Pelancaran Sabah Youth Day 6: Belia protagonis sukacita

Lebih 200 orang belia dari tiga Keuskupan/Agung di Sabah, bersama Penganjur Utama telah berkumpul di Gereja St Joseph untuk pelancaran Sabah Youth Day keenam (SYD 6) pada November 3-4 lalu.

Dec 01, 2023


PAPAR: Lebih 200 orang belia dari tiga Keuskupan/Agung di Sabah, bersama Penganjur Utama telah berkumpul di Gereja St Joseph untuk pelancaran Sabah Youth Day keenam (SYD 6) pada November 3-4 lalu.

Uskup Agung John Wong yang memimpin Misa Kudus pelanjaran pada Misa Senja, November 3, mengalu-alukan kedatangan semua perwakilan dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Keuskupan Keningau dan Sandakan.

Dalam homilinya, Uskup Agung John menyentuh tentang tema SYD 6 yang diambil dari petikan Injil Lukas 1: 39: Maria bangkit dan bergegas pergi.

Prelatus mengingatkan kepada semua umat untuk sentiasa memandang salib dan mengambil contoh Bonda Maria dalam kehidupan sebagai seorang pengikut Kristus.

Bapa Uskup Agung juga mengingatkan semua belia yang dibaptis bahawa kita diutus untuk mewartakan Khabar Gembira sehingga akhir hayat kita.

Semasa sesi ucapan, Uskup Agung John berharap agar melalui penganjuran SYD 6 ini, kaum muda Katolik di Sabah sentiasa berjalan bersama dalam semangat sinodaliti dan sentiasa membawa Yesus yang tinggal dalam diri kita untuk diwartakan kepada sesama.

SYD 6 bakal berlangsung di Katedral St.Francis Xavier, Keuskupan Keningau pada tahun 2024.

Koordinator Kerasulan Belia Keuskupan Keningau, Sdra Roney Alfred Eming menyatakan rasa syukurnya atas kejayaan Pelancaran SYD 6 setelah kejayaan program besar tiga program belia di tiga Keuskupan/ Agung Sabah pada Ogos lalu iaitu Pesta Belia Keuskupan Agung Kota Kinabalu ke-14, Khemah Belia Keuskupan Keningau ke-6 dan Temasya Belia Keuskupan Sandakan kali kedua.

Roney turut membentangkan konsep SYD 6 yang memberi gambaran kepada semua perwakilan bagaimana pelaksanaan SYD serta imbasan SYD kali pertama hinggalah SYD 5.

Tiga Objektif SYD 6

Tiga Objektif SYD 6 adalah seperti berikut:

i. agar para peserta menyedari, menghargai dan menerima diri sebagai ciptaan Tuhan yang terindah.

ii. agar para peserta merayakan iman Katolik dengan penuh sukacita dan syukur.

iii. agar peserta bangkit dengan penuh semangat untuk ‘Pergi’ meneruskan misi Kristus.

Walaupun belum ada tarikh tepat yang diputuskan, Tim penganjur menjangkakan bulan Ogos/September 2024 untuk melaksanaan program selama lima hari yang mensasarkan peserta berumur 15 hingga 45 tahun.

Pelancaran SYD 6 disempurnakan dengan gimik pelancaran iaitu penayangan video Logo dan Lagu Tema SYD 6 serta pemotongan riben ‘Bunting’ SYD 6 oleh Uskup Agung John.

Total Comments:0

Name
Email
Comments