Panggilan adalah anugerah indah untuk kita

Saya dibesarkan dalam generasi yang mengajar bahawa Tuhan memberikan kita panggilan masing-masing.

Nov 20, 2021

Saya dibesarkan dalam generasi yang mengajar bahawa Tuhan memberikan kita panggilan masing-masing.

Dalam etos keagamaan pada masa itu, khususnya dalam kerohanian Roman Katolik, kami percaya bahawa kita telah diletakkan di bumi ini dengan rancangan ilahi, bahawa Tuhan memberikan kita setiap panggilan khas untuk hidup.

Lebih-lebih lagi, ini bukanlah pilihan bebas; itu adalah pemberian Tuhan. Tugas kita adalah untuk membezakan panggilan itu dan menyerahkan diri kita kepadanya, walaupun terpaksa meninggalkan impian kita sendiri. Namun kita tetap bebas untuk menerima atau tidak, tetapi biasanya, jika kita tidak menerimanya, ada risikonya yang tersendiri. Tidak setia kepada panggilan anda bermakna kehidupan yang sesat.

Terdapat kebenaran penting dalam kenyataan itu, walaupun ia memerlukan beberapa nuansa kritikal.

Pertama, dalam kerohanian itu, ia menyatakan panggilan dalam erti kata yang sangat ketat, pada dasarnya membayangkan hanya empat panggilan asas: imamat, kehidupan religius, berkahwin dan hidup bujang.

Selanjutnya, ia cenderung untuk menekankan tentang pilihan, iaitu, jika anda salah memilih atau jika anda menentang panggilan yang diberikan Tuhan anda, ia mungkin membahayakan keselamatan kekal anda. Terdapat beberapa ketakutan tidak sihat yang berkaitan dengan pilihan.

Saya melihatnya semuanya ini, secara realiti, semasa saya melayani sebagai ketua wilayah untuk order religius kami selama enam tahun. Salah satu tugas saya adalah memohon kepada Roma untuk menanggalkan jabatan kepaderian bagi paderi yang meninggalkan keimamatan. Saya melihat ramai daripada mereka yang meninggalkan imamat kerana mereka memilih panggilan itu di bawah tekanan yang tidak wajar dan ketakutan yang berpunca dari sesuatu yang tidak benar. Mereka membuat pilihan itu secara tidak bebas.

Walau bagaimanapun, tanggapan lama tentang pilihan pada asasnya masih benar dan terlalu mudah hilang dalam dunia dan budaya yang umumnya mengutamakan kebebasan peribadi di atas segalanya.

Kita perlu belajar semula kepentingan mencari dan mendengar panggilan serta menyerahkan diri kepadanya. Diakui, panggilan perlu ditakrifkan lebih luas, bukan hanya memilih antara hidup imamat, kehidupan religius, berkahwin dan kehidupan bujang.

Sebaliknya, ia perlu ditakrifkan sebagai ketaatan kepada Dia yang memanggil di dalam jiwa kita, ia perlu dimaknai sebagai pemberian untuk kita, bakat kita dan mandat yang tidak boleh dijual beli dalam diri kita, untuk meletakkan diri kita dalam pelayanan kepada orang lain dan dunia.

James Hollis, seorang ahli terapi Jung yang menulis dari sudut pandangan sekular, menerangkan perkara ini dengan tepat. “Keinginan sebenar dan takdir kita tidak dipilih untuk kita oleh ego kita, tetapi oleh sifat kita dan ‘ketuhanan’.

… Sesuatu dalam diri kita tahu apa yang sesuai untuk kita dan sentiasa mendesak atau memanggil kita sehingga kita terjaga pada waktu malam, sesuatu yang mengalihkan perhatian kita semasa waktu paling sibuk kita, atau menyebabkan kita iri hati kepada orang lain.

Panggilan adalah panggilan jiwa. … Seolah-olah kita diutus ke tanah ini untuk melakukan tugasan diraja, dan jika kami hanya terpinga-pinga dan melupakan tugas itu, maka kami telah mencemarkan matlamat mengapa kita berada di sini.” Ini sangat benar.

Kolumnis David Brooks, yang juga bercakap dari sudut sekular, sangat bersetuju dengan kenyataan James.

Panggilan, tulisnya adalah faktor yang tidak rasional, di mana anda mendengar suara dalaman yang begitu kuat sehingga tidak dapat membungkamnya, tidak dapat lari daripadanya dan secara alamiah, anda tahu anda tidak mempunyai pilihan, tetapi hanya boleh bertanya kepada diri sendiri, apakah saya tanggungjawab di sini?

Juga, panggilan itu adalah perkara yang suci, sesuatu yang mistik, panggilan dari sebuah ‘tempat yang dalam’. Oleh itu, memahami panggilan anda bukan soal bertanya apa yang anda harapkan daripada kehidupan tetapi lebih kepada apa yang diharapkan oleh kehidupan daripada anda.

Apa yang akan Yesus katakan? Seperti yang kita ketahui, Yesus gemar mengajar dalam perumpamaan. Salah satu perumpamaan itu ialah tentang talenta (Matius 25 dan Lukas 19) iaitu tentang menjalani panggilan yang diberikan Tuhan kepada seseorang. Dalam perumpamaan itu, mereka yang menggunakan bakat mereka berkembang maju.

Pesan dari petikan itu adalah seperti berikut: Jika kita menggunakan bakat yang diberikan Tuhan, kita akan mendapat makna dan berkat dalam kehidupan kita; sebaliknya, jika kita tidak menggunakan bakat kita, kurniaan itu akan mematuk kita seperti ular dan meracuni kebahagiaan kita.

Mereka yang menyembunyikan bakat mereka akan dihukum. Pada dasarnya, ia menyakitkan hati kita.

Sebab itu, ada di antara kita yang selalu kecewa dan iri hati, dan kebanyakan masa, kita juga melihat orang berbakat yang, secara sedar atau tidak sedar, kecewa kerana tidak menggunakan bakatnya atau telah menggunakannya tetapi tidak melayani dan mengabaikan orang lain. Kepahitan dan iri hati merupakan sisa-sisa tidak menyenangkan akibat mengabaikan atau menyalah guna bakat dan kecerdasan yang diberikan kepada kita.

Ada suara dalam diri kita yang keluar dari lubuk jiwa kita yang bercakap untuk bakat kita, perangai kita, keadaan unik kita dalam hidup, sensitiviti moral dan agama kita, dan juga untuk luka kita. Suara ini lembut, tetapi tegas dan tidak henti-henti, kerana ia memberitahu kita bahawa kita tidak bebas melakukan apa sahaja yang kita mahu dalam hidup kita. Kita perlu menyerahkan diri kita seluruhnya demi sesuatu yang lebih tinggi daripada diri kita sendiri.

Dan, sesungguhnya ada bahaya jika tidak mendengar, walaupun ia bukan mempertaruhkan keselamatan abadi, tetapi ia boleh mengancam kebahagiaan dan perkembangan di sisi keabadian ini. — Hakcipta Terpelihara 1999-2021 @ Fr Ron Rolheiser

Total Comments:0

Name
Email
Comments