Pembohongan yang sering menyerang Katolik
Banyak pertempuran rohani kita bukan kerana kekurangan iman tetapi daripada salah faham tentang apa yang dimaksudkan dengan iman.
Dec 06, 2024

Banyak pertempuran rohani kita bukan kerana kekurangan iman tetapi daripada salah faham tentang apa yang dimaksudkan dengan iman. Apabila kita membiarkan idea-idea yang salah ini membentuk jangkaan kita, ia membuatkan kita berasa kecil hati dan meragui akan kasih Tuhan.
Sempena Adven, mari kita menangani beberapa pembohongan yang cenderung dipercayai oleh orang Kristian tentang iman mereka.
Saya tidak layak berkongsi iman
Pembohongan biasa yang menghalang kita daripada bercakap tentang iman adalah kerana percaya kita perlu terlebih dahulu belajar Alkitab atau mungkin perlu ijazah dalam teologi!
Renung kisah wanita Samaria di perigi (Yohanes 4:1-26). Dia tidak menunggu sehingga dia menamatkan kursus Kitab Suci atau teologi untuk mewartakan Yesus di kampungnya tentang Yesus.
Wanita Samaria itu menunjukkan kepada kita bahawa kesaksian yang paling kuat ialah perkongsian pertemuan kita sendiri dengan Tuhan serta kesediaan kita untuk berkongsi tentang pengalaman itu dengan orang lain.
Salah sangka tentang kegembiraan peribadi
Kita selalu salah sangka bahawa Tuhan hanya mahu kita bahagia. Ya, sesungguhnya kegembiraan datang dari Roh Kudus, tetapi jika kegembiraan kita berdasarkan situasi atau keadaan, maka kegembiraan itu tidak berkekalan.
Kitab Suci menunjukkan bahawa pertumbuhan rohani dan keupayaan kita untuk memuliakan Tuhan sering kali datang melalui ujian, bukan penghiburan. Yesus sendiri memberi peringatan ada kesengsaraan di dunia ini tetapi juga menawarkan kedamaian yang melampaui sebarang keadaan (Yohanes 16:33)
Saya boleh menjadi Katolik tanpa ke Gereja
Sangat ramai orang percaya mereka boleh mengekalkan kehidupan iman yang sihat melalui doa peribadi, mengikuti khutbah dalam talian, dan belajar Alkitab secara peribadi tanpa perlu ke Gereja.
Walau bagaimanapun, Perjanjian Baru mengajar kita bahawa iman Kristian harus dihayati dalam komuniti. Ia menggunakan metafora—tubuh, keluarga, bangunan yang dipasang bersama—untuk menunjukkan kepentingan hubungan dan komuniti. Apabila kita mengabaikan hubungan ini, kita kehilangan berkat persekutuan dan sistem sokongan yang telah Tuhan ciptakan untuk kita.
Saya bukan anak kesayangan Tuhan
Pembohongan bahawa anda tidak diterima oleh Tuhan sering mencetuskan perasaan penolakan dan tidak layak.
Ramai yang terperangkap dengan kepercayaan palsu ini. Namun Efesus 1 mengingatkan kita bahawa kita adalah umat yang terpilih, diangkat sebagai anak Tuhan, ditebus dan dimeterai dengan Roh Kudus, bukan kerana usaha kita, tetapi melalui anugerah Kristus Tuhan!
Saya tidak ada masa melayani
Menangguhkan penglibatan dalam pelayanan kerana mahu menunggu sehingga kehidupan kurang sibuk adalah pembohongan yang menghalang ramai umat daripada menyahut panggilan Tuhan.
Pelayanan bukanlah tentang bersedia sepenuhnya atau mempunyai banyak masa lapang; ia adalah tentang bersedia untuk membiarkan Tuhan menggunakan anda pada masa kini.
Dalam pelayanan, walaupun dalam cara yang kecil, Tuhan melipatgandakan usaha kita dan memberkati ketaatan kita. --Christian Living
Total Comments:0