Pemaisuri Perak berkenan rasmi ‘Rumah Harapan’

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, merasmikan pelancaran ‘Homes of Hope’ atau Rumah Harapan iaitu kemudahan penginapan sementara direka untuk menyokong pesakit kanser yang kurang bernasib baik.

Aug 31, 2024


IPOH:
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, merasmikan pelancaran ‘Homes of Hope’ atau Rumah Harapan iaitu kemudahan penginapan sementara direka untuk menyokong pesakit kanser yang kurang bernasib baik.

Rumah Harapan merupakan penginapan percuma kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Caritas.

Pelancaran itu diadakan pada Ogos 8 bertempat di Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) cawangan Perak, dihadiri oleh Kardinal Sebastian Francis, Uskup Pulau Pinang; Dr Feisul Idzwan Mustapha, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak; dan Datin Seri Aezer Zubin, isteri Menteri Besar Perak.

Tuanku Zara turut merasmikan Program Jelajah Human Papillomavirus (HPV) di seluruh Perak.

Program ini adalah sebahagian daripada kempen NCSM di seluruh negara yang bertujuan untuk menghapuskan kanser serviks di Malaysia dengan menawarkan imunisasi HPV secara percuma.

Kardinal Sebastian dalam ucapannya, menyatakan bahawa Keuskupan Katolik Pulau Pinang, yang meliputi negeri Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis, dan Kelantan, tbekerjasama dengan NCSM untuk menyokong inisiatif ‘Rumah Harapan’.

Gereja komited dalam menyediakan bangunan tiga tingkat untuk 30 tahun akan datang bagi menampung keperluan pesakit kanser berpendapatan rendah dan penjaga mereka, semasa mereka menerima rawatan pesakit luar di Jabatan Onkologi Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Kemudahan itu menawarkan 30 katil berserta penginapan, kaunseling, perkhidmatan pengangkutan, makanan dan sokongan nutrisi, semuanya percuma.

Selain itu, Gereja telah menyumbangkan hartanah di Ipoh, yang dahulunya dikenali sebagai Asrama Bintang, terletak di belakang Main Convent Ipoh, bagi NCSM menubuhkan pusat diagnostik kanser.

Pusat ini akan membantu golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di Perak.

Di Pulau Pinang, Hospital Kanser Mount Miriam, sebuah hospital kepunyaan Gereja Katolik, menyediakan perkhidmatan untuk komuniti berpendapatan rendah.

Ia bekerjasama dengan Hospital Besar Pulau Pinang dalam menawarkan rawatan radioterapi untuk pesakit yang dirujuk oleh hospital kerajaan di Utara Semenanjung Malaysia.

Kardinal Sebastian mengakhiri ucapannya dengan menyatakan keterbukaan Gereja untuk membina lebih banyak pusat bantuan dengan semua orang demi kebaikan bersama rakyat Malaysia.

Total Comments:0

Name
Email
Comments