PBB lancar satu Dekad usaha pulih alam sekitar

Sabtu, 5 Jun, adalah Hari Alam Sekitar Sedunia. Tahun ini, bermulanya satu dekad untuk pemulihan ekosistem oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi tahun 2021-2030.

Jun 05, 2021

Uskup keuskupan Keningau, Cornelius Piong, memberkati tumbuh-tumbuhan selepas Misa Kudus online pada Hari Bumi tahun lalu sebagai galakan kepada umat untuk menjaga dan memelihara alam sekitar.

VATIKAN: Sabtu, 5 Jun,  adalah Hari Alam Sekitar  Sedunia. Tahun ini, bermulanya satu dekad untuk pemulihan ekosistem oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)  bagi tahun 2021-2030.

Tema Hari  Alam Sekitar Sedunia tahun ini,  Reimagine. Recreate. Restore (Fikir  Semula, Cipta Semula, Pulih Semula) menunjukkan rencana aktif PBB dalam Pemulihan Semula  Ekosistem bermula dekad ini. 

Susulan cadangan tindakan dari lebih 70  negara, Perhimpunan Agung PBB pada bulan Mac 2019 memutuskan untuk mengumumkan program 2021-2030 Satu Dekad  PBB untuk Pemulihan Ekosistem. 

Ia diketuai oleh Program Alam Sekitar  PBB (UNEP) dan Pertubuhan Makanan dan  Pertanian PBB (FAO), usaha satu Dekad ini  bertujuan membina gerakan global yang kuat  dan luas serta mempromosikan usaha untuk  mencegah, menghentikan dan memulihkan  kemerosotan ekosistem di seluruh dunia. Acara gala maya pada hari Jumaat, menjelang Hari Alam Sekitar Sedunia, akan  menyambut pelancaran Dekad PBB tentang  Pemulihan Ekosistem. 

Ia akan menampilkan beberapa pemimpin  dan tokoh dunia seperti Perdana Menteri  Imran Khan dari Pakistan, tuan rumah perayaan antarabangsa Hari Alam Sekitar tahun  ini, Canselor Angela Merkel dari Jerman,  Setiausaha Agung PBB António Guterres,  Pengarah Eksekutif UNEP Inger Andersen  dan Pengarah-Jeneral FAO QU Dongyu.

Sri Paus Fransiskus, pejuang tegar alam  sekitar dan planet dijadualkan untuk menyampaikan pesan pada kesempatan ini. Dalam  ensiklik 2015nya, “Laudato Si’” — untuk  menjaga rumah bersama kita — Sri Paus  mengecam penggunaan melampau dan tidak  terkendali sehingga menyebabkan kemerosotan alam sekitar dan pemanasan global,  serta menyeru semua untuk mengambil” tindakan global yang cepat dan bersatu.”

Dekad PBB juga merupakan tarikh akhir  untuk Matlamat Pembangunan Lestari.  Garis masa saintis telah mengenal pasti, ini  adalah peluang terakhir untuk mencegah  bencana perubahan iklim. 

Dengan beribu-ribu inisiatif di lapangan,  ia akan meningkatkan kesedaran akan pentingnya kejayaan pemulihan ekosistem agar  dunia dapat dilalui untuk masa depan yang  lestari.

Melalui komunikasi, acara dan platform  web khusus, Dekad PBB akan menyediakan  hub bagi semua orang yang berminat dalam  pemulihan alam sekitar bagi mencari projek,  rakan kongsi, dana dan pengetahuan yang  mereka perlukan untuk menjayakan usaha  pemulihan mereka.

Ekosistem yang sihat akan meningkatkan  kehidupan masyarakat, mengatasi perubahan iklim, dan menghentikan keruntuhan  biodiversiti. 

Ekosistem boleh menjadi besar, seperti  hutan, atau kecil, seperti kolam. Menurut  klasifikasi UNEP, terdapat lapan jenis ekosistem utama: tanah ladang, hutan, tasik dan  sungai, padang rumput dan savana, gunung,  lautan dan pantai, tanah gambut dan kawasan bandar.

Semua ini penting bagi masyarakat manusia kerana ia menyediakan air, makanan,  bahan binaan dan pelbagai keperluan lain.  Ia juga memberikan faedah di seluruh planet  seperti perlindungan iklim dan pemuliharaan keanekaragaman hayat. Tetapi dalam  beberapa dekad kebelakangan ini, keinginan  manusia terhadap sumber daya telah mendorong banyak ekosistem ke titik kemusnahan. 

Pemulihan semula boleh dilakukan  dalam pelbagai cara seperti menanam pohon, menghijaukan bandar, membuka atau  mengerjakan kebun, mengubah diet atau  membersihkan sungai dan pantai.

Sudah sekian lama, manusia telah  mengeksploitasi dan memusnahkan ekosistem planetnya.  Setiap tiga saat, dunia kehilangan hutan seluas padang bola. Lebih dari 4.7 juta  hektar hutan — kawasan yang lebih besar  daripada Denmark — hilang setiap tahun.  — Media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments