Nyawa manusia adalah aset kerja paling penting

Nyawa manusia adalah aset paling penting untuk dilindungi di tempat kerja, tegas Sri Paus Fransiskus yang kesal kerana banyak nyawa terkorban dalam kemalangan atau penyakit berkaitan pekerjaan setiap tahun.

Jan 21, 2022

Selain keselamatan dan martabat manusia, Sri Paus Fransiskus menekankan kelestarian di tempat kerja. Gambar Media Vatikan.


VATIKAN:
Nyawa manusia adalah aset paling penting untuk dilindungi di tempat kerja, tegas Sri Paus Fransiskus yang kesal kerana banyak nyawa terkorban dalam kemalangan atau penyakit berkaitan pekerjaan setiap tahun. “Manusia adalah kekayaan dan aset paling berharga; tanpa mereka tidak ada pekerja, tidak ada perusahaan, tidak ada ekonomi,” kata Sri Paus pada 20 Januari kepada para ahli Persatuan Kontraktor Pembinaan Swasta Itali.

“Keselamatan di tempat kerja bermakna menjaga sumber manusia, yang tidak ternilai harganya di sisi Tuhan dan juga di mata usahawan sejati,” ujar Sri Paus. Menurut laporan Badan Pemantau Bebas Kebangsaan tentang Kematian di Tempat Kerja, pada tahun 2021, 1,404 orang telah maut dalam kemalangan di tempat kerja di Itali. Daripada jumlah ini, 695 berlaku di tempat kerja, — peningkatan 18% dari tahun lalu. Lebih 30% kematian adalah dalam sektor pertanian, manakala 15% dalam sektor pembinaan.

Angka tersebut tidak termasuk kematian berkaitan COVID-19.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan 2.3 juta orang kehilangan nyawa mereka dalam kemalangan atau penyakit berkaitan kerja setiap tahun di seluruh dunia.

“Tahun lalu, terlalu ramai orang mati di tempat kerja,” kata Sri Paus Fransiskus dalam ucapannya kepada pekerja pembinaan Itali. “Mereka bukan nombor, mereka adalah manusia. Tapak pembinaan juga telah mengalami tragedi yang tidak boleh kita abaikan. Jika kita melihat keselamatan di tempat kerja sebagai kos, ini adalah andaian yang salah. Manusia adalah aset yang paling berharga,” katanya.

Fransiskus menyatakan bahawa manusia adalah aset paling utama dan keselamatan di tempat kerja “mendorong semua orang untuk bekerja lebih baik sambil mencari rezeki harian mereka. Semakin kita menjaga maruah kerja, semakin tinggi kualiti dan hasil keindahan kerja akan meningkat,” katanya.

Bapa Suci juga memetik beberapa ajaran Injil yang katanya boleh membantu pembina dalam kerja mereka khususnya perumpamaan Yesus tentang lelaki yang membina rumahnya di atas tanah berpasir, asas rumah yang tidak stabil.

“Yesus tidak memikirkan bangunan yang hebat, sebaliknya Dia menunjukkan sikap pembina yang baik iaitu mempertahankan rumah yang dibina dari risiko bencana.”

“Dalam khutbah Yesus, orang yang beriman bukanlah dari segi luaran sahaja tetapi secara aktif bekerja sebagai seorang Kristian. Dengan sentiasa mengingati bahawa kita adalah seorang pekerja Kristian disertai perbuatan baik, kita boleh bertahan pada masa sukar.

Bapa Suci juga bercakap tentang “tanggungjawab dan kelestarian”. Katanya, sebelum ini kita jarang mendengar tentang kelestarian. Kelestarian melibatkan kapasiti penjanaan semula setiap ekosistem. Dalam sektor pembinaan, adalah penting untuk menggunakan bahan yang menawarkan keselamatan orang ramai; namun pada masa yang sama, “kita mesti mengelak daripada mengeksploitasi alam sekitar serta memastikan wilayah tertentu yang tidak terlalu dieksploitasi.”

Sri Paus Fransiskus mengakhiri pertemuan itu dengan doa kepada Sto Yosef, santo pelindung kaum pekerja. --CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments