Manfaatkan bakat, jadilah saksi Kristus

Buktikan dulu baru saya percaya”, merupakan ungkapan popular yang sering kita dengar atau kita sendiri ungkapkan apabila berhadapan dengan sesuatu soalan yang meragukan.

Apr 16, 2021

HARI MINGGU III PASKAH
TAHUN B
Kisah para rasul 3:13-15,17-19;
1 Yohanes 2:1-5; injil luKas 24:35-48

Buktikan dulu baru saya percaya”, merupakan ungkapan popular yang sering kita dengar atau kita sendiri ungkapkan apabila berhadapan dengan sesuatu soalan yang meragukan.

Mungkin ini juga merupakan persoalan yang dihadapi oleh dua orang murid Yesus yang baru kembali dari Emaus.

Setelah Yesus menampakkan diri-Nya kepada mereka pada malam Paska, mereka langsung kembali ke Yerusalem untuk mewartakan khabar gembira tersebut. Melalui peristiwa ini kita dapat melihat bahawa orang-orang yang telah menyaksikan kebangkitan Yesus itu merasakan suatu keharusan untuk segera bersaksi tentang khabar gembira tersebut kepada satu dengan yang lain.

Di pihak Yesus pula, Dia merasakan perlu menampakkan DiriNya kepada para murid-Nya untuk meyakinkan mereka bahawa Dia sungguh sudah bangkit. Maka sementara kedua orang dari Emaus itu bersaksi bahawa mereka telah melihat Yesus yang sudah bangkit itu, Dia menampakkan diri-Nya lagi, kali ini di hadapan semua murid-Nya.

Apabila Yesus memperlihatkan diri-Nya, mereka sangat terkejut dan menyangka mereka telah  melihat hantu. Untuk meyakinkan bahawa Dia itu bukan hantu, Dia membenarkan mereka untuk menyentuh-Nya malah turut serta makan bersama mereka.

Apabila mereka akhirnya sungguh yakin bahawa Dia sudah bangkit, Yesus mengarahkan mereka untuk mewartakan nama-Nya, “Kepada segala bangsa mulai dari Yerusalem” (ay 47), supaya mereka pun percaya. Dan apabila mereka percaya, mereka pun harus menjadi “saksi-saksi” Kristus.

Inilah yang telah dilakukan oleh Petrus seperti yang terdapat dalam bacaan pertama. Sesudah Petrus menyembuhkan orang lumpuh dengan berkata, “Emas dan perak tidak ada padaku, tetapi apa yang kupunyai, kuberikan kepadamu. Demi nama Yesus Kristus, berjalanlah!” (KPR 3:6).

Sesudah peristiwa tersebut, ramai orang datang mendengarkan kesaksiannya lalu menjadi percaya.

Kita percaya terhadap Yesus Kristus yang bangkit itu. Namun sayang sekali peristiwa kebangkitan Yesus itu kelihatan kurang relevan dengan kehidupan harian kita.

Tidak seperti murid-murid Yesus yang awal, kita tidak mempunyai dorongan yang kuat untuk mewartakan bahawa “Kristus sudah  bangkit.” Mungkin ini semua disebabkan kita berfikiran bahawa semua orang sudah tahu tentang peristiwa tersebut maka tidak perlu lagi untuk diuar-uarkan.

Namun apa yang sebenarnya terjadi adalah sebaliknya. Bahawa ajaran Kristus diamalkan lebih bersifat menyalahgunakannya daripada apa yang dikehendaki Kristus. Maka mewartakan khabar gembira Yesus yang sebenarnya ini sangat-sangat penting dan mendesak. Untuk itu kita perlu berbuat sesuatu.

Hendaknya kita bersaksi kepada sesama kita bahawa kita yang percaya pada Yesus Kristus yang bangkit itu, akan bangkit juga dengan-Nya. Oleh kerana itu, kita bukan hanya hidup untuk dunia ini sahaja tetapi juga untuk dunia sesudah kita mati.

Hendaknya kita bersaksi bahawa Yesus yang adalah pengantara kita sebelum Tuhan Bapa memberikan kita kekuatan untuk hidup berpandukan ajaran-ajaran dan perintahperintah-Nya.

Lagipun, seandainya kita jatuh ke dalam dosa, kemudian bertaubat, kita percaya bahawa Tuhan sentiasa mengampuni kita supaya kita dengan sesungguhnya hidup sebagai pengikut Yesus Kristus.

Hendaknya kita bersaksi tentang  kehadiran Yesus yang bangkit itu didalam perayaan Ekaristi.

Dengan mengingat semula peristiwa di Emaus di mana Yesus menampakkan diri-Nya kepada dua orang murid-Nya melalui pemecahan roti bersama dengan mereka.

Apabila kita menghadiri perayaan Ekaristi, hendaknya kita membiasakan diri untuk menyambut Tubuh Kristus.

Dengan berbuat demikian, maka mudah-mudahan Tuhan yang bangkit itu tinggal di dalam kita dan membantu kita melayani sesama kita, meringankan bebanan sesama kita dengan menghulurkan bantuan yang ikhlas.

Hendaknya kita bersaksi tentang kedamaian Tuhan kita yang bangkit itu. Sebab melalui wafat dan kebangkitan-Nya, Dia telah mendamaikan kita dengan Tuhan Bapa dan dengan sesama kita.

Tugas kita untuk mewartakan tentang Tuhan yang sudah bangkit  itu pada ketika ini sungguh penting dan mendesak sebab orang semakin ramai bersandarkan kepercayaan mereka pada segala sesuatu kecuali Tuhan, misalnya melalui kecanggihan sains dan teknologi.

Mereka menegaskan bahawa dengan memanfaatkan sains dan teknologi secara bijaksana, maka segala masalah manusia akan teratasi.

Seterusnya mereka berpendapat bahawa kebahagiaan yang sebenarnya boleh diperolehi melalui harta duniawi, maka kepercayaan terhadap Tuhan tidak relevan lagi dengan di dalam kehidupan seharian kita.

Mereka bertegas bahawa syurga itu ada di dunia ini dan agama serta kepercayaan kita terhadap Tuhan yang bangkit itu adalah khayalan yang sia-sia, yang telah dicipta oleh orang-orang bodoh, murid yang tidak terpelajar, maka perlu dilupakan dan dihindari. — santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments