Pasangan Katolik, rakan Tuhan dalam misi menguduskan dunia

“Pasangan bukan setakat berkahwin sahaja tetapi sebagai rakan kerja Tuhan dalam merealisasikan misi menguduskan dunia,” kata seorang pemimpin awam yang telah melayani lebih 27 tahun di Keuskupan Keningau.

Nov 20, 2021


KENINGAU:
“Pasangan bukan setakat berkahwin sahaja tetapi sebagai rakan kerja Tuhan dalam merealisasikan misi menguduskan dunia,” kata seorang pemimpin awam yang telah melayani lebih 27 tahun di Keuskupan Keningau.

Pada 10 November lalu, Radio Online KekitaanFM menyiarkan secara langsung sesi Bual Bicara Malam: Institusi Keluarga, Memantapkan Hubungan Kekeluargaan. Bual bicara ini dikendalikan oleh DJ Beth dan tetamu jemputan ialah Sdra John Lainsin, seorang pensyarah di Pusat Pastoral Keuskupan Keningau dan juga Pengerusi Komisi Hidup Keluarga Keuskupan Keningau.

Sdra John mengatakan Gereja yang kukuh dan berbuah banyak adalah disokong oleh keluarga-keluarga baik di dalamnya.

Malangnya, disebabkan oleh kemodenan, banyak keluarga yang mengalami pertelingkahan, perpecahan dan penceraian.

“Perpecahan dalam keluarga terjadi apabila mereka tidak sedar kehadiran ‘orang ketiga’. Orang ketiga di sini ialah Tuhan Yesus sendiri. Apabila kehadiran Tuhan tidak disedari dan doa bersama keluarga tidak dipraktikkan, rumah tangga mudah goyah,” kata Sdra John.

Sebagai seorang Katekis, bapa dan suami, Sdra John selalu mengingatkan mereka yang mahu mendirikan rumah tangga bahawa melalui Sakramen Perkahwinan, Yesus hadir sebagai cinta yang menjadi landasan, dasar bagi suami isteri.

Sdra John memberikan perkongsian peribadinya dalam membangun keluarga Katolik. Katanya, kaedah yang digunakannya adalah sederhana tetapi berkesan serta memberikan kesan positif dalam keakraban mereka sebagai sebuah keluarga. Misalnya wujudkan satu budaya rohani, misalnya menanda salib pada dahi anak-anak sebelum tidur.

“Ada kalanya anak-anak tidak suka doa panjang jela, oleh itu jangan memaksa mereka mengikut cara kita berdoa sebaliknya percaya bahawa mereka akan mengembangkan kerohanian mereka,” kata Sdra John.

Tambahnya, “Lagipun teknologi sekarang amat maju. Dahulu, mungkin kita membawa alkitab yang berat di mana-mana. Sekarang, alkitab mudah dirujuk melalui telefon pintar. Apa yang penting, sebagai ibu bapa memberikan teladan yang baik misalnya tidak malu berdoa di mana sahaja, contohnya di restauran.”

“Penggunaan Internet,” kata Sdra John sangat baik untuk dimanfaatkan bagi meneguhkan kerohanian anak-anak. “Muat turut aplikasi rohani misalnya doa-doa Katolik, podcast atau radio online katolik misalnya Radio Kekitaan FM, Katekismus Gereja Katolik dan banyak lagi.”

Sdra John juga tertarik dengan ajaran Sangti Sri Paus Yohanes Paulus II dalam Seruan Apostolik Familiaris Consortio bahawa keluarga Katolik harus mendekatkan diri mereka pada kebenaran Sabda Tuhan sebagai salah satu bahagian penting dalam mengharungi bahtera rumah tangga Katolik.

Pada akhir Bual Bicara, Sdra John mengharapkan para keluarga Katolik dapat mendoakan agar ada di antara anak-anak atau cucu mereka menyahut panggilan menjadi paderi atau religius.

Total Comments:0

Name
Email
Comments