Monstrans terbesar di dunia untuk penebusan dosa
Perarakan tahunan Corpus Christi di Valencia berlangsung dalam suasana tradisi dan simbolisme yang mendalam, menekankan kepentingan penebusan dosa.
Jun 15, 2024

VALENCIA, Sepanyol: Perarakan tahunan Corpus Christi di Valencia berlangsung dalam suasana tradisi dan simbolisme yang mendalam, menekankan kepentingan penebusan dosa. Di tengah-tengah acara itu, monstrans terbesar di dunia, mengetuai perarakan sebagai aksi penebusan dosa terhadap kekejaman yang tercetus semasa Perang Saudara Sepanyol.
Perang Saudara Sepanyol, yang melanda dari 1936 hingga 1939, menyaksikan kematian ngeri ribuan paderi, biarawati dan orang awam namun sebelas dari yang terkorban telah dikanonisasikan, lebih 2,000 telah dibeatifikasi dan 2,000 orang lagi sedang dalam proses penggelaran.
Pada bulan April, Sri Paus Fransiskus telah mengiktiraf kemartiran dua individu — seorang paderi dan bapa kepada sebelas anak — mencerminkan usaha berterusan yang menghormati mangsa peperangan kejam itu.
Peperangan itu juga telah menyebabkan kehilangan khazanah keagamaan dan seni yang penting, termasuk monstrans asal yang digunakan dalam perarakan Corpus Christi Valencia.
Perarakan besar-besaran di Valencia dimulakan pada tahun 1372, selepas Sri Paus Urban IV mengumumkan pada tahun 1264 untuk menjadikan perayaan Corpus Christi sebagai perayaan universal untuk Gereja.
Dalam tahun-tahun yang huru-hara selepas perang mengakibatkan kesan ekonomi yang merundum.
Namun, paderi Yesuit Fr Antonio de León mencadangkan kepada Uskup Agung Prudencio Melo untuk membina monstrans baharu setelah monstrans lama musnah semasa perang.
Walaupun agar ragu kerana kekangan kewangan, sumbangan simbolik lima syiling perak daripada seorang buruh mendorong projek itu diteruskan. Warga Valencia, miskin dan kaya, menyumbang kepada usaha itu.
Siap pada tahun 1954, monstrans baharu ialah sebuah struktur besar, ketinggian lebih 13 kaki dan kelebaran tujuh kaki, terdiri daripada 1,300 paun perak, 18 paun emas dan ratusan batu permata dan mutiara.
Walaupun mewah, Uskup Agung Melo menamakannya sebagai “Monstrans untuk Orang Miskin” bagi pengiktirafan terhadap sumbangan sederhana daripada para dermawan.
Monstrans itu dihiasi dengan 159 arca yang terdiri dari gambar-gambar dan ukiran gambaran Kitab Suci, para santo, mukjizat Ekaristi, Santa Perawan Maria pelindung orang-orang yang terpinggir yang juga adalah Santa Pelindung Valencia.
Monstrans ini dibawa berarak semasa perarakan Corpus Christi, melintasi jalan-jalan di Valencia sebagai aksi pengabdian warga Valencia.
Perarakan itu sendiri adalah katekesis yang jelas, menampilkan tokoh-tokoh yang mewakili kebajikan, cerita alkitabiah, orang kudus dan simbol agama yang penting. Sorotan yang menarik ialah kumpulan penatua dari Kitab Wahyu, membawa lilin seberat 35 paun yang menandakan kedatangan Yesus yang hampir tiba.
Semasa perarakan, paderi dan sakristan yang diberi kuasa untuk mendupai, umat menabur bunga-bunga dari balkoni sepanjang jalan sebagai tanda menyambut kehadiran Kristus.
Sepanyol telah mengalami penderitaan yang tidak terkata semasa perang saudaranya, Monstrans bagi Orang Miskin adalah penebusan kepada hati Kristus dan penghiburan bagi segelintir orang yang masih mengingati kesan dahsyat peperangan. — CNA
Total Comments:0