Paderi pelawat dari Indonesia serta Misa Krisma di Keuskupan Keningau
Misa Krisma dan Pembaharuan Janji Kesetiaan para paderi di Keuskupan Keningau telah diadakan pada April 15 lalu di Dataran Keuskupan Keningau.
May 04, 2025

KENINGAU: Misa Krisma dan Pembaharuan Janji Kesetiaan para paderi di Keuskupan Keningau telah diadakan pada April 15 lalu di Dataran Keuskupan Keningau.
Misa bermula pada pukul 6.30 petang dengan iringan koir belia Katedral St Francis Xavier Keningau disusuli pendupaan altar.
Dalam kata alu-aluannya, pemimpin Misa, Uskup Cornelius Piong mengajak umat mengingati doa Yesus yang diucapkan sebelum Dia kembali kepada Bapa, yang menekankan kepentingan hidup dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan.
Dalam homilinya, Uskup Cornelius menegaskan bahawa panggilan sebagai paderi tidak mudah kerana ia menuntut komitmen yang mendalam untuk memimpin serta membangun iman umat Katolik.
Namun prelatus itu mengingatkan bahawa Tuhan sentiasa hadir serta menyertai dalam perjalanan iman umat-Nya.
Bapa Uskup seterusnya menekankan tiga perkara utama yang didoakan oleh Yesus sebelum kembali kepada Bapa iaitu:
1.Hidup dalam Kesatuan: Merupakan dasar kehidupan bagi umat yang menunjukkan semangat kesatuan tidak kira dimana berada, dan keluarga perlu menjadi teras komuniti yang hidup dalam kasih agar dapat membentuk umat yang hidup dalam kesatuan.
2.Perlindungan dari Kejahatan: Yesus mendoakan ini bagi kita dan sebagai sahutannya, umat diseru untuk terus hidup dalam kesetiaan kepada Kristus. Cabaran dan godaan para paderi dan umat untuk berjalan bersama sudah pasti ada kerana roh-roh jahat pasti akan mengganggu.
Oleh sebab itu, prelatus mengingatkan kepada para paderi, para religius dan umat agar tidak jemu berdoa memohon perlindungan daripada segala kejahatan.
3.Hidup dalam Kekudusan: Setiap Hari adalah penting untuk umat-Nya membaca, mendengar dan merenung firman Tuhan. Firman Tuhan menjadi panduan yang betul dalam membangun paroki dan komuniti Gereja.
Seramai 27 orang paderi daripada Keuskupan Keningau dan lapan orang paderi pelawat dari Indonesia telah memperbaharui janji kesetiaan mereka di hadapan Uskup Cornelius.
Selepas pembaharuan janji imamat, tiga orang paderi iaitu Fr David Gasikol membawa minyak untuk Orang Sakit, Fr Kennedy Nakudah Killin membawa Minyak untuk Katekumen dan Minyak Krisma dibawa oleh Fr Appolonius Yakis untuk diberkati oleh Uskup Cornelius. --Beatlvina
Total Comments:0