Mempromosi damai: Tanggungjawab bersama Islam, Kristian
Sri Paus Fransiskus mengalu-alukan delegasi dari Masjid Bologna, Itali sambil menyatakan penghargaannya terhadap persahabatan antara Kristian dan Islam serta menyeru agar semua agama dihormati, bebas dari paksaan menukar agama dan diskriminasi.
Jul 05, 2024

TAKHTA SUCI: Sri Paus Fransiskus mengalu-alukan delegasi dari Masjid Bologna, Itali sambil menyatakan penghargaannya terhadap persahabatan antara Kristian dan Islam serta menyeru agar semua agama dihormati, bebas dari paksaan menukar agama dan diskriminasi. “Dunia, pada masa ini, memerlukan penganut yang komited dan konsisten untuk membina dan mengekalkan keamanan sosial dan dunia.”
Sri Paus Fransiskus berkata demikian semasa menyambut sekumpulan umat Islam dari sebuah Masjid di bandar Bologna, Itali pada pagi Jun 26, sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana “menjadi pejuang keamanan.”
Bapa Suci berkata kesaksian mereka tentang persaudaraan adalah amat berharga dan sangat diperlukan, yang harus dipromosi melalui dialog dan keterbukaan.
Dialog yang tulus dan penuh hormat antara orang Kristian dan Islam adalah kewajipan bagi kita bersama dalam mematuhi kehendak Tuhan, ujar Sri Paus Fransiskus.
Bapa Suci menjelaskan, “Sesungguhnya kehendak seorang Bapa ialah agar anak-anak-Nya saling mengasihi, saling membantu dan jika timbul kesukaran atau salah faham di antara mereka, mereka hendaklah mencapai kesepakatan dengan kerendahan hati dan kesabaran.”
Dialog seperti itu, tegas Sri Paus, juga memerlukan “pengiktirafan kukuh” terhadap martabat dan hak asasi setiap orang.
Sambil menggelarkan tetamu-tetamunya sebagai “sahabat yang dikasihi,” Bapa Suci menyatakan harapannya bahawa semua penganut Islam, walau di mana sahaja mereka berada dan tinggal, dapat mengekalkan hubungan baik dengan Gereja Katolik, di semua peringkat, “mengamalkan semangat hormat menghormati, berdialog dan menjalin persahabatan sejati.”
Pada akhir pertemuan itu, Sri Paus Fransiskus menyeru semua orang beriman untuk memupuk keamanan bersama-sama seraya menyakinkan semua orang bahawa beliau sentiasa berdoa untuk mereka dan meminta ‘rakan-rakan terkasihnya’ berdoa untuknya. — media Vatikan
Total Comments:0