Memasuki Minggu Suci dengan iman dan sikap tobat

Saya pasti, ramai di antara kita yang mengalami banyak perkara tidak dijangka, serta memberi impak kepada kita.

Mar 31, 2023

HARI MINGGU PALMA
Yesaya 50:4-7;
Filipi 2:6-11;
Injil Matius 26:14—27:66

Saya pasti, ramai di antara kita yang mengalami banyak perkara tidak dijangka, serta memberi impak kepada kita.

Misalnya tiga tahun lalu, saya menyangka Hari Minggu Palma akan berlangsung seperti tahun-tahun yang lalu. Di mana saya akan sibuk dengan persiapan liturgi dan umat Paroki pula sibuk mengambil daun palma atau menghias gereja dengan daun-daun itu.

Tiba-tiba, pada minggu kedua Pra-Paskah tahun itu, kawalan pergerakan berkuatkuasa akibat pan-demik dan perarakan daun palma tidak dapat dilakukan.

Alangkah sedihnya apabila semua umat diminta untuk berada di rumah meskipun perayaan Hari Minggu Palma adalah antara pe-rayaan terpenting dalam kalendar liturgi gereja.

Ini adalah kerana pandemik coronavirus, dan untuk memutuskan rantaian itu, kita harus berada di rumah, menonton Misa secara langsung melalui Internet, malah pengakuan peribadi pada musim Pra-Paskah juga ditiadakan.

Buat pertama kalinya, pada tiga tahun lalu, saya melihat umat memegang dan menjulang daun palma dalam talian!

Walaupun hari minggu Palma tidak dapat dirayakan pada tahun itu, tetapi teknologi digital memampukan kita untuk menghayati peristiwa dua ribu tahun dahulu, ketika Yesus masuk ke Yerusalem, di mana Dia dialu-alukan dan disambut meriah.

Kini, pada tahun 2023, kita dapat menyambut Hari Minggu Palma tanpa sekatan, sudah tidak ada penjarakan sosial, tidak perlu menggunakan pelitup muka dan sudah pasti, dapat menyertai perarakan!

Namun, mari kita periksa peribadi kita terlebih dahulu, apa makna Hari Minggu Palma bagi kita?

Ketika kita menyertai perarakan atau menghadiri Misa Kudus Hari Minggu Palma, kita haruslah sanggup berjalan bersama Yesus, bukan hanya dalam masa puncak kejayaan seperti orang-orang yang bergembira ketika Yesus memasuki Kota Yerusalem.

Mereka bersorak-sorak, “Hosana! Terpujilah kerajaan Bapa Daud yang kini tiba. Terpujilah yang Mahatinggi,” tetapi pada masa-masa sukar dan sengsara, semoga kita tidak seperti orang-orang dalam Injil tadi yang berteriak mendesak supaya Dia disalibkan.

Petrus dan para murid yang lain mengambil kesempatan untuk turut serta mendapatkan pujian daripada orang ramai ketika Yesus memasuki Kota Yerusalem.

Tetapi apakah mereka yang turut dipuji dan disanjung tinggi ini masih bersama Yesus pada hari Jumaat Agung apabila Yesus diadili dari satu mahkamah ke mahkamah yang lain? Tidak ada!

Kecuali Yohanes, murid-murid yang pengecut itu semuanya lari menyelamatkan diri dan meninggalkan Yesus seorang diri.

Petrus yang pernah mengungkapkan janji kesetiaannya sampai mati untuk mengikuti Yesus, sewaktu malam perjamuan terakhir dengan Yesus, sanggup berbohong di hadapan seorang perempuan bahawa dia tidak mengenali Yesus hanya kerana gara-gara mahu menyelamatkan dirinya daripada ditangkap.

Sebenarnya di dalam diri kita masing-masing terdapat sikap Petrus dan murid-murid dalam Injil tadi. Bahawa apabila semuanya dalam keadaan baik, kita setia pada Tuhan. Tapi apabila keadaan tidak baik, ada potensi bagi kita untuk tidak ingat pada Tuhan.

Memang mudah bersyukur pada Tuhan apabila sihat, dikelilingi oleh orang-orang yang prihatin dan mengasihi kita. Tetapi sukar bagi kita mengasihi Tuhan apabila kita terpaksa berkorban seperti dalam cerita tadi.

Kembali pada kisah Yesus memasuki Yerusalem tadi, terdapat satu versi lain yang nampaknya seperti rekaan belaka tapi mempunyai pesan yang unik bagi kita pada hari ini.

Ketika Yesus memasuki Kota Yerusalem dengan penuh kemegahan, Dia menunggang seekor keldai untuk menunaikan nubuat Nabi Zakhariah 9:9 “… bersorak-sorailah, hai Yerusalem! Lihat rajamu datang kepadamu… menunggangi seekor keldai.”

Ketika orang-orang Yahudi melambai-lambaikan daun palma sambil berteriak, “Hosana… terpujilah Raja yang datang,” sang keldai perasan bahawa dia yang dipuji. Dia terus mengangguk-anggukkan kepalanya kerana dipuji dan lupa tuan yang ada di atas belakangnya itulah yang sebenarnya yang empunya pujian.

Apakah kita tidak seperti sang keldai tersebut? Apabila kita mempunyai bakat, kemahiran dan pelbagai kejayaan belum termasuk jawatan, pangkat dan gelaran, sikap sombong mulai memasuki kepala otak kita.

Kita menyangka segala-galanya itu adalah hasil usaha dan titik peluh kita sendiri dan melupakan Tuhan yang adalah sumber berkat atas segala apa yang kita miliki di dunia ini.

Kalau memang begitu terjadi di dalam diri kita masing-masing, maka betullah semangat keldai tersebut sudah merasuki diri kita. — santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments