Paderi kesal migran dipinggirkan, upah tidak dibayar

Seorang paderi di paroki Ranau berasa kesal kerana pada zaman moden ini, masih ada pihak yang kejam dan tidak membayar upah atau melayan para migran dengan sewajarnya.

Oct 01, 2021


RANAU:
Seorang paderi di paroki Ranau berasa kesal kerana pada zaman moden ini, masih ada pihak yang kejam dan tidak membayar upah atau melayan para migran dengan sewajarnya.

Fr Ncholas Stephen, Paderi Paroki St Peter Claver, memimpin Misa Kudus Hari Minggu Biasa ke-26 serta Hari Migran dan Pelarian peringkat Paroki Ranau pada 26 Sept lalu bersama Fr Max, Fr Francis Tsen dan Fr Ned Columba.

Memetik ketiga-tiga pembacaan Sabda pada hari tersebut, Fr Nick mengatakan bahawa sikap prejudis, menghakimi dan iri hati terhadap orang-orang asing sudah ketara sejak zaman Nabi Musa lagi.

Menurut Fr Nick, Tuhan tidak menyelamatkan segolongan umat sahaja tetapi karya kasih dan keselamatan-Nya menjangkau semua orang di dunia. Dan Tuhan berhak untuk memberikan roh-Nya kepada sesiapa sahaja.

“Jangan berasa terancam dengan kehadiran orang-orang migran atau melayani mereka dengan buruk. Para migran ini biasanya datang ke negara kita kerana demi kelangsungan hidup, mahu melarikan diri dari peperangan, kemiskinan dan sebagainya.”

“Mari kita lihat kebaikan-kebaikan yang dibawa oleh para migran. Selalunya mereka melakukan pekerjaan yang tidak dimahukan oleh orang tempatan. Dalam penyebaran Khabar Gembira, mereka membina kerajaan Tuhan meskipun di tempat-tempat terpencil misalnya estet. Mereka mendirikan komuntikomuniti Kristian dan chapel demi meneruskan misi Kristus di dunia,” kata Fr Nick.

Gereja Katolik merayakan Hari Minggu Migran dan Pelarian Sedunia ke-107 dengan tema “Menuju ‘kita’yang Lebih Luas.”

Total Comments:0

Name
Email
Comments