Mampukah Gereja bantu akhiri pemerdagangan orang?
Menelusuri sebuah bandar di Malaysia Timur, saya terjumpa dengan lukisan dinding yang agak menarik.
Jul 26, 2024
Menelusuri sebuah bandar di Malaysia Timur, saya terjumpa dengan lukisan dinding yang agak menarik.
Lukisan dinding itu sangat kreatif, menyokong kempen Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Pemerdagangan Migran. Melihat keadaannya yang lusuh, saya berfikir, berapa ramai orang yang melintas untuk berhenti sejenak dan melihat lukisan dinding itu.
Mungkin, ramai yang berfikir, aktiviti pemerdagangan orang bukan jenayah utama di Malaysia. Realitinya, pemerdagangan orang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana sahaja.
Tahukah anda, seseorang boleh mengaut berjutajuta ringgit keuntungan dengan mengorbankan sehingga mencecah berjuta-juta mangsa penyeludupan manusia tanpa mengira usia?
Mungkin kita ada mendengar laporan bahawa remaja lelaki dan perempuan telah dipaksa melakukan kerja keras atau dijual untuk pelbagai tujuan. Malahan, wanita dan gadis juga telah diperdagangkan untuk eksploitasi, dipaksa menjadi dalam pelacuran atau perkahwinan.
Manakala bagi lelaki pula, yang dibelit dengan masalah hutang akan menjadi hamba di lombong, ladang dan sebagainya.
Berbanding dua tahun sebelumnya (2021-2022) Malaysia dilaporkan berada pada tahap tiga (Tier 3) dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang (U.S Tip Report) 2022.
Dalam laporan tersebut, ia mendedahkan kerajaan Malaysia gagal mencapai piawaian minimum terhadap usaha menghapuskan pemerdagangan manusia.
Namun, pada tahun 2023, Malaysia telah dinaik taraf ke Tahap Dua Senarai Pemerhatian, bukan lagi Tahap Tiga.
Pencapaian ini termasuk menjalankan lebih banyak penyiasatan pemerdagangan; mendakwa dan mensabitkan lebih ramai pemerdagangan orang; serta mendakwa pegawai yang bersubahat.
Walaupun Malaysia mempunyai asas baik undang-undang sedia ada (memerangi pemerdagangan manusia), tetapi ia masih memerlukan kerjasama kita semua.
Meskipun kita mempunyai undang-undang dan penguatkuasaan, namun penyeludup akan mencari jalan melepaskan diri daripada usaha kerajaan kerana mereka bermotivasi tinggi dan aktif mencari mangsa.
Saya bersyukur, kerana Gereja tidak “tertidur” dalam hal memerangi pemerdagangan manusia. Banyak seminar, kempen anti-pemerdagangan manusia dan dialog yang dianjurkan oleh pihak Gereja.
Biasanya mereka yang selalu menjadi mangsa pemerdagangan manusia ialah golongan yang mencari pekerjaan, terutama dari kawasan pedalaman.
Oleh sebab itu, saya rasa tidak salah jika saya mengongsikan beberapa panduan ini agar tidak terjebak dalam jerat pemerdagangan orang khususnya bagi mereka yang mahu bekerja di luar negara atau atau di luar wilayah; fahami kontrak pekerjaan yang ditawarkan kepada anda; pastikan gaji anda adalah munasabah dengan skop kerja yang ditawarkan; pastikan agensi/syarikat yang menawarkan pekerjaan adalah berdaftar dan berhak menawarkan pekerjaan; pastikan anda mengetahui alamat tempat kerja/tempat tinggal, alamat dan nombor telefon kedutaan negara destinasi dan paling penting, kongsi maklumat pekerjaan dan negara destinasi dengan keluarga dan rakan-rakan.
“Pemerdagangan manusia mencemarkan martabat manusia,” kata Sri Paus Fransiskus. Jangan pandang remeh jenayah ini kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana sahaja.
Total Comments:0