Notis Chanseri
Panduan Tentang Kehadiran Misa Kudus Dalam Gereja dan acara-acara berkaitan Gereja di Keuskupan Agung Kuala Lumpur
Mar 31, 2023

Mac 21, 2023
Saudara dan saudari terkasih dalam Kristus,
Susulan keputusan Konferensi para Uskup Malaysia yang membatalkan dispensasi umum menghadiri Misa pada hari Minggu dan perayaan-perayaan wajib berkuatkuasa pada Hari Minggu Palma 2023, Keuskupan Agung Kuala Lumpur telah memberi panduan terkini mengenai kehadiran di Misa Kudus di gereja dan acara-acara lain yang berkaitan dengan gereja. Pelarasan berikut juga akan berkuat kuasa mulai Hari Minggu Palma, April 2, 2023.
1. Pelitup muka
Tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka bagi memasuki gereja untuk perayaan liturgi dan acara lain. Walau bagaimanapun, penggunaan pelitup muka sangat digalakkan untuk orang yang mungkin terdedah kepada coronavirus serta mereka yang mempunyai gejala seperti selesema.
2. Bejana Air Suci
Bejana (fon) air suci akan diisi semula semasa ibadat Vigil Paskah, apabila air diberkati. Untuk mengelakkan pencemaran dalam apa jua bentuk, bejana air suci mesti dibersihkan dengan kerap.
3. Komuni Kudus
Komuni Kudus akan terus diberikan di tangan sehingga diberitahu kelak.
4. Komuni Kudus kepada orang sakit dan uzur
Paderi dan Pelayan Komuni Tak Lazim meneruskan lawatan ke rumah mereka yang sakit dan uzur untuk pelayanan sakramen. Bagi melindungi warga emas dan golongan lemah, mereka diminta memakai pelitup muka apabila mengunjungi rumah-rumah ini.
5. Kelas-kelas Katekismus
Pelajar Katekismus tidak diwajibkan memakai topeng muka dalam kelas. Mereka yang ingin memakai pelitup muka boleh berbuat demikian. Sedapat mungkin guru harus memastikan bilik darjah mempunyai pengudaraan segar dan sewajarnya.
6. Aktiviti-aktiviti lain
Aktiviti lain seperti coffee mornings, acara persaudaraan, perhimpunan dan perarakan dibenarkan. Adalah dinasihatkan bahawa perhimpunan ini berlaku sama ada di luar gereja atau di dalam bilik atau dewan dengan pengudaraan yang baik.
7. Pertemuan-pertemuan KED
Pertemuan KED boleh disambung semula dengan persetujuan pemilik rumah. Disyorkan perhimpunan yang lebih kecil khususnya jika diadakan dalam persekitaran terkurung.
8. Tridum Paskah Liturgi Khamis Suci, Jumaat Agung, Vigil Paskah dan Hari Miggu Paskah akan disambut seperti yang ditetapkan oleh gereja. Satu-satunya pengecualian ialah, pada Jumaat Agung, semasa penghormatan salib secara individu untuk adorasi, tidak dibenarkan mencium salib. Sebaliknya, penghormatan kepada salib boleh dilakukan dengan genufleksi atau menundukkan kepala.
9. Keselamatan Awam
Mereka yang merasa tidak sihat, terutamanya mereka yang mengalami batuk berterusan atau selesema, harus mempertimbangkan untuk tinggal di rumah dan mengambil bahagian dalam Misa dalam talian.
Bagi keperluan Aplikasi MySejahtera dan Penjarakan Sosial, kami juga telah mengemas kini garis panduan, seperti berikut:
a. Aplikasi MySejahtera Mereka yang memasuki gereja tidak perlu mendaftar masuk dengan aplikasi MySejahtera. Pemeriksaan suhu dan paparan status vaksinasi juga tidak perlu ketika memasuki gereja.
b. Penjarakan Sosial. Tidak perlu penjarakan sosial apabila duduk di gereja. Namun disyorkan agar gereja-gereja, meskipun yang mempunyai batasan struktur, mencari cara untuk memiliki aliran pengudaraan udara segar yang mencukupi.
Menyedari kehadiran Covid-19 yang berterusan di tengah-tengah kita, kami menggalakkan langkah-langkah pencegahan kendiri yang sesuai seperti yang digariskan di atas untuk diambil sambil mengingati ahli-ahli komuniti paroki kita yang paling lemah.
Dengan anda, kami bersukacita apabila kembali berkumpul secara peribadi untuk menyembah Tuhan kita pada Hari Minggu dan perayaan-perayaan wajib. Rev Fr Dr Clarence Devadass Chanselor Keuskupan Agung Kuala Lumpur
Total Comments:1