Media Katolik harus hindar bahasa agresif

Sri Paus Fransiskus menggesa komunikator Katolik agar menggunakan platform mereka untuk membangkitkan harapan dengan mengelak bahasa agresif dan menolak retorik yang merendahkan orang lain.

Feb 07, 2025

Bapa Suci Fransiskus berjabat tangan dengan seorang wartawan Filipina dan pemenang Nobel, Maria Ressa, pada Perayaan Jubli Komunikasi Sedunia. (Media Vatikan)


ROMA:
Sri Paus Fransiskus menggesa komunikator Katolik agar menggunakan platform mereka untuk membangkitkan harapan dengan mengelak bahasa agresif dan menolak retorik yang merendahkan orang lain.

“Saya mengimpikan komunikasi yang mampu menjadikan kita rakan pengembara, berjalan bersama dengan saudara dan saudari kita dan menggalakkan mereka untuk mempunyai harapan pada masa sukar ini,” tulis Sri Paus dalam pesannya sempena Hari Komunikasi Sedunia.

Perutusan Sri Paus telah dikeluarkan pada Januari 24, sempena perayaan Sto Fransiskus de Sales, santo penaung wartawan dan permulaan perayaan Jubli Komunikasi Dunia Vatikan.

Prelatus itu berharap terciptanya “komunikasi yang mampu bercakap dari hati, bukan membangkitkan reaksi defensif dan marah, tetapi keterbukaan dan persahabatan.”

Sempena Tahun Jubli Harapan, Bapa Suci berkata komunikasi mesti “mampu memberi tumpuan kepada keindahan persaudaraan dan harapan walaupun di tengahtengah situasi yang kelihatan menyedihkan dan menjana komitmen, empati serta keprihatinan terhadap orang lain.”

Tema perayaan Hari Komunikasi Sedunia ke-59 adalah “Berbahagilah dengan harapan yang ada di hatimu,” yang dipetik dari Surat Pertama Santo Petrus.

Sri Paus Fransiskus menulis bahawa beliau memilih tema tersebut kerana komunikasi moden semakin “berciri maklumat salah dan polarisasi serta menjadi pusat kuasa mengawal jumlah data dan maklumat yang belum pernah terjadi sebelumnya.”

Sri Paus mendorong para komunikator Katolik agar menjadi saksi dan penyokong komunikasi yang tidak agresif; “Membantu menyebarkan budaya keprihatinan, membina jambatan dan memecahkan halangan yang boleh dilihat dan tidak kelihatan pada hari ini.”

“Semoga anda sentiasa menemui sinar kebaikan yang memberi inspirasi kepada umat untuk berharap,” kata Sri Paus Fransiskus kepada para komunikator Katolik. --CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments