Meneruskan ajaran Kristus melalui budaya asli

Pesta Menuai (Kaamatan) peringkat Keuskupan Agung Kota Kinabalu diadakan selama dua hari dengan tema “Menghidupi budaya asli dalam keluarga untuk meneruskan ajaran Kristus.”

May 26, 2023

Ekspresi budaya harus diteruskan di paroki masing-masing bukan semasa pesta Kaamatan sahaja – Uskup Agung John Wong. Gambar: Kredit Facebook Maria Stephanie.


TERAWI: Pesta Menuai (Kaamatan) peringkat Keuskupan Agung Kota Kinabalu diadakan selama dua hari dengan tema “Menghidupi budaya asli dalam keluarga untuk meneruskan ajaran Kristus.”

Bertempat di Paroki Holy Nativity, umat mengikuti pelbagai acara kebudayaan dan Misa Kudus dari Mei 3-4 lalu yang turut dihadiri oleh ramai paderi dan Uskup Agung John Wong.

Pada hari pertama, pelbagai acara berkonsep elemen tradisional seperti melastik, merejam lembing, berjalan menggunakan tampanau mengupas pinang, gusti lengan dan banyak lagi, diadakan di Padang Gereja St Peter Tombovo, salah satu gereja stasi luar di bawah naungan paroki Terawi.

Uskup Agung John Wong menyatakan kegembiraannya melihat ramai umat yang datang dari dekat dan jauh dan berkata ekspresi budaya harus diteruskan di paroki masing-masing dan bukan hanya semasa perayaan Kaamatan seperti ini.

Uskup Agung juga berkata umat Kadazandusun harus bertutur di dalam bahasa mereka sendiri pada setiap hari kerana bahasa asal mencerminkan identiti seseorang individu.

Prelatus merasmikan Sukan Tra-disi tersebut pada jam 8.00 pagi dengan gimik mengangkat guni berisi padi yang telah dituai dan meletakkannya di atas sebuah tong.

Signifikan gimik ini menandakan kejayaan musim menuai di mana hasil tuaian kini sedia untuk dibawa pulang dengan meletakkannya di belakang seekor kerbau.

Pada keesokan harinya, Mei 4, diadakan Misa Kudus dan acara pentas di paroki Holy Nativity.
Misa Kudus Pesta Menuai bermula pada jam 9.00 pagi dengan perarakan masuk oleh Uskup Agung bersama 38 orang paderi dan diakon.

Perarakan itu bermula dari Dewan St Joseph. yang didahului dengan tarian sumazau dan paluan gong.

Juga hadir di kalangan 1,200 umat yang datang ialah Datuk Ewon Benedik, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia serta Puan Jannie Lasimbang, ADUN Kepayan yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD).

Pada penghujung Misa Kudus, Uskup Agung John mengumumkan tuan rumah bagi Pesta Menuai Keuskupan Agung KK 2025 adalah Paroki St Michael, Penampang. — Catholic Sabah

Total Comments:0

Name
Email
Comments