Pelayanan, misi, sukacita adalah teras Injil
Selepas mengadakan kunjungan apostolik selama dua minggu ke tiga buah negara di Asia dan sebuah negara di Oceania, Sri Paus Fransiskus telah mengadakan kunjungan apostolik ke-46, ke dua buah negara iaitu Luxembourg dan Belgium pada September 26 hingga 29.
Oct 04, 2024
TAKHTA SUCI: Selepas mengadakan kunjungan apostolik selama dua minggu ke tiga buah negara di Asia dan sebuah negara di Oceania, Sri Paus Fransiskus telah mengadakan kunjungan apostolik ke-46, ke dua buah negara iaitu Luxembourg dan Belgium pada September 26 hingga 29.
Di Luxembourg, Bapa Suci berucap pada perhimpunan komuniti Katolik, bertepatan dengan Jubli Marian, yang merayakan pengabdian selama empat abad kepada Maria, Penghibur Orang-Orang Yang Tertindas.
Pelayanan, misi dan sukacita, merupakan tiga tema Sri Paus Fransiskus kepada umat yang berhimpun di Katedral Notre-Dame Luxembourg.
Gereja dipanggil untuk melayani
Mengulas tema pertama, “pelayanan”, Sri Paus Fransiskus menyatakan bahawa pelayanan ialah tindakan “teras atau inti Injil.”
Prelatus itu menekankan bahawa dalam sebuah negara yang mempunyai tradisi panjang dalam menyambut mereka yang memerlukan, ada satu perkara yang besar iaitu bukan sahaja “amal” tetapi juga “keadilan”.
Sangti Papa juga memuji Luxembourg yang tetap mengekalkan amalan keterbukaan kepada semua orang.
Gereja dalam masyarakat sekular
Tema kedua, menekankan “misi” Gereja dalam masyarakat yang semakin sekular. Bapa Suci menekankan keperluan bagi Gereja untuk menerima evolusi ini tanpa mengabaikan nilai Injil.
Sri Paus Fransiskus mengajak umat Katolik Luxembourg, untuk menjadi “dinamik", sentiasa bertindak balas terhadap cabaran zaman sebagai Gereja misionari!”.
Dengan pemikiran ini, Sri Paus Fransiskus menggalakkan semangat sinodal sebagai cara untuk mengukuhkan kehidupan masyarakat dan menyebarkan pesan Injil.
Sukacita Injil
Tema ketiga, “Sukacita” disifatkan oleh Sri Paus Fransiskus sebagai cara hidup iman Kristian.
Bapa Suci merenung kesaksian Diogo, seorang pemuda yang berkongsi pengalaman gembiranya menyertai Hari Belia Sedunia bahawa sukacita Diogo adalah lambang pesan Injil.
“Iman kami penuh dengan kegembiraan, ia adalah ‘tarian’, kerana kita tahu bahawa kita adalah anak Tuhan, iaitu sahabat kita,” katanya.
Sri Paus juga mengaitkan sukacita dengan Perarakan Musim Bunga yang unik di Luxembourg. Perarakan ini, di mana semua penziarah, menari di jalanan sambil memperingati usaha penginjilan Sto Willibrord. Perarakan itu “menjadi tarian bersatu yang hebat,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, Sri Paus Fransiskus mengingatkan umat beriman bahawa misi yang diamanahkan kepada mereka adalah “indah”.
“Mari kita menghiburkan dan melayani, mengikut teladan Maria dan dengan bantuannya, meneruskan pelayanan dan misi kita dalam mewartakan Khabar Sukacita!” ujar Sri Paus Fransiskus.
Dari Luxembourg, Sri Paus terbang ke Belgium di mana kedatangannya disambut oleh Nunsio Apostolik ke Belgium, Uskup Agung Franco Coppola dan Duta Besar Belgium ke Takhta Suci, Patrick Renault.
Salah satu kemuncak lawatan Sri Paus ke Belgium ialah perayaan ulang tahun ke-600 penubuhan Universiti Katolik Leuven, salah sebuah fakulti teologi terkemuka di dunia dan Misa di Stadium Brussels, di mana lebih 35,000 umat beriman telah hadir. --Media Vatikan
Total Comments:0