Misi penting melindungi golongan lemah
Kira-kira 25 buah negara di seluruh Eropah telah berkumpul di Roma untuk mengambil bahagian dalam persidangan yang didedikasikan untuk meneruskan misi Gereja untuk melindungi golongan lemah.
Nov 22, 2024
TAKHTA SUCI: Kira-kira 25 buah negara di seluruh Eropah telah berkumpul di Roma untuk mengambil bahagian dalam persidangan yang didedikasikan untuk meneruskan misi Gereja untuk melindungi golongan lemah.
Pada November 13 hingga 15, Komisi Kepausan untuk Perlindungan Anak Bawah Umur menganjurkan persidangan “Perlindungan dalam Gereja Katolik di Eropah.”
Matlamatnya: untuk meneruskan kerja-kerja Rangkaian Eropah mengenai perlindungan yang bermula di Warsaw, Poland pada 2021.
Panggilan untuk menjadi pendamai dunia
Untuk memulakan persidangan tiga hari itu, Sri Paus Fransiskus menghantar surat kepada para peserta memuji kehadiran negara-negara ini, walaupun di tengah-tengah peperangan dan konflik bagi sesetengah pihak.
Beliau mengingatkan mereka tentang panggilan mereka untuk menjadi pendamai di dunia dan menjadi “saksi yang petah untuk perpaduan yang merentasi semua sempadan.”
Bapa Suci menyatakan harapannya bahawa persidangan itu akan mewujudkan rangkaian “orang dan amalan baik” yang menjurus kepada perkongsian maklumat dan menyokong satu sama lain dalam usaha mereka dalam menyediakan program yang berkesan dan mampan.
Prelatus itu menggalakkan para peserta untuk mencipta inisiatif yang “memberi keselesaan dan bantuan kepada mereka yang telah menderita, sebagai tanda keprihatinan Gereja terhadap keadilan, penyembuhan dan pendamaian.”
Melindungi anak-anak Tuhan, misi semua Gereja
100 perwakilan yang terdiri daripada uskup, paderi, religius dan awam, termasuk mangsa yang terselamat, dari 25 negara Eropah, telah datang ke Roma untuk persidangan ini.
Persidangan itu secara rasminya dimulakan dengan pesan video daripada Kardinal Seán O’Malley, Uskup Agung Boston dan Presiden Komisi Kepausan untuk Perlindungan Anak Bawah Umur.
Kardinal itu menyatakan harapannya bahawa misi ini dapat membantu “membaiki kerosakan yang dialami oleh kanakkanak dan kini turut terjadi pada orang dewasa” akibat salah laku atau penderaan dalam Gereja Katolik.
Menekankan kepentingan memberi suara kepada mangsa. Kardinal O’Malley berkata “kanak-kanak dipercayakan kepada kita” dan menekankan keperluan untuk memimpin mereka dengan penuh belas kasihan, sambil turut mengikuti “proses yang sewajarnya dalam menyiasat dakwaan.”
Uskup Agung Eamonn Martin, Presiden Konferensi para Uskup Katolik Ireland, menjelaskan bahawa Gereja di Ireland menawarkan dua jenis jangkauan untuk mangsa penderaan seksual iaitu bantuan sokongan psikologi dan sokongan rohani.
“Salah satu perkara yang paling menyedihkan tentang penderaan seksual ialah ia dilakukan oleh orang yang sangat dekat dengan Gereja.”
Misi yang berterusan
Pada September 2021, Komisi Kepausan untuk Perlindungan Anak Bawah Umur telah mengadakan persidangan perlindungan di Warsaw dengan tema, “Misi Bersama Kita: Melindungi Anak-anak Tuhan.” Objektifnya adalah untuk menjemput pertukaran pengalaman dan mewujudkan rangkaian dengan wakil Gereja untuk menjadi lebih terdidik dalam melindungi golongan bawah umur. Media Vatikan
Total Comments:0