Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim tidak seharusnya lepas tangan!
Menteri Besar Khalid Ibrahim tidak harus melepaskan tanggungjawab beliau untuk mencari penyelesaian adil dan saksama kepada isu rampasan 300 Alkitab Melayu dan Iban daripada Persatuan Alkitab Malaysia (BSM) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Apr 11, 2014
Menteri Besar Khalid Ibrahim tidak harus melepaskan tanggungjawab beliau untuk mencari penyelesaian adil dan saksama kepada isu rampasan 300 Alkitab Melayu dan Iban daripada Persatuan Alkitab Malaysia (BSM) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Kami amat khuatir membaca kenyataan Menteri Besar Khalid Ibrahim semalam bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil keputusan untuk meminta Persatuan Alkitab Malaysia (BSM atau Bible Society of Malaysia) menulis terus kepada Peguam Negara agar mengembalikan Alkitab yang dirampas.
Kami amat resah terhadap kenyataan MB bahawa BSM “perlu membuktikan kesungguhan dan keinginan mereka” untuk mendapatkan semula Alkitab Melayu dan Iban dari Jabatan Agama Islam Selangor.[1]
Kami ingin mengingatkan MB bahawa pada 8 Januari 2014, seminggu selepas Alkitab dirampas oleh JAIS, MB sendiri telah mengarahkan JAIS untuk mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri[2] sama ada Alkitab Melayu dan Iban memenuhi Penyelesaian 10 Perkara yang diumumkan oleh kerajaan BN pada tahun 2011 sebelum pilihan raya kecil negeri Sarawak.[3]
Kami berharap agar MB masih ingat terhadap beberapa perkara penting yang terkandung dalam Penyelesaian 10 Perkara termasuk yang berikut (yang jelas menunjukkan bahawa pencetakan dan pengedaran Alkitab Melayu kepada orang Kristian di Semenanjung Malaysia adalah selaras dengan 10 perkara):
1. Alkitab dalam semua bahasa boleh diimport ke negara ini, termasuk Bahasa Malaysia/Indonesia.
2.Alkitab-alkitab ini boleh dicetak secara tempatan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ini adalah perkembangan baru yang wajar diterima oleh kumpulankumpulan Kristian.
5.Dengan mengambil kira kepentingan masyarakat Islam yang berbilangan lebih besar, di Semenanjung Malaysia, Alkitab dalam Bahasa Malaysia/Indonesia, samada diimport atau dicetak, perlu ada perkataan-perkataan “Penerbitan Kristian” dan lambang salib dicetak pada kulit muka depannya.
Kami juga ingin mengingatkan MB bahawa kami masih belum mendengar hasil siasatan JAIS ke atas Alkitab BM dan Iban di mana, menurut kata-kata MB pada 25 Januari 2014, ia perlu diselesaikan sebelum Kerajaan Negeri Selangor memutuskan tindakan yang seterusnya.[ 4]
Kami menggesa MB untuk meminta JAIS membekalkan maklumat terkini mengenai perkembangan penyiasatan ini dan sama ada perlu atau tidak SEMUA 300 salinan Alkitab BM dan Iban disimpan sementara siasatan sedang dijalankan.
Gesaan MB kepada BSM supaya menulis terus kepada Peguam Negara amat mengejutkan memandangkan beliau dipetik berkata pada Isnin, Januari 31, 2014 bahawa satu resolusi untuk perkara ini sedang dalam peringkat akhir persiapan.[5]
Permintaan MB merupakan pelepasan tanggungjawab kerajaan negeri untuk mencari resolusi yang adil dan saksama bagi isu ini yang berkait rapat dengan hak kebebasan beragama yang dilindungi perlembagaan, yang termasuk hak mengurus hal ehwal agama sendiri seperti yang termaktub dalam Perkara 11 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Kami ingin mengingatkan MB bahawa Pakatan Rakyat di Selangor telah diberi mandat yang kuat pada Pilihan Raya Umum ke-13 berasaskan janji Pakatan untuk mentadbir secara inklusif, adil dan saksama.
Meminta BSM untuk menulis terus kepada Peguam Negara dan menunjukkan “kesungguhan dan keinginan” mereka untuk mendapatkan balik Alkitab akan dilihat sebagai tidak mengendahkan janji pilihan raya tersebut.
Kami menggesa MB untuk mencari secara proaktif jalan penyelesaian kepada isu ini melalui perundingan dengan pihak berkepentingan yang utama termasuk JAIS, BSM, Peguam Negara dan Kementerian Dalam Negeri dan bukan sekadar menolak tanggungjawab ini kepada BSM.
Sesungguhnya, kesungguhan dan keinginan untuk mencari penyelesaian yang adil dan saksama kepada masalah ini akan menjadi mercu tanda seseorang pembawa pembaharuan tulen.
Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang
[1] http://www.themalaymailonline. com/malaysia/article/selangortells- bsm-to-seek-bibles-return-onits- own
[2]http://www.freemalaysiatoday.co m/category/nation/2014/01/08/sgormb- say-confiscated-bibles-must-bereturned/
[3]http://www.thestar.com.my/Story/ ?file=%2F2011%2F4%2F3%2Fnat ion%2F8407376
[4]http://www.fz.com/content/sgorwait- jais-complete-probe-seizedbibles- khalid
[5] http://www.themalaysianinsider. com/malaysia/article/bible-society- told-to-write-to-attorney-general- for-return-of-al-kitab
Total Comments:0