Pelayanan memerlukan pertobatan sikap

Bagi kebanyakan orang istilah pemimpin itu mereka kait rapatkan dengan kekuasaan, menguasai, pangkat, kedudukan, kekayaan atau kepentingan peribadi.

Sep 18, 2021

Hari Minggu Biasa Ke-25
(Tahun B )
KEBIJAKSANAAN 2:12, 17-20
YAKOBUS 3:16-4:3 INJIL MARKUS 9:30-37

Bagi kebanyakan orang istilah pemimpin itu mereka kait rapatkan dengan kekuasaan, menguasai, pangkat, kedudukan, kekayaan atau kepentingan peribadi. Sebab itulah ramai orang yang berebut-rebut dan berlawan-lawan mahu menjadi pemimpin politik, pemimpin dalam syarikat, pertubuhan dan masyarakat.

Dalam konteks Kristian, menjadi pemimpin bererti seseorang itu rela dengan segenap hati mahu melayani semua orang. Pelayanan sejati merupakan kunci utama dalam kepimpinan Kristian.

Pelayanan kepimpinan Kristian yang sebenar merupakan suatu kesaksian, perjalanan, perjuangan, dan usaha bersama untuk kepentingan Gereja, komuniti atau masyarakat dan bukannya kesempatan untuk mencari kedudukan, kepentingan diri, mahu menjadi berkuasa dan kaya.

Dalam erti kata yang lain, kepimpinan Kristian itu bererti melakukan kehendak Tuhan untuk melayani-Nya dan sesama manusia.

Sebagai manusia biasa kita lebih suka dilayani oleh orang lain daripada melayani orang lain. Tetapi sebagai pengikut Kristus kita semua dituntut untuk melayani semua orang. Inilah cara hidup yang ditawarkan oleh Tuhan Yesus kepada para pengikut-Nya. Tanpa pelayanan, hidup Kristian tidak bererti dan tidak akan menghasilkan buah yang baik.

Sebagai umat Kristian kita semua dituntut untuk saling melayani di dalam keluarga, komuniti, KKD dan masyarakat demi untuk menghadirkan kerajaan Tuhan di dalam dunia ini. Maka marilah kita mohon Roh Kudus agar sentiasa Ia membimbing dan membantu kita untuk saling melayani sesama kita.

Di dalam pembacaan Injil Minggu ini menyatakan bahawa para murid Tuhan Yesus kurang memahami tujuan utama hidupNya. Bahawa Tuhan Yesus datang ke dunia untuk mengorbankan seluruh hidup-Nya untuk keselamatan semua orang.

Tetapi mereka beranggapan bahawa Yesus diutus untuk menjadi pemimpin politik yang akan membebaskan orang Israel daripada penjajahan pemerintahan Roma. Sebab itulah mereka bertengkar soal siapakah yang terbesar atau berkuasa di antara mereka.

Tuhan Yesus memberi jawaban pada persoalan mereka dengan memberi penekanan kepada mereka bahawa orang yang ingin menjadi pemimpin atau terkemuka hendaklah menjadi yang terakhir dari semua dan menjadi pelayan semua orang.

Ajaran Tuhan Yesus ini memang jauh bezanya dari ajaran duniawi. Dalam konteks duniawi dalam politik, perdagangan atau syarikat istilah pelayanan itu nampaknya tidak sesuai digunakan. Ini disebabkan banyak orang termasuk kita sendiri sebenarnya tidak mengerti konsep sebenar kepimpinan sejati sebagai suatu pelayanan kepada Tuhan dan sesama. Inilah kepimpinan yang diajar dan dihidupi oleh Tuhan Yesus sendiri dan dia mengehendaki supaya kita pun mengikutinya juga.

Sering kali terjadi apabila seorang pemimpin itu melayani dengan baik dan jujur, dia akan menghadapi banyak tentangan atau berhadapan dengan orang-orang yang suka membangkangnya atau mereka yang mahu menjatuhkannya.

Seorang pemimpin yang baik tetapi tidak disenangi oleh semua orang sebab ada yang iri hati, mengkritik dan benci atas kebaikan, kejujuran dan kejayaannya.

Di situlah pemimpin itu harus mengamalkan kekentalan iman, pengorbanan dan kesabaran dengan berharap pada bantuan dan belas kasihan Tuhan. Inilah yang dinyatakan di dalam pembacaan pertama dari Kitab Kebijaksanaan.

Di mana orang yang tidak mengenali Tuhan mempunyai rencana yang jahat untuk menganiaya dan membunuh mereka yang baik dan jujur.

Inilah juga yang telah dihadapi oleh Tuhan Yesus sendiri sehingga Dia dihukum mati disalibkan kerana Dia memperjuangkan kebenaran dan cinta kasih Tuhan.

Di dalam pembacaan kedua rasul Yakobus menyatakan bahawa iri hati dan mementingkan diri sendiri akan mengakibatkan kekacauan dan segala perbuatan jahat di dalam masyarakat dan dunia.

Persengketaan dan pertengkaran datang daripada hawa nafsu untuk mahu berkuasa dan mencari kepentingan atau keuntungan diri sendiri sahaja. Akibatnya orang akan saling membenci, menentang dan membunuh satu sama lain. Masalah inilah yang sering kali kita dengar di sana sini di seluruh dunia dan termasuklah di negara kita Malaysia.

Semua masalah ini dapat kita atasi jika kita berusaha untuk saling melayani dengan kemurnian hati, penuh belas kasih, keadilan dan kebenaran seperti yang dinyatakan oleh St Yakobus.

Dengan ini, barulah kedamaian sebenar dapat dinikmati oleh semua orang. Usaha ini haruslah disertai dengan doa yang sebenar, sentiasa memohon pimpinan dan dorongan Roh Kudus setiap hari.

Sebagai para pelayan di dalam Gereja atau masyarakat, marilah kita mengambil serius serta mengamalkan ajaran Tuhan Yesus serta nasihat St Yakobus ini supaya kita menjadi garam dan terang bagi dunia ini. — santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments