Menyalakan cahaya rohani kaum muda
Pada November 23, Keuskupan Melaka Johor (MJD) telah mengadakan Hari Belia Sedunia peringkat Keuskupan di Pusat Majodi, Plentong.
Dec 14, 2024

PLENTONG: Pada November 23, Keuskupan Melaka Johor (MJD) telah mengadakan Hari Belia Sedunia peringkat Keuskupan di Pusat Majodi, Plentong.
Seramai 680 orang muda, terdiri daripada remaja, mahasiswa pelajar kampus dan beliawanis daripada empat kumpulan bahasa utama iaitu bahasa Inggeris, bahasa Malaysia, Tamil dan Mandarin telah mengambil bahagian dalam acara meriah bertema, “Mereka yang berharap kepada Tuhan akan berlari dan tidak lesu” (Yes 40:31).
Acara sehari ini dimulakan dengan Misa pembukaan yang dipimpin oleh Uskup Bernard Paul.
Prelatus itu menyeru golongan muda untuk tidak menjadi “pelancong” sebaliknya menjadi penziarah harapan, berjalan bersama Tuhan, memberi perhatian kepada karya-karya amal serta kebaikan dalam kalangan belia.
Misa diakhiri dengan pengutusan Majlis Orang Muda Keuskupan Melaka Johor (MJDYPC) yang merupakan pemimpin muda dari paroki yang bernaung di bawah MJD. Mereka merupakan pasukan utama yang bersatu hati, mengatur, merancang dan melaksanakan acara tersebut.
Selepas pengutusan, peserta menyertai sesi mengenai tema WYD. Dalam sesi itu, para peserta mengimbas kembali homili yang disampaikan semasa Misa dan merenung soalan, “Bagaimanakah saya boleh menjadi tanda harapan kepada orang lain?” Kemudian, dengan menggunakan kaedah “Perbualan dalam Roh”, mereka berkongsi dalam kumpulan.
Ini diikuti dengan pameran reruai pelbagai pelayanan keuskupan seperti Kerasulan Kehidupan Keluarga, Pelayanan Kaunseling, Caritas Malaysia, Ministri Panggilan, Pusat Belia Montfort serta Pelayanan Keadilan Penciptaan.
Reruai ini membolehkan para peserta dapat mengetahui lebih lanjut mengenai pelayanan lain di keuskupan dan bagaimana mereka boleh terlibat.
Pada masa yang sama, diadakan pujian dan penyembahan dalam pelbagai bahasa di dewan utama dan permainan diadakan di kawasan lain di Pusat Majodi.
Kesemua 680 peserta berkumpul semula di dewan utama untuk meraikan konsert MJDYPD di mana semua orang muda memuji dan menyembah Tuhan sebagai sebuah keluarga komuniti Katolik yang besar.
Acara diakhiri dengan lagu aksi, sorakan kumpulan “MJDYPD!” dan berkat diberikan oleh ketua bersama kerasulan belia keuskupan (MJDYPN), Fr Alexuchelvam.
Total Comments:0