud perhimpunan makan tengah hari.

Fr George Packiasamy, paderi paroki Gereja St Thomas, Kuantan dan Frederick Lim, ketua PMIEA St Thomas turut menghadiri majlis tersebut. Selain mereka, beberapa ketua agama misalnya wakil dari Gereja Methodist Tamil Kuantan, Kuil Sri Maha Mariamman dan Persatuan Hindu Kuantan, datang ke perjumpaan itu.

Para tetamu telah disambut dan dialu-alukan oleh Dato Ustaz Haji Badli Shah Bin Haji Alauddin (Imam Besar dan Pengerusi Masjid Negeri), Tuan Mohd Affandi Bin Abdul Rani (Pengerusi JAIS), Imam Muhammad Izzan Idris dan En Muhammad Hafizuddin Bin Tajuddin, serta ahli jawatankuasa Masjid yang lain.

Dato Ustaz Badli Shah dalam ucapannya mengatakan bahawa objektif program tersebut adalah untuk mewujudkan keharmonian antara semua agama dan meningkatkan keharmonian masyarakat khususnya di Kuantan. Beliau juga menekankan keperluan agar semua agama saling memahami dan menghormati khususnya dalam negara yang berbilang kaum serta agama.

Beliau juga menggesa para pemimpin agama untuk berusaha ke arah membina semangat persaudaraan danpersahabatan.

Ustaz itu juga berkata, ia merupakan pertemuan pertama di kalangan semua ketua agama di masjid berkenaan dan berharap lebih banyak lagi perhimpunan seperti itu diadakan secara berkala pada masa akan datang.

Tuan Mohd Affandi, yang merupakan Pengarah Lembaga Masjid Negeri, turut menyokong usaha dialog antara agama di tempat ibadat dan membina integrasi yang harmoni antara agama. Beliau meluahkan perasaan kecewa dan kesal di tengah-tengah ketegangan serta salah faham antara agama di negara kita.

Selepas siri ucapan, para hadirin menonton tayangan video mengenai struktur organisasi Masjid dan ahli lembaga pengarah, diikuti dengan makan tengah hari. Dato Ustaz Badli Shah kemudiannya membawa para tetamu melawat masjid.

Semua tetamu dijemput untuk menandatangani buku pelawat. Sesi bergambar diikuti sesi penyampaian cenderahati oleh Dato Ustaz Badli Shah, mengakhiri program pada hari tersebut.

Total Comments:0

Name
Email
Comments