Natal di Yerusalem, dirai dalam solidariti dengan mangsa perang
Menjelang Natal, tiada tanda-tanda gencatan senjata di Gaza. Patriark dan Ketua Gereja di Yerusalem menyeru komuniti mereka untuk meraikan Natal dengan sederhana sambil menghormati kesusahan yang ditanggung oleh penduduk Gaza di tengah-tengah perang yang berterusan.
Dec 14, 2024

GAZA: Menjelang Natal, tiada tanda-tanda gencatan senjata di Gaza. Patriark dan Ketua Gereja di Yerusalem menyeru komuniti mereka untuk meraikan Natal dengan sederhana sambil menghormati kesusahan yang ditanggung oleh penduduk Gaza di tengah-tengah perang yang berterusan.
Pada tahun 2023, para pemimpin Gereja membuat keputusan bersama untuk meminta penganut Kristian di Tanah Suci agar tidak mempamerkan hiasan dan lampu Krismas di tempat awam sebagai satu cara untuk bersolidariti dengan orang ramai yang menderita akibat perang antara Hamas dan Israel.
Bagaimanapun, dalam kenyataan para pemimpin Gereja Yerusalem baru-baru ini, pengumuman pada tahun lalu menyebabkan ramai berfikir bahawa perayaan Krismas di Tanah Suci telah dibatalkan.
Ini juga menyebabkan pesan penting Natal iaitu kelahiran Sang Juruselamat kurang dihayati dalam kalangan penganut Kristian tempatan.
Oleh sebab itu, Natal pada tahun ini, para pemimpin Gereja Yerusalem menggalakkan umat beriman “untuk memperingati sepenuhnya kelahiran Kristus dengan memberikan tanda-tanda umum tentang harapan Kristian.”
Pada masa yang sama, para pemimpin Gereja Yerusalem juga menyeru mereka agar merayakan Natal “dengan prihatin serta sensitif terhadap kesusahan teruk yang terus ditanggung oleh berjuta-juta orang di rantau kita.”
Meraikan Natal dalam solidariti dengan mereka yang menderita perang di Tanah Suci ialah dengan cara “terus mendoakan mangsa peperangan, menjangkau mereka dengan perbuatan baik dan amal, serta menyambut mereka sebagaimana Kristus sendiri telah menyambut setiap kita.”
“Dengan cara ini, kita akan mengulangi kisah Natal itu sendiri, di mana malaikat mengumumkan berita baik kelahiran Kristus kepada para gembala di tengah-tengah kekelaman malam, menawarkan mereka yang menderita dan seluruh dunia pada hari ini, pesan pengharapan Ilahi dan kedamaian.”
Presiden Pihak Berkuasa Palestine, Mahmoud Abbas juga menggesa penganut Kristian agar merayakan Natal di Tanah Suci dengan sederhana memandangkan kesusahan rakyat Palestine. Beliau berkata demikian semasa mesyuarat dengan Penjaga Tanah Suci, Fr Francesco Patton dan pembantunya, Fr Ibrahim Faltas. Kedua-dua pemimpin Katolik itu turut menjemput Presiden Palestine itu untuk menghadiri Misa Malam Krismas pada Disember 24, 2024 di Gereja St Catherine di Bethlehem. Pada pertemuan itu, Presiden Palestine menyampaikan ucapan Krismas kepada penganut Kristian Palestine dan mengulangi harapannya untuk keamanan. --Media Vatikan
Total Comments:0