Menjadi yang terhadapan dalam menabur kebaikan

Ada sebuah kisah, seorang isteri yang tertekan meminta nasihat daripada seorang pembimbing perkahwinan, “Saya membenci suamiku,” keluhnya. “Dia membuat hidupku seperti di dalam neraka. Saya ingin bercerai dan membuat segala sesuatu sukar untuknya!”

Oct 01, 2021

Hari Minggu Biasa Ke-27 (Tahun B )
KEJADIAN 2:18-24
IBRANI 2:9-11 INJIL MARKUS 10:2-16


Ada sebuah kisah, seorang isteri yang tertekan meminta nasihat daripada seorang pembimbing perkahwinan, “Saya membenci suamiku,” keluhnya. “Dia membuat hidupku seperti di dalam neraka. Saya ingin bercerai dan membuat segala sesuatu sukar untuknya!”

Pembimbing perkahwinan itu menasihatinya, “Mulailah menghujaninya dengan puji-pujian dan turutilah segala kemahuannya. Kemudian apabila dia menyedari betapa dia memerlukan kehadiranmu, datang semula bertemu dengan saya untuk menguruskan perceraianmu."

Enam bulan kemudian, si isteri tadi bertemu kembali dengan si pembimbing. Si pembimbing bertanya, “Jadi bila engkau akan menguruskan perceraianmu?”

Si isteri tersenyum, “Tidak jadi. Sekarang kami hidup bahagia!”

Menurut laporan Pejabat Ketua Perangkawan Malaysia 2020, kadar perceraian am telah meningkat daripada 6.5% kepada 7.2% bagi setiap 1,000 penduduk. Antara punca penceraian ialah tiada lagi persefahaman, masalah kewangan dan keganasan rumah tangga.

Betapa pun hebatnya kejayaan seseorang manusia, tidak setanding dengan kejayaan seseorang yang hidup bahagia dengan keluarganya.

Memang tidak dinafikan sekarang ini kita berada di tengahtengah pandemik, pelbagai tekanan menyebabkan konflik dalam keluarga.

Apabila orang-orang Farisi mencubai Yesus dengan bertanya apakah perceraian itu diperbolehkan, Yesus mengambil kesempatan tersebut untuk menegaskan nilai-nilai luhur suatu perkahwinan.

Bahawa orang yang berkahwin bukan lagi dua tapi menjadi satu. Maksudnya, perkahwinan itu merupakan suatu komitmen untuk tetap setia baik dalam suka mahupun duka.

Yesus menegaskan pula bahawa apa yang disatukan oleh Tuhan, tidak boleh diceraikan oleh manusia. Maka itulah sebabnya perkahwinan poligami, iaitu kahwin lebih daripada satu tidak diperbolehkan.

Walaupun menghadapi pelbagai masalah, sebenarnya konflik atau masalah dalam keluarga merupakan suatu berkat bahawa kita diuji agar tidak memilih jalan yang mudah, sebaliknya mencari jalan penyelesaian yang kreatif.

Maka dengan demikian, perkahwinan itu akan menjadi sebuah sekolah cinta kasih yang mendalam di mana kita belajar mengasihi, mengampuni dan diampuni, memahami daripada difahami serta menghargai daripada dihargai.

Bagi mereka yang berkahwin, mungkin lima resepi perkahwinan ini baik untuk kita renungkan dan bagi menghindari istilah ‘cerai’ dalam hidup perkahwinan kita:

1.Setiap pasangan perlu mengambil masa secara konsisten untuk berdoa dan membaca Alkitab sebab tanpa Tuhan, “kita tidak dapat berbuat apa-apa” (Yoh 15:5).

2.Komunikasi penting dalam perkahwinan. Jangan mendiamkan diri ketika ada rasa tidak puas hati. Berbincanglah secara matang.

3.Belajar ambil masa sendirian untuk memperkembangkan bakat-bakat, hobi sendiri.

4.Ketahui bahawa pasangan kita mempunyai keperibadian dan keperluan berbeza. Mohon bantuan Roh Kudus untuk terus tabah mengenali pasangan kita.

5.Jangan lupa memuji, bersyukur dan berterima kasih meskipun perkara-perkara kecil yang yang dilakukan oleh pasangan.

Dalam perkahwinan, dua individu, lelaki dan wanita, boleh menjadi lebih erat dan menjadi institusi keharmonian untuk masyarakat.

Dalam perkahwinan, diperlukan tiga pihak: Lelaki, wanita dan Tuhan, lalu menyempurnakannya dengan kata-kata Yesus, “Sebab di luar Aku kamu tidak dapat berbuat apa-apa” (Yoh 15:5). – santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments