Para Uskup Malaysia lancar Tahun Jubli 2025
Para Uskup/ Agung seluruh Malaysia merayakan Misa Kudus pembukaan Tahun Jubli bertema, “Penziarah Harapan” di Keuskupan/Agung masing-masing pada Disember 29, 2024.
Jan 11, 2025
KUALA LUMPUR: Para Uskup/ Agung seluruh Malaysia merayakan Misa Kudus pembukaan Tahun Jubli bertema, “Penziarah Harapan” di Keuskupan/Agung masing-masing pada Disember 29, 2024. Di Vatikan, Sri Paus Fransiskus telah melancarkan Tahun Jubli 2025 dengan membuka Pintu Suci di Basilika Sto Petrus pada malam menjelang Natal, Disember 24, 2024 lalu.
Berikut merupakan laporan singkat tentang Misa Kudus pembukaan Tahun Jubli peringkat nasional disembilan Keuskupan/ Agung di Malaysia.
Semenanjung Malaysia
Di Keuskupan Agung Kuala Lumpur, Uskup Metropolitan Julian Leow merasmikan Tahun Jubli di Katedral St John the Evangelist bersama Nunsio Apostolik ke Malaysia, Uskup Agung Wojciech Za?uski dan beberapa orang paderi Keuskupan.
Upacara bermula di pintu masuk katedral dengan Ritus Pengenalan dan petikan pewartaan dari Dekri Sri Paus tentang Tahun Jubli 2025.
Dalam homilinya, Uskup Agung Julian berbicara tentang tema Tahun Jubli, “Penziarah Harapan”. Katanya, Tahun Jubli adalah masa untuk berlabuh dalam pengharapan dan dalam Kristus.
“Jangan lupa inti iman kita iaitu kelahiran, kehidupan, kematian dan kebangkitan Yesus Kristus. Kristus tidak tinggal di dalam kubur ketika Dia mati. Sebaliknya, Dia mengalahkan maut dan dosa, dan kita yang percaya kepada-Nya akan beroleh hidup yang kekal. Ini harapan kita.” Kata Uskup Agung Julian.
Merujuk kepada logo Tahun Jubli, prelatus itu berkata bahawa empat imej orang yang menyentuh bahu satu sama lain menuju ke salib yang mempunyai sauh di kakinya, melambangkan persekutuan antara satu sama lain dan kepentingan berlabuh dalam Kristus.
Keuskupan Agung Kuala Lumpur telah mengumumkan lima tempat ziarah iaitu Katedral St John the Evangelist, Gereja Jesus Caritas, Kepong; Gereja St Francis of Assisi, Cheras; Gereja St Thomas, Kuantan dan Gereja Immaculate Conception, Port Dickson.
Uskup Agung Julian mengatakan bahawa ziarah mengingatkan kita bahawa hidup adalah sebuah perjalanan hidup.
“Gunakan masa rahmat ini untuk melihat dan berziarah ke tapak-tapak ziarah. Berziarah bukan sekadar melawat tetapi kita perlu bersiap sedia untuk merayakan Ekaristi dan melakukan Sakramen Pengakuan semasa berziarah.”
Di Keuskupan Melaka Johor, Uskup Bernard Paul bersama para paderi dan lebih 800 umat, meraikan Misa Kudus pembukaan Tahun Jubli di Katedral Hati Kudus Yesus, Johor Bahru.
Pelancaran ini dimulakan dengan Adorasi kepada Sakramen Mahakudus. Kemudian, dari kawasan tempat letak kereta di luar bangunan katedral, perarakan dimulakan dengan didahalui tiga Salib diikat bersama.
Tiga Salib itu mewakili tiga pusat ziarah Keuskupan Melaka Johor sepanjang Tahun Jubli 2025 iaitu Katedral Hati Kudus, JB, Gereja St Louis, Kluang dan Gereja St Mary, Ayer Salak, Melaka.
Uskup Bernard dalam homilinya menyatakan, “Kita dipanggil untuk menjadi penziarah, keluarga penziarah, paroki penziarah dan penziarah harapan.”
Prelatus itu menyeru umat agar kembali kepada siapa kita… kembali menjadi penziarah. Melakukan ziarah adalah satu cara untuk bertemu Tuhan. Ziarah menunjukkan kepada kita bagaimana bertahan di tengah-tengah penderitaan dan kesukaran Yesus juga seorang penziarah — datang dari syurga, menjadi jalan dan membawa orang lain kepada Tuhan.
Kepada para klerus, Uskup Bernard menggesa mereka untuk menjadi paderi penziarah, sebagai penuntun para penziarah untuk berjalan menuju Tuhan setiap hari.
“Tuhan bergantung kepada kita untuk menemani, membimbing dan membina Umat Harapan. Para klerus, anda ditahbis untuk menunjukkan kehadiran Tuhan di tengah-tengah kita,” kata Uskup Bernard Paul.
Kemudian, para perwakilan dari tiga pusat ziarah, diberikan lilin dan salib Jubli. Salib Jubli itu kemudiannya diletakkan berdekatan altar sepanjang Tahun Jubli untuk upacara penghormatan.
Di Keuskupan Pulau Pinang, Kardinal Sebastian Francis, memimpin Misa Pembukaan untuk Tahun Jubli Harapan 2025 di Katedral Roh Kudus, Pulau Pinang. Sambutan itu dimulakan dengan upacara pembukaan, yang menampilkan tiupan shofar dan perarakan sepanduk dari semua paroki di bawah naungan keuskupan Pulau Pinang.
Tahun Jubli membangkitkan harapan dalam keselamatan Tuhan
Dalam homilinya, Kardinal Sebastian berkongsi kisah Harapan. Katanya, sebagai Penziarah Harapan, kita mesti menerima sukacita Harapan dan sentiasa menghidupkan Harapan!
Prelatus itu menyeru umat untuk membukakan hati mereka dibimbing oleh Malaikat Gabriel, Roh Kudus, dan calon orang kudus, Carlo Acutis.
Kardinal Sebastian menekankan bahawa kunci untuk memulakan ziarah Harapan ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Sinode Uskup di Roma pada Oktober 2024, iaitu Pertobatan.
Pada akhir Misa, Kardinal Sebastian secara rasmi melancarkan Tahun Jubli Harapan 2025 dengan membentangkan Sepanduk Jubli “Harapan Tidak Mengecewakan (Roma 5:5).
Tiga pusat ziarah bagi Keuskupan Pulau Pinang ialah Gereja Holy Name of Mary, Permatang Tinggi, Pulau Pinang; Gereja Assumption, Georgetown, Pulau Pinang dan Chapel of Annai Vellanganny (Our Lady of Good Health), Jelapang, Ipoh, Perak.
Sabah
Pembukaan Tahun Jubli Harapan 2025 untuk Keuskupan Agung Kota Kinabalu disaksikan lebih seribu penganut Katolik, di Katedral Sacred Heart, Kota Kinabalu.
Perayaan Ekaristi pada pukul 5.00 petang didahului dengan Pentakhtaan Alkitab di Dewan Hati Kudus apabila Uskup Agung John Wong dan semua paderi berkumpul untuk mendengar pengisytiharan Dekri Spe Non Confundit Sri Paus Fransiskus, yang dibacakan oleh Fr Rhobbie Mojolou.
Sejurus selepas itu, perarakan bermula dari dewan ke Katedral yang diketuai oleh 36 paderi.
Seluruh kongregasi kemudian berhenti di hadapan Katedral yang tertutup, untuk menyaksikan Uskup Agung membuka “Pintu Harapan”.
Sebelum pelancaran Tahun Jubli, Uskup Agung John Wong terlebih dahulu menyampaikan pesan video kepada seluruh umat, paderi dan religius di Keuskupan Agung Kota Kinabalu.
Pada akhir Misa, hadirin menyaksikan video klip Uskup Agung mengumumkan lima paroki ziarah bermula pada Februari ini. Paroki-paroki ziarah tersebut ialah: Paroki Holy Rosary Limbahau; St Peter Kudat; St Peter Claver Ranau; St Michael Penampang dan Katedral Sacred Heart, KK.
Keuskupan Keningau melancarkan Tahun Jubli 2025 di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon (PZKKNS) dengan membuka “Pintu Gembala Baik”.
“Pintu Gembala Baik,” kata Uskup Cornelius “mengingatkan kita tentang belas kasihan, perlindungan dan pengorbanan Yesus. Tanpa bimbingan Sang Gembala Baik, Gereja akan tersesat. Gembala Baik iaitu Yesus sendiri, pembimbing unggul kita ke jalan yang benar dan melindungi kita daripada kejahatan.”
Berikut merupakan pusat ziarah di Keuskupan Keningau: Katedral St Francis Xavier, Keningau; Gereja St Anthony, Tenom; Gereja St Peter Bundu, Kuala Penyu; Gereja St Theresa, Tambunan; Gereja Roh Kudus, Sook; Pusat Retret Keluarga Suci, Nulu Sosopon dan Pusat Retreat Keningau, Tatal
Ketua Keuskupan Sandakan, Uskup Julius Dusin Gitom melancarkan pembukaan Tahun Jubli pada pukul 6:00 petang di Katedral St Mary. Perasmian bermula di Dewan Paroki diikuti dengan perarakan ke Katedral.
Prelatus mengetuai perarakan bersama para paderi dari pelbagai paroki Keuskupan Sandakan diiringi chanting “Yesus Kristus, semalam, hari ini dan selama-lamanya. Bagi Dia hormat dan kemuliaan selama-lamanya.”
Selepas mengisytiharkan salib sebagai salib Kristus, satusatunya Harapan kita, Uskup Julius membuka pintu utama dan mengetuai orang ramai masuk melalui pintu dan selepas itu, perayaan liturgi diteruskan.
Prelatus itu mengumumkan bahawa Katedral St Mary merupakan pusat ziarah Tahun Jubli 2025.
Sarawak
Pembukaan Tahun Jubli Harapan di Keuskupan Agung Kuching, dimulakan dengan pujian dan doa, diikuti dengan Ritus Tahun Jubli di pintu masuk Katedral St Joseph, sebelum perayaan Misa Kudus.
Kemudian, perarakan yang diketuai oleh Uskup Agung Simon Poh, Fr Galvin Ngumbang dan Fr Davie Entalai dikuti para umat, memasuki Gereja sambil menyanyikan lagu “Hark! The Herald Angels Sing”.
Diumumkan lima pusat ziarah di Keuskupan Agung Kuching iaitu: Katedral St Joseph, Kuching; Gereja St Peter, Padungan; Catholic Memorial Pilgrimage Centre, Gunung Singai Bau; Pusat Ziarah Gethsemane, Bunan; Pusat Ziarah dan Chapel Gunung Hosanna , Sri Aman.
Bagi Keuskupan Miri, pelancaran Tahun Jubli dimulakan dengan ritus pembukaan dan gulungan sepanduk Tahun Jubli 2025 bertema “Penziarah Harapan”, direntangkan sebagai simbolik permulaan Tahun Jubli.
Tiga pusat ziarah dibuka di Keuskupan Miri sepanjang Tahun Jubli iaitu Katedral St Joseph, Miri; Gereja St Anthony, Bintulu dan Gereja St Edmund, Limbang.
Di Keuskupan Sibu, Uskup Joseph Hii melancarkan Tahun Jubli 2025 sekaligus merayakan Pesta Maria Bonda Tuhan dan Hari Keamanan Sedunia.
Dalam ucapan pembukaannya, beliau mengulangi pesanan Sri Paus Fransiskus untuk Hari Keamanan Sedunia ke-58, “Ampuni kami kesalahan kami: berikanlah keamanan kepada umat beriman untuk mengakui bahawa kita adalah “penghutang yang telah diampuni”.
Dalam homilinya, Uskup Joseph menegaskan bahawa semua rahmat telah diberikan dalam Yesus Kristus. Tahun Jubli memberi kita peluang untuk menemui semula khazanah berharga yang telah Tuhan berikan kepada manusia melalui Gereja-Nya.
Tiga pusat ziarah telah ditetapkan di Keuskupan Sibu iaitu Chapel Sacred Heart Bawan (1899); St Anthony’s Heritage Centre, Sarikei (1940) dan St Teresa’s Oratory, Sibu (1960).
Sebagai Presiden Komisi Episkopal Serantau untuk Keadilan Penciptaan, dalam Misa yang sama, Uskup Joseph Hii juga melancarkan Tahun kesembilan dalam satu dekad keadilan Penciptaan dengan tema baharu untuk tahun 2025, “Tahun Ibu Pertiwi dan Tahbisan Suci: Penjagaan Semua Ciptaan (Budaya penjagaan).”
(Artikel “Para Uskup Malaysia lancar Jubli 2025” ditulis oleh: Julie Lim, Soccom Pulau Pinang, Angila Yong, Peter Zeter, Evelyn Jock, Ivy Chai, Margaret Cor dan James Lau.)
Total Comments:0