Mengapa saya mahu menjadi pengikut Yesus?

Perkongsian para baptisan baharu 2022

Apr 29, 2022

Sabda Tuhan mengalir lembut dalam diri saya
“Saya memilih untuk dibaptis dalam Gereja Katolik kerana percaya dengan sifatnya yang Satu, Kudus, Katolik dan Apostolik.

“Bagi memahami keempat-empat sifat ini, saya galakkan anda menyertai kelas Inisiasi Kristian Remaja atau Dewasa. Keyakinan saya untuk mengikuti Yesus semakin diteguhkan melalui kelas IKD.”

“Semasa menyertai kelas IKD, saya menyedari beberapa perubahan positif dalam hidup saya. Dahulu hidup saya terasa kosong, kini, selepas dibaptis dan menyedari saya telah menjadi salah seorang anak-Nya, saya merasakan sukacita dan damai. Malah, saya juga tidak cepat menggelabah apabila dilanda masalah kerana Dia sentiasa mendengar doa-doa saya. Ketika saya mengadapi masalah, Dia sentiasa mengutus orang-orang yang baik hati untuk membimbing dan menolong saya.” — Florence Alexandra, Gereja St Joseph Papar

Kristus memampukan saya untuk berdiri dan berjalan ke arah Salib
Cecelia Vanisha Anak Jekeri,23 tahun, berasal dari Sarawak, telah dibaptis di Gereja Divine Mercy, Sg Ara, Pulau Pinang.

Pada mulanya, beliau mengetahui tentang Kristian melalui kisah-kisah yang diceritakan oleh rakan-rakannya semasa bersekolah menengah.

“Cara mereka bercerita mengenai Tuhan Yesus, aktiviti- aktiviti gereja dan aktiviti pada Hari minggu membuatkan saya tertanya-tanya “Apakah itu Kristian?”

Sesungguhnya, saya tidak tahu kewujudan agama Kristian dan pernah menghadiri Misa di Gereja-gereja berdekatan tetapi ia masih belum mampu menarik saya untuk menjadi seorang Kristian waktu itu.

Sehinggalah ketika berusia 15 tahun, saya mengalami peristiwa-peristiwa yang mencabar.

Ia bermula dengan masalah peribadi dengan orang tua, bapa jatuh sakit, kehilangan datuk serta berhadapan dengan tekanan.

Pada ketika itu, saya hanya berdiam diri, enggan menceritakan masalah kepada orang lain sehingga saya terdorong untuk membunuh diri.

Tetapi, pada malam yang sepatutnya menjadi malam terakhir saya, Tuhan terlintas dalam fikiran dan hati saya. Saya berkata, “Wahai Tuhan, seandainya benar Engkau wujud dan kasih-Mu kepada anak-Mu adalah benar, kenapa Engkau tidak ada untuk aku?”.

Malam itu, saya bermimpi bertemu dengan figura yang samar-samar tetapi ia membawa aura kasih yang sangat hebat. Figura itu tidak berkata apa-apa tetapi memeluk saya, mendamaikan fikiran saya yang bercelaru pada ketika itu.

Semenjak itu, saya percaya, figura itu adalah Yesus. Dia menyatakan kehadiran-Nya melalui pertolongan-pertolongan yang kecil dan besar.

Pada tahun 2019, saya menyertai kelas IKD di Gereja Divine Mercy. Apabila pandemik tercetus pada tahun 2022 menyebabkan proses pembaptisan yang saya tunggu selama ini, telah tertunda. Malah saya tersekat di Sarawak.

Tetapi Tuhan tidak pernah meninggalkan saya. Dia hadirkan orang-orang seperti kawan saya Hazeline Dion dan Auntie Daina sepanjang persiapan menuju ke hari pembaptisan.

Setelah dibaptis, saya dapat merasai, dahulu hidup saya yang kelam kini disinari dengan Sang Cahaya iaitu Yesus Kristus.

Mengikut Tuhan ... Berkat melimpah
Memilih nama Jasper sebagai nama pembaptisan, Vince @ Jasper menjadi pengikut Yesus pada malam Paskah lalu kerana percaya Gereja Katolik adalah satu-satunya Gereja yang dijanjikan oleh Tuhan sendiri, dan akan bertahan hingga akhir zaman malah alam maut tidak akan menguasainya.

“Sejak 2,000 tahun lalu, walaupun sering mengalami badai dan cabaran, Gereja Katolik tetap kukuh berdiri di atas batu karang. Semasa mengambil keputusan menjadi pengikut Yesus, saya diuji apabila keluarga mengalami krisis kewangan pada musim pandemik ini. Namun, masalah ini bukanlah kekal kerana Tuhan memberikan pelbagai cara untuk keluar dari masalah ini.”

“Selepas dibaptis, saya berharap dapat menolong mereka yang mahu mengenal agama Katolik dan Yesus, Sang Terang serta Penyelamat kita.” — Vince Harrod Harbindar, Gereja St Jospeh, Papar

Di tengah-tengah kebencian, Tuhan menawarkan damai dan pengampunan

Semasa belajar di Sekolah Menengah Mission Katolik, saya tertarik dengan sikap rakan-rakan Katolik yang ramah, suka membantu dan tidak sombong.

Malangnya, saya telah menyaksikan peristiwa yang sangat mengejutkan. Seseorang yang saya anggap sangat warak dan selalu bercakap tentang Tuhan Yesus, rupa-rupanya seorang yang tidak jujur.

Peristiwa itu memadamkan semangat saya untuk menjadi Katolik. Saya tidak lagi mengikuti kelas Inisiasi Kristian Remaja kerana terluka dengan sikap seorang Katolik yang saya anggap seperti saudara sendiri.

Setelah beberapa tahun, semasa menyambung pelajaran di universiti, rakan sebilik saya merupakan seorang Katolik.

Melihat kesabaran dan ketekunannya berdoa serta tidak pernah cuti dari menghadiri Misa Kudus, saya terbuka hati untuk berkongsi dengannya, tentang kemarahan dan kebencian saya terhadap orang Katolik.

Rakan saya tidak marah apabila saya meluahkan segala kata-kata yang tidak menyenangkan.

Saya masih ingat kata-katanya bahawa dia juga pernah mengalami perkara yang sama, tetapi katanya, dia tetap mengimani Yesus. Gereja dan umat Gereja boleh jatuh ke dalam dosa. Iman kita tidak bergantung pada manusia tetapi pada Tuhan. Dan berita baiknya ialah Tuhan sangat mengasihi umat manusia sehingga sanggup wafat di kayu Salib.

Rakan saya juga memperkenalkan saya doa Kerahiman Ilahi dan Rosari. Katanya, manusia lahir dengan sifat kebaikan namun sebagai peribadi yang lemah, manusia boleh jatuh ke dalam dosa. Tetapi Tuhan sangat mengasihi umat-Nya. Doa Rosari dan Kerahiman Ilahi adalah sarana yang membantu kita untuk mengingati bahawa Tuhan itu adalah Kasih.

Sejak itu, pandangan saya terhadap Gereja perlahan-lahan berubah. Saya mula menghadiri Misa Kudus dan akhirnya membuka hati untuk menyertai kelas IKD. Syukur, biarpun agak lama menunggu untuk dibaptis, tetapi semuanya berbaloi kerana Tuhan mengutus beberapa penolong-Nya untuk membawa saya kembali ke pangkuan kasih-Nya. — Maria Faustina, Kuala Lumpur

Total Comments:0

Name
Email
Comments