Menjadi saksi kebangkitan Kristus
Bagi kita umat Kristian, Paskah adalah suatu pemberian kepastian bahawa kematian bukanlah akhir hidup kita seutuhnya.
Mar 28, 2024
HARI RAYA PASKAH
KEBANGKITAN TUHAN
Kisah para rasul 10:34a-37-43
Kolose 3:1-4
injil Yohanes 20:1-18
Bagi kita umat Kristian, Paskah adalah suatu pemberian kepastian bahawa kematian bukanlah akhir hidup kita seutuhnya.
Kebangkitan Yesus merupakan bukti, bahawa Tuhan selalu mendampingi dan memberi kekuatan kepada kita, untuk senantiasa tekun dan teguh, tetap kuat mengalami apa pun percubaan hidup.
Paskah memberikan kepada kita suatu jatidiri, identiti murni yang pasti: kita ini diselamatkan, maka sebagai orang beriman Kristian, jangan sampai hidup dengan ketakutan dan kehilangan harapan!
Semasa Minggu Suci, khususnya Triduum, kita telah mendengar betapa besar perhatian dan rencana kasih Tuhan demi menyelamatkan kita.
Kita juga mendengar kesaksian tiga orang wanita (Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus dan Salome) tentang kebangkitan Yesus.
Dalam empat Injil, Maria Magdalena diceriterakan sebagai seorang wanita dari Galilea, yang mengikuti Yesus dan murid-murid-Nya.
Dia melayani Yesus dan hadir menyaksikan ketika Yesus disalib dan dimakamkan serta datang ke makam untuk mengurapi jenazah Yesus.
Perlu kita perhatikan, bahawa Yesus hidup dalam masyarakat yang bercorak ‘androsentris’ atau berpusat pada atau dikuasai oleh lelaki.
Wanita pada ketika itu tidak mempunyai hak sebagai saksi dan tidak boleh belajar Taurat. Yesus yang hidup dalam masyarakat itu bertindak tanpa mengurangi martabat wanita. Dia bergaul dan menghormati wanita serta bersahabat dengan mereka.
Dalam Injil Yohanes 20:11-18 diceriterakan, bahawa Maria Magdalena sedih dan menangis kerana Yesus ternyata tidak ada di makam.
Yesus menegur wanita itu: “Ibu (‘wanita’, ‘perempuan’) mengapa engkau menangis? Siapakah yang engkau cari?’.
Maria Magdalena menjawab: ‘Tuan, jikalau Tuan yang mengambil Dia, katakanlah kepadaku, di mana Tuan meletakkan Dia, supaya aku dapat mengambil-Nya’ (ay. 15).
Jawaban Yesus:“Maria!” Maria Magdalena berkata kepada-Nya dalam bahasa Ibrani: “Rabuni!” ertinya ‘Guru’ (ay. 16).
Dalam tutur kata itu terungkaplah hubungan ‘Guru-Murid’ yang erat antara Yesus dan Maria Magdalena, juga dengan murid-murid-Nya.
Dan hubungan erat itu terungkap dalam ucapan Yesus ini: “Pergilah kepada saudara-saudara-Ku dan katakanlah kepada mereka, bahawa sekarang Aku akan pergi kepada Bapa-Ku dan Bapamu, kepada Tuhan-Ku dan Tuhanmu” (ay. 17).
Ternyata cara Tuhan menyampaikan sabda dan kehendak-Nya kepada manusia tidak tergantung dari tata susunan atau tata tertib, yang dibuat dan ditentukan oleh manusia. Hirarki karya penyelamatan Tuhan memiliki caranya sendiri.
Maria Magdalena, seorang perempuan yang dalam masyarakat zamannya mempunyai kedudukan kedua sesudah lelaki, Yesus menampakkan diri-Nya sesudah bangkit bukan pertama-tama kepada Petrus dan para Rasul lainnya, tetapi kepada Maria Magdalena.
Kepada Maria Magdalena inilah Yesus memberikan tugas perutusan pewartaan tentang kebangkitan-Nya.
Inilah sebabnya Gereja Perdana menyebut Maria Magdalena ‘Apostola Apotolorum’, Rasul Para Rasul. Sebab Maria Magdalena adalah wanita dan orang pertama yang menyaksikan Yesus yang telah bangkit dan mewartakan kebangkitan-Nya itu kepada rasul-rasul lain.
Inilah salah satu bahagian isi Khabar Gembira Paskah, yang sekarang, masih patut untuk diperhatikan bahawa martabat wanita adalah sama dengan lelaki di hadapan Tuhan.
Wanita juga diutus Yesus Kristus untuk mewartakan khabar gembira kepada semua orang.
Kebangkitan Yesus Kristus adalah jaminan kebenaran agama Kristian.
Maka setiap pemeluk agama Kristian, bila ingin menjaga kesungguhan atau kesejatian jatidirinya sebagai orang Kristiani, harus menyedari tanggung jawabnya untuk mewartakan kebangkitan Yesus kepada semua orang. — Msgr F.X. Hadisumarta O.Carm, iman Katolik
Total Comments:0