Paroki Lahad Datu fahami matlamat Konvensi Pastoral Malaysia 2026
Seramai 262 orang peserta dari seluruh Komuniti Kristian Dasar (KKD) yang bernaung di bawah paroki St Dominic, Lahad Datu, telah menyertai Perhimpunan Pastoral Paroki untuk mendengar tentang perjalanan menuju Malaysian Pastoral Convention (Konvensi Pastoral Malaysia 2026) pada April 22 lalu.
May 19, 2023

LAHAD DATU: Seramai 262 orang peserta dari seluruh Komuniti Kristian Dasar (KKD) yang bernaung di bawah paroki St Dominic, Lahad Datu, telah menyertai Perhimpunan Pastoral Paroki untuk mendengar tentang perjalanan menuju Malaysian Pastoral Convention (Konvensi Pastoral Malaysia 2026) pada April 22 lalu.
Sesi dimulakan pada jam 7:00 pagi dengan pendaftaran, disusuli doa pembukaan oleh Sr Younne Happy Runsab FSIC.
Seterusnya, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki Lahad Datu, Sdra Willie Binati menyampaikan taklimat singkat mengenai sesi-sesi yang akan disampaikan pada hari tersebut.
Kemudian, Rektor Paroki St Dominic, Fr Stanley W. Matakim memberikan pengenalan tentang dokumen Sukacita Injil yang ditulis oleh Sri Paus Fransiskus.
Selepas memahami dokumen Sukacita Injil, para peserta mendengar perkongsian yang disampaikan oleh ahli-ahli MPP.
Para ahli MPP ini menyampaikan beberapa tajuk yang telah diatur. Selepas setiap sesi, semua peserta diberi masa untuk membuat renungan peribadi dan membuat perkongsiaan merangkumi :-
1. Melihat diri masing-masing di dalam pelayanan mereka.
2. Apakah bentuk cabaran yang dihadapi untuk melayani atau dalam pelayanan mereka?
3. Apakah bisikan Roh Kudus kepada mereka agar berani untuk keluar dari zon selesa bagi melayani umat mahupun Gereja?
Sebelum rumusan dibuat, beberapa peserta diberi peluang untuk berdiri di hadapan untuk membicarakan perkongsian peribadi mereka.
Sesi soal jawab turut diadakan untuk membantu para peserta memahami dengan jelas akan tanggungjawab mereka terutama dalam mewartakan Sukacita Injil.
Fr Stanley menerangkan kepada para peserta bahawa aktiviti seperti ini tidak berakhir pada hari tersebut sahaja kerana kesinambungan program akan diteruskan.
Ini bagi membantu para peserta dan umat beriman untuk lebih memahami mengenai dokumen-dokumen karangan Sri Paus Fransiskus dan ia juga adalah satu proses permulaan serta persediaan yang ekstensif dengan bimbingan Roh Kudus. Perhimpunan Pastoral Paroki diakhiri dengan doa penutup dan sesi bergambar. — MPP Lahad Datu
Total Comments:0