Pembaptisan, berikan kita status sebagai anak Tuhan

Paderi pembantu Katedral St Francis Xavier, Fr Appolonius Yakis merayakan Pesta Pembaptisan Yesus bersama umat St Mary pada Januari 12 yang lalu.

Jan 26, 2025


BINGKOR, Keningau:
Paderi pembantu Katedral St Francis Xavier, Fr Appolonius Yakis merayakan Pesta Pembaptisan Yesus bersama umat St Mary pada Januari 12 yang lalu.

Perayaan dimulakan dengan Misa Kudus. Dalam homilinya, Fr Appolonius mengingatkan umat martabat mereka sebagai anak-anak Tuhan. “Semasa Yesus dibaptis, Tuhan mengatakan “Inilah Anak-Ku yang Ku kasihi”, sekali gus memberi kita gambaran bahawa Sakramen Pembaptisan yang kita terima, turut mengangkat martabat kita sebagai anak-anak Tuhan.”

Klerus itu seterusnya menambah adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga martabat sebagai anak-anak Tuhan dengan ketekunan berdoa.

“Ini adalah kerana Yesus berkomunikasi dengan Bapa-Nya di syurga doa. Oleh sebab itu, melalui doa, kita dapat berkomunikasi dengan Yesus. Maka, berdoalah sekerap mungkin kerana ia pasti membantu kita mengakrabkan perhubungan dengan Yesus Kristus.”

Fr Appolonius Yakis juga menegur akan penggunaan berlebihan peranti digital yang dapat menghalang komunikasi dalam keluarga dan sesama.

“Kebiasaan melihat skrin gajet semasa makan bersama keluarga mahupun semasa pertemuan sosial harus dihentikan,” tegas Fr Appolonius.

Majlis diteruskan di Dewan Terbuka St Mary, Bingkor. Selepas sesi ucapan, turut diadakan acara pemotongan kek, cabutan tiket bertuah dan pelbagai persembahan. Turut diumumkan penganjur bagi program yang sama pada tahun hadapan adalah Gabungan Komuniti Kristian Dasar (KKD) St Catherine & KKD Maria Ratu Rosari. Juanis Markus

Total Comments:0

Name
Email
Comments