Mengusir syaitan melalui doa Hening
Ada kejadian dalam Injil di mana murid -murid Yesus tidak dapat membuang syaitan tertentu. Apabila mereka bertanya kepada Yesus mengapa, Dia menjawab bahawa sesetengah syaitan hanya boleh dibuang oleh doa.
Mar 22, 2025

Ada kejadian dalam Injil di mana murid -murid Yesus tidak dapat membuang syaitan tertentu. Apabila mereka bertanya kepada Yesus mengapa, Dia menjawab bahawa sesetengah syaitan hanya boleh dibuang oleh doa.
Syaitan tertentu dirujuk oleh Yesus dalam contoh ini telah menyebabkan seorang lelaki pekak dan bisu.
Saya ingin menamakan syaitan lain yang seolah-olah tidak dapat diusir kecuali dengan doa, iaitu, syaitan yang selama-lamanya merosakkan hubungan peribadi, keluarga, komuniti dan Gereja-gereja melalui salah faham dan pembahagian, menjadikan kita sukar menjadi ahli masyarakat yang memberikan kehidupan antara satu sama lain. Apa doa tertentu yang diperlukan untuk membuang syaitan ini? Kita perlu doa keheningan bersama iaitu serupa dengan Quaker Silence (QS).
Apakah itu QS? Berikut merupakan sejarah singkatnya: Quakers adalah satu set denominasi Kristian Protestan yang ahli-ahlinya melihat satu sama lain sebagai kawan. Mereka dipanggil Quakers kerana pengasas mereka, George Fox (1624-1691) pernah menyatakan sebuah kenyataan yang terkenal seperti berikut: Legenda mengatakan bahawa dalam menghadapi beberapa tokoh pihak berkuasa yang cuba menakut-nakutkannya, Fox memegang Alkitabnya dan berkata: Ini adalah Firman Tuhan, gentarlah kepada- Nya!
Bagi Quakers, terutamanya pada zaman dahulu, secara umumnya mereka berdoa dengan duduk bersama dengan komuniti dalam keadaan hening, menunggu Tuhan untuk bercakap dengan mereka.
Mereka akan duduk bersama dalam diam, menunggu kuasa Tuhan untuk datang dan memberi mereka sesuatu yang mereka tidak dapat berikan iaitu, komuniti sebenar, komuniti sejati melangkaui semua hal yang memisahkan mereka.
Walaupun mereka duduk secara individu, doa mereka adalah radikal.
Mereka duduk sebagai sebuah komuniti, menunggu bersama-sama bagi Tuhan untuk memberi mereka perpaduan yang mereka tidak dapat berikan berdasarkan kekuatan mereka.
Mungkin ini boleh dijadikan amalan kita, orang Kristian dari setiap denominasi, untuk berlatih hari ini kerana kita tidak berdaya menghadapi unsur-unsur yang cuba memisahkan atau membahagikan (dalam keluarga kita, di Gereja-gereja kita dan di negara kita).
Memandangkan itu, sebagai orang Kristian, kita berada di akar satu komuniti di dalam tubuh Kristus, satu badan organik tunggal di mana jarak fizikal tidak dapat memisahkan kita, mungkin kita boleh bermula menjadikannya amalan doa biasa untuk duduk bersama dalam senyap Quakers, sebagai satu komuniti, duduk diam, menunggu bersama-sama, menunggu Tuhan datang dan memberi kita komuniti kerana kita tidak berdaya untuk melakukannya sendiri?
Secara praktikal, bagaimanakah ini dapat dilakukan? Berikut adalah cadangan: Setiap hari kita peruntukkan masa untuk duduk diam, bersendirian atau ideal dengan orang lain, untuk tempoh masa yang ditetapkan (lima belas hingga dua puluh minit) di mana tujuannya, tidak seperti dalam meditasi peribadi, bukanlah pertama-tama untuk memupuk keintiman peribadi anda dengan Tuhan, sebaliknya untuk duduk bersama dalam komuniti sebagai satu tubuh, melangkaui semua perkara yang dapat memisahkan kita.
Ini juga boleh menjadi ritual yang kuat dalam perkahwinan dan dalam kehidupan keluarga.
Mungkin salah satu terapi penyembuhan yang paling kuat dalam perkahwinan ialah pasangan boleh duduk bersama secara teratur dalam hening, meminta Tuhan memberi mereka sesuatu yang mereka tidak dapat berikan untuk orang lain iaitu persefahaman antara satu sama lain di luar ketegangan kehidupan seharian.
Saya masih ingat sebagai seorang kanakkanak, kami sentiasa berdoa rosari bersama sebagai keluarga setiap petang dan ritual itu mempunyai kesan QS. Ritual itu menenangkan ketegangan yang berlaku pada siang hari dan membuatkan kami berasa lebih aman sebagai keluarga.
Saya menggunakan istilah QS, namun sebenarnya terdapat pelbagai bentuk meditasi dan kontemplasi yang mempunyai tujuan yang sama.
Sebagai contoh, pengasas kongregasi yang saya sertai sekarang, misonari Mary Immaculate iaitu Sto Eugene de Mazenod, meninggalkan amalan doa yang dipanggil Oraison.
Doa Oraison ini bertujuan: menjadikan hidup bersama dalam masyarakat suatu kewajipan.
Kebetulan, kami adalah kongregasi yang berada di lebih enam puluh negara di seluruh dunia.
Bagaimanakah kami boleh berada dalam komuniti antara satu sama lain sedangkan kami dipisahkan oleh jarak? Jawabannya, melalui amalan Oraison.
Sto Eugene meminta kami untuk menetapkan masa setengah jam setiap hari untuk duduk diam, ketika itu kami tidak hanya berkomunikasi dengan Tuhan tetapi juga dalam persekutuan di seluruh dunia.
Ia hampir sama dengan QS. Ia ialah doa di mana setiap orang duduk bersendirian, dalam hening, dalam masyarakat, meminta Tuhan untuk membentuk sebuah komuniti di semua jarak dan perbezaan.
Yesus mengatakan bahawa beberapa syaitan hanya dapat diusir oleh doa. Dan mungkin syaitan yang disebut ini adalah syaitan salah faham dan syaitan yang cuba memisahkan.
Kita tahu kita tidak berdaya untuk mengusirnya. Lantaran itu, duduk dalam hening dengan komuniti, meminta Tuhan melakukan sesuatu untuk kita di luar ketidakberdayaan kita, dapat mengusir syaitan salah faham dan syaitan yang suka memecah-belahkan kita. Hakcipta Terpelihara 1999-2025 @ Fr Ron Rolheiser
Total Comments:0