Pembohongan dan penghujatan kepada Roh Kudus

Daripada segi psikologi dan moral, perbuatan seperti berbohong dan menafikan kebenaran tidak berbahaya. Yesus memberi amaran kepada kita bahawa kita boleh melakukan dosa yang tidak dapat diampuni yang (menurut-Nya) merupakan penghujatan terhadap Roh Kudus.

Jan 26, 2025

Gambar ilustrasi: Kehidupan dalam roh ini berlaku setiap kali kita bersikap jujur.


Daripada segi psikologi dan moral, perbuatan seperti berbohong dan menafikan kebenaran tidak berbahaya. Yesus memberi amaran kepada kita bahawa kita boleh melakukan dosa yang tidak dapat diampuni yang (menurut-Nya) merupakan penghujatan terhadap Roh Kudus. Apakah dosa ini? Mengapa ia tidak boleh dimaafkan? Dan bagaimana ia dikaitkan dengan perbuatan ‘tidak memberitahu kebenaran?

Berikut merupakan konteks mengapa Yesus memberi kita amaran ini. Ketika itu, Dia baharu sahaja mengusir syaitan yang disaksikan oleh beberapa orang ekstrem yang berpegang pada doktrin.

Orang-orang ini percaya bahawa hanya seseorang yang datang daripada Tuhan boleh mengusir syaitan. Mereka membenci Yesus, jadi mereka tidak dapat menerima kebenaran bahawa Yesus dapat mengusir syaitan.

Mereka memilih untuk menafikan apa yang baharu mereka lihat dengan mata kepala mereka sendiri.

Orang-orang itu tahu bahawa Yesus telah mengusir syaitan oleh Beelzebub, putera syaitan tetapi mereka menafikan kebenaran. Dalam hal ini, tindakan pertama Yesus ialah cuba membuat mereka melihat kebohongan mereka sendiri. Dia menjelaskan secara logik, jika kuasa- Nya berasal dari Beelzebub, putera syaitan lalu rumah Syaitan pasti berkecai kerana Dia mengusir syaitan menggunakan putera syaitan.

Tetapi orang-orang itu tetap dalam pembohongan mereka. Dalam konteks inilah, Yesus mengeluarkan amarannya tentang bahaya melakukan dosa yang tidak dapat diampuni kerana ia menghujat Roh Kudus. Pada dasarnya, apakah maksud "menghujat Roh Kudus?"

Berdasarkan kisah tadi, orang-orang yang ‘berbohong’ tentang Yesus telah menafikan realiti yang baharu sahaja mereka lihat kerana terlalu sukar bagi mereka untuk menerima kebenarannya. Jadi, mereka menafikan kebenarannya sedangkan mereka sedar bahawa mereka telah berbohong.

Pembohongan pertama tidak begitu berbahaya kerana kita tahu kita berbohong.

Bahayanya ialah jika kita berterusan berbohong dan terus menafikan sehingga kita boleh mencapai tahap di mana kita mempercayai pembohongan itu, melihatnya sebagai kebenaran.

Pembohongan kemudiannya dilihat sebagai kebajikan, dan dosa menjadi tidak dapat diampuni, bukan kerana pengampunan tidak dapat diberikan tetapi kerana kita tidak lagi percaya kita memerlukan pengampunan, dan sebenarnya kita tidak mahu atau tidak terbuka untuk menerima pengampunan.

Setiap kali kita berbohong atau dengan cara apa pun menafikan kebenaran, kita mula mencemari hati nurani kita dan jika kita berterusan dalam hal ini, akhirnya jiwa kita terpesong, kebohongan itu kelihatan seperti kebenaran, kegelapan kelihatan seperti cahaya dan neraka kelihatan seperti syurga.

Neraka bukanlah satu kejutan yang menjijikkan pada orang yang dasarnya jujur dan bahagia.

Neraka hanya dapat ‘berbunga’ penuh dari sikap ketidakjujuran yang berpanjangan dan berterusan apabila kita telah menafikan realiti untuk sekian lama sehingga kita melihat ketidakjujuran sebagai kebenaran.

Tidak ada sesiapa pun di neraka yang bertaubat dan berharap dia mempunyai peluang lagi untuk hidup dan mati dalam rahmat.

Jika ada sesiapa di dalam neraka, tidak kira kesengsaraan peribadinya, orang itu berasa sombong dan memandang rendah terhadap kenaifan orang-orang yang jujur iaitu mereka yang berada di syurga.

Dan mengapa perbuatan itu dikatakan “menghujat Roh Kudus?” Dalam suratnya kepada jemaat Galatia, Sto Paulus membentangkan dua cara asas kita boleh menjalani kehidupan kita.

Kita boleh hidup di luar roh Tuhan. Kita hidup di luar roh Tuhan setiap kali kita hidup dalam kekafiran, menyembah berhala, membenci, perpecahan dan ketidakjujuran.

Dan pembohongan merupakan jalan yang membawa kita ke sana. Begitu juga hidup dalam Roh Kudus iaitu hidup dalam kasih, sukacita, damai, kesabaran, kebaikan, kesetiaan, lemah lembut dan kudus. Dan kehidupan dalam roh ini berlaku setiap kali kita bersikap jujur.

Oleh sebab itu, setiap kali kita berbohong, setiap kali kita menafikan realiti, setiap kali kita menafikan kebenaran, kita (pada hakikatnya) melangkah keluar daripada dakapan roh Tuhan. Inilah yang dinamakan menghujat Roh Kudus iaitu menafikan kebenaran dan berpihak kepada kebohongan.

Syaitan adalah putera dusta. Itulah sebabnya bahaya terbesar di dunia bukanlah tentang jumlah pembohongan atau memberi maklumat yang salah tetapi penafian terang-terangan terhadap realiti yang ketara pada hari ini.

Tidak ada yang lebih merosakkan dan berbahaya kepada kesihatan jiwa kita selain perbuatan penafian terang-terangan tentang kebenaran sesuatu yang telah berlaku.

Apabila realiti dinafikan: apabila fakta sejarah ditulis semula untuk menghapuskan kebenaran yang menyakitkan; apabila anda diberitahu bahawa ada sesuatu perkara penting telah berlaku dan anda saksikan dengan mata sendiri tetapi menafikannya; apabila seseorang berkata, “holocaust” tidak pernah berlaku; apabila seseorang berkata tidak pernah wujud perhambaan di negara ini; atau apabila seseorang mengatakan tiada kanak-kanak mati di Sandy Hook, itu bukan sahaja menghina martabat jutaan orang tetapi budaya yang menunjukkan fikiran yang tidak waras.

Apabila sesuatu telah berlaku tetapi kemudiannya dinafikan, itu bukan sahaja mempermainkan kebenaran, ia merosakkan kewarasan kita, begitu juga dengan kebiasaan bercakap bohong. Hakcipta Terpelihara 1999-2025 @ Fr Ron Rolheiser

Total Comments:0

Name
Email
Comments