Mengusir kegelapan hidup dengan terang Yesus

Agama atau iman Kristian itu bukanlah merupakan suatu falsafah, hukum, moral atau cara hidup. Tetapi ia adalah pertemuan dengan peribadi Yesus Kristus.

Jan 20, 2023

YESAYA 8:23-9:3 1
KORINTUS 1:10-13, 17
INJIL MATIUS 4:12-23

Agama atau iman Kristian itu bukanlah merupakan suatu falsafah, hukum, moral atau cara hidup. Tetapi ia adalah pertemuan dengan peribadi Yesus Kristus.

Hidup Kristian adalah membangun hubungan peribadi dengan Tuhan melalui dan di dalam peribadi Yesus Kristus.

Injil atau khabar gembira itu bukanlah mengenai buku tetapi ia adalah peribadi Yesus Kristus sendiri. Inilah yang membezakan agama Kristian dengan agama yang lain.

Bagi kita umat Kristian iman itu adalah hubungan intim dengan peribadi Tuhan Yesus. Dia adalah terang dunia. Kita percaya dengan penuh keyakinan bahawa dengan beriman kepada-Nya kita diselamatkan dan memiliki kehidupan kekal.

Pembacaan pertama merupakan nubuat nabi Yesaya tentang kemuliaan Tuhan yang akan datang bagi umat Israel yang hidup di dalam pembuangan.

Mereka telah dibawa ke Asiria dan mereka bagaikan hidup di dalam kegelapan. Nubuat nabi Yesaya, “Bangsa yang berjalan di dalam kegelapan telah melihat terang besar; terang telah bersinar di atas mereka yang diam di negeri kekelaman.”

Nubuat ini telah memberi harapan baru kepada mereka yang hidup dalam pembuangan. Semasa hidup dalam buangan di negeri musuh mereka iman umat Israel amat tergugat kerana pengaruh-pengaruh dari agama bukan Yahudi.
Yesaya melihatnya sebagai hidup di dalam kegelapan kerana Tuhan tidak bersama mereka.

Pembacaan Injil menyatakan bahawa nubuat Yesaya digenapi oleh Yesus Kristus. “Yesus me-netap di Kapernaum memenuhi nubuat Yesaya.”

Santo Matius melihat nubuat itu telah menjadi nyata ketika Yesus mulai mewartakan khabar gembira di Galilea. Yesus sendirilah adalah khabar gembira dan cahaya yang menyinari kehidupan manusia.

Dalam Injil jelas menyatakan bahawa Kristus adalah terang kehidupan yang menyinari ke-gelapan dunia kerana dosa seperti yang telah dinubuatkan oleh nabi Yesaya dalam pembacaan pertama.

Sebagai Terang, Yesus memberitakan pertaubatan dan khabar gembira tentang kerajaan Tuhan serta menyembuhkan ramai orang dari pelbagai penyakit.

Sambil melaksanakan misi-Nya Yesus memanggil beberapa orang mengikuti Dia dan menjadi murid-Nya supaya mereka turut serta dalam misi pewartaan-Nya.

Dia menjadikan mereka para penginjil (penjala manusia). Mereka telah meninggalkan cara hidup lama mereka dan mengikuti Yesus.

Misi pewartaan Injil diteruskan oleh pengikut-pengikut Kristus yang sejati sampai sekarang sebab Tuhan Yesus telah mengatakan “Kamu adalah terang dunia” (Mat 5:14).

Namun demikian, masih ramai lagi orang di dunia ini masih tinggal di dalam kegelapan kerana dikuasai oleh dosa, sebab tidak semua umat Kristian sedar tentang peranan dan tanggungjawab mereka sebagai penginjil. Sebagai umat Kristian adalah tanggungjawab kita membawa orang lain untuk bertemu dengan peribadi Kristus.

Santo Paulus di dalam pembacaan Kedua menasihati umat Kristian di Korintus supaya mereka mengusahakan hidup dalam kesatuan kerana mereka sedang berpuak-puak.

Maka Paulus menegaskan. “Hendaknya kamu seia sekata dan jangan ada perpecahan di antara kamu.” Persoalan mengenai kesatuan Gereja sudah timbul sejak ia didirikan.

Paulus memberi penekanan bahawa perpecahan dalam komuniti Kristian hanyalah membawa kepada kegelapan.
Sepatutnya mereka menjadi pemberita Injil Kristus. Dengan ini Paulus menjadi penyalur sinar perdamaian dan kesatuan.
Tanpa kesatuan dalam Kristus hidup kita sama seperti berada dalam kegelapan.

Dalam hidup kita tentu masih ada kawasan-kawasan hidup kita yang masih dalam kegelapan. Ini termasuklah ketakutan, penyakit, dosa, kesepian, kekecewaan, tekanan, dan sebagainya. Maka kita memerlukan terang Kristus untuk menyinari kehidupan kita. Sesudah hidup kita dibaharui apakah kita rela menjadi terang kepada orang lain?

Tanpa cahaya kita hidup di dalam kegelapan. Kita hidup di dalam dunia yang digelapi oleh kejahatan, ketidakadilan, kebencian, peperangan dan pembunuhan. Yesus adalah terang yang menerangi segala bentuk kegelapan.

Marilah kita selalu menjemput Tuhan Yesus Kristus untuk me-nerangi keluarga, komuniti, masyarakat dan Negara kita, agar terang Kristus sentiasa menerangi kehidupan manusia. Jemputlah Dia sekarang! — santapanrohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments