Minyak suci tanda kehadiran Roh
Pada petang April 16, Misa Krisma dirayakan di Katedral St Joseph yang dipimpin oleh Uskup Agung Simon Poh.
May 04, 2025

KUCHING: Pada petang April 16, Misa Krisma dirayakan di Katedral St Joseph yang dipimpin oleh Uskup Agung Simon Poh.
Uskup Agung Simon memulakan homilinya dengan mengingatkan umat beriman bahawa Tahun 2025 telah diisytiharkan sebagai Tahun Jubli Harapan.
Memetik petikan dari Imamat 25, prelatus itu menjelaskan bahawa menurut kitab suci, jubli ialah masa rehat, pembaharuan dan perdamaian, diraikan dengan membebaskan hamba, penghapusan hutang dan pemulihan tanah.
“Jubli ialah masa rahmat, masa untuk kembali kepada Tuhan, untuk memperbaharui hubungan kita dengan satu sama lain, dengan penciptaan dan dengan Tuhan,” kata Uskup Agung Simon.
Merujuk kepada pembacaan kedua pada hari tersebut, Bapa Uskup Agung mengatakan, “Dia mengasihi kita dan telah ‘membasuh’ dosa kita dengan darah-Nya,” serta mengingatkan bahawa pembaptisan menandakan permulaan misi umat Katolik.
“Melalui pembaptisan, setiap orang diurapi dan diutus -dipanggil untuk hidup sebagai paderi, nabi dan raja.”
“Malam ini, kita berkumpul sebagai satu keluarga di Keuskupan Agung Kuching. Misa Krisma ialah simbol perpaduan itu, perayaan misi bersama kita.”
Kuasa Minyak-minyak suci
Salah satu momen penting dalam Misa Krisma ialah pemberkatan tiga minyak suci yang digunakan sepanjang tahun dalam pelayanan sakramen iaitu Minyak Orang Sakit: untuk pengurapan orangorang yang sakit atau diambang maut, membawa penghiburan dan penyembuhan; Minyak Katekumen yang digunakan dalam proses Inisiasi Kristian Dewasa yang meneguhkan mereka dalam persiapan menjadi anggota Gereja Katolik; Minyak Krisma, minyak harum yang diberkati oleh uskup, digunakan dalam pembaptisan, penguatan, pentahbisan dan pemberkatan Gereja serta altar.
Uskup Agung Simon menjelaskan kepentingan setiap minyak bahawa ketiga-tiganya bukan minyak biasa tetapi instrumen suci berkat Roh Kudus. “Minyak-minyak ini ialah tanda kehadiran Tuhan. Ia menyembuhkan, menguatkan, menguduskan dan mengingatkan kita bahawa kita diurapi untuk misi.”
Prelatus itu menyatakan syukur dan penghargaan kepada para paderi di Keuskupan Agung Kuching atas pelayanan pastoral mereka khususnya pada musim Pra-Paskah lalu.
Uskup Agung Simon berkongsi pengalaman indah yang berlaku baru-baru ini, apabila 18 orang paderi memberikan pelayanan Sakramen Pengakuan lewat malam.
“Tidak mudah untuk melakukan seperti apa yang kamu lakukan. Kami amat tersentuh dan diberkati oleh belas kasihan anda,” ujar Uskup Agung Simon.
Uskup Agung juga menyatakan keperluan mendesak iaitu pelayanan pastoral yang tepat pada masanya untuk orang sakit dan menghampiri kematian.
Beliau menggesa keluarga untuk memaklumkan kepada pihak Gereja lebih awal apabila orang yang disayangi tidak sihat agar para paderi dapat melakukan segera pengurapan orang sakit pada waktunya.
“Sangat menyedihkan apabila kita tidak sempat memberikan pelayanan itu namun kita adalah manusia, tetapi kami berusaha untuk memberikan yang terbaik.”
Total Comments:0