MCC beri tema Hari Minggu Kateketikal 2025
Komisi Kateketikal Malaysia (MCC), sebuah badan penasihat kepada Konferensi para Uskup Katolik Malaysia telah mengadakan mesyuarat tahunan dari Jun 9-13, lalu.
Jul 05, 2024
KOTA KINABALU: Komisi Kateketikal Malaysia (MCC), sebuah badan penasihat kepada Konferensi para Uskup Katolik Malaysia telah mengadakan mesyuarat tahunan dari Jun 9-13, lalu.
Mesyuarat pada tahun ini telah dipengerusikan oleh Uskup Joseph Hii Teck Kwong dari Sibu, sebagai presiden MCC yang baharu dilantik dan Dr Steven Selvaraju dari Keuskupan Agung Kuala Lumpur sebagai pengerusi komisi itu.
Antara agenda penting yang dibincangkan ialah:
Hari Minggu Kateketikal
Perayaan Hari Minggu Kateketikal bermula dengan dokumen Gereja, Provido Sane Consilio (38) yang diterbitkan pada tahun 1935 dengan cadangan bahawa paroki memperuntukkan satu hari untuk ‘mengarahkan fikiran orang Kristian ke arah pendidikan agama’ supaya seluruh komuniti Gereja: uskup, paderi, agamawan dan semua umat awam diingatkan tentang tanggungjawab mereka untuk meneruskan iman.
Oleh sebab itu, perbincangan tertumpu kepada keberkesanan sambutan perayaan dan bagaimana ia boleh dipertingkatkan pada masa hadapan bagi meningkatkan kesedaran umat tentang peranan dalam katekesis dan kepentingannya kepada misi Gereja.
Seterusnya para perwakilan memilih tema Hari Minggu Kateketikal tahun 2025 yang memfokuskan persiapan Konvensyen Pastoral Malaysia (MPC) pada 2026 yang menumpukan kepada ekologi dan realiti sosial:
Berdasarkan keadaan semasa para perwakilan memilih tema: 'Kita boleh menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik' kemudian ditambah dengan ayat Alkitab: "Jangan hanya memperhatikan kepentingannya sendiri, tetapi kepentingan orang lain juga.” (Flp 2:4).
Projek-projek berkaitan katekesis.
MCC sebagai badan penasihat, mencadangkan projek untuk penambahbaikan komisi kateketikal di peringkat kebangsaan; projek-projek ini kemudiannya dilaksanakan oleh Pejabat Kateketikal Kebangsaan (NCO).
Pada mesyuarat tahun ini, NCO melaporkan perkembangan dua projek utama yang sedang berjalan iaitu topik-topik tambahan untuk MCC dan panduan katekesis untuk ibu bapa.
Beberapa tahun lalu, MCC mencadangkan agar Siri Katetikal Malaysia (SKM) ditambah kerana siri untuk Sakramen Krisma tidak mencukupi dalam SKM.
15 pembelajaran tambahan telah dicadangkan dan masih di peringkat semakan.
Pada akhir mesyuarat, Uskup Joseph Hii mengulangi kepentingan Komisi Kateketikal dalam misi Gereja dan menyatakan harapannya agar lebih banyak sumber dihasilkan untuk menyokong perjalanan iman semua yang dibaptis.
MCC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tuan rumah mesyuarat tahunan MCC tahun ini, Keuskupan Agung Kota Kinabalu dan kepada Uskup Agung John Wong atas sokongannya, serta para paderi di paroki Holy Rosari, yang menyambut kunjungan para perwakilan.
Mesyuarat MCC yang seterusnya ialah di Keuskupan Agung Kuching, Sarawak pada tahun 2025.
Total Comments:0