Pengalaman menyertai bengkel penulisan secara maya oleh Caritas Malaysia

SAYA telah mengetahui tentang bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Caritas Malaysia ini dari Sr Anita James, penyelaras Caritas Kota Kinabalu.

Apr 16, 2021

SAYA telah mengetahui tentang bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Caritas Malaysia ini dari Sr Anita James, penyelaras Caritas Kota Kinabalu. Dia mendorong saya untuk mengikutinya. Topik tersebut memang sungguh menarik dan selaras dengan minat saya lalu saya memutuskan untuk menyertainya.

Menurut apa yang saya fahami, program penulisan yang dianjurkan oleh Caritas Malaysia ini adalah sebahagian daripada pembentukan yang mereka sediakan sebagai tindak balas kepada permintaan dari mereka yang menyertai Perhimpunan Nasional Caritas tahun lalu.

Tujuannya adalah untuk memberikan latihan kepada orang ramai, sukarelawan dan kakitangan Caritas supaya lebih ramai orang yang dapat mempelajari cara mengongsikan khabar baik kepada semua orang terutama yang berkaitan dengan misi sosial gereja melalui penulisan, atau fotografi dan videografi.

Bengkel penulisan yang telah saya sertai secara maya itu telah disampaikan dalam  dua bahagian iaitu pada 15 Mac dan 29 Mac 2021. Kedua-duanya telah diselenggarakan pada waktu malam dari jam 8.00-10.00 malam.

Soalan asas kegunaan wartawan 5W dan 1H: Apa, Siapa, Bila, Di mana, Mengapa dan Bagaimana?

Penceramah kami dalam bengkel penulisan itu ialah Karen Arukesamy. Dia adalah wartawan profesional dan sekarang bekerja di bahagian Komunikasi Korporat Digi Telekomunikasi. Dia adalah Presiden Signis Malaysia.

Karen membincangkan bersama kami mengenai soalan-soalan asas yang biasanya digunakan oleh para wartawan iaitu 5W dan 1H: Apa, Siapa, Bila, Di mana, Mengapa dan Bagaimana? Menurutnya, soalan-soalan tersebut adalah penting bagi wartawan dalam usaha mengumpulkan bahan berita yang perlu disiarkan.

Selain daripada itu, dia juga telah membincangkan beberapa perkara penting termasuk bentuk penulisan dari pelbagai sudut, membina isi kandungan penulisan dan bagaimana  menilai kandungan berdasarkan soalan-soalan asas tersebut.

Walaupun bengkel penulisan itu hanya diberikan sebanyak dua kali sahaja, saya telah mempelajari banyak perkara penting yang sangat berguna.

Bagi saya soalan-soalan asas tersebut membuatkan saya cuba memeriksa kerja penulisan saya yang lalu dan membuatkan saya lebih peka akan cara penulisan yang bakal saya lakukan.

Dengan kata lain, soalan-soalan asas itu  adalah satu panduan yang perlu saya praktikkan dalam karya penulisan, jika saya mahu mengasah kemahiran saya dalam penulisan dan juga untuk memperbaiki mutu penulisan saya.

Semua bahan bacaan yang telah diberikan memang sungguh berguna untuk rujukan. Demikian juga dengan perkongsian yang diberikan oleh para peserta yang datang dari pelbagai tempat, ini memang sungguh satu kesempatan untuk belajar daripada mereka. — oleh Sr Bibianah Thecla Dunsia, FSP

Total Comments:0

Name
Email
Comments