Penulis Berkicau: Harapan

Semua orang tahu apa ertinya berharap. Dalam hati setiap orang, kita selalu berharap hal-hal baik untuk masa depan.

Dec 14, 2024


Semua orang tahu apa ertinya berharap. Dalam hati setiap orang, kita selalu berharap hal-hal baik untuk masa depan.

Sebagai penziarah di bumi ini, kita sering dilanda kebimbangan dan ketakutan. Kita baharu sahaja melalui musim pandemik yang meragut ramai nyawa.

Tidak kira miskin atau kaya, berpangkat atau warga sivil biasa, kita selalu dikunjungi perasaan atau semangat putus asa, pesimis dan sinis terhadap masa depan, seolah-olah tidak ada yang dapat membawa kebahagiaan.

Santo Paulus adalah seorang yang realistik. Dia tahu bahawa hidup mempunyai suka dan duka, bahawa cinta kita selalu diuji dan harapan boleh pupus semasa menghadapi pengharapan.

Namun, dia menulis, “Kita malah bermegah juga dalam kesengsaraan kita, kerana kita tahu, bahwa kesengsaraan itu menimbulkan ketekunan, dan ketekunan menimbulkan tahan uji dan tahan uji menimbulkan pengharapan.” (Roma 5:3–4).

Bagi Rasul Paulus, ujian dan kesengsaraan mewarnai kehidupan mereka yang mewartakan Injil di tengah-tengah ketidakfahaman dan penganiayaan (lih. 2Kor 6:3–10).

Saya teringat sebuah video singkat yang ditayangkan semasa Perhimpunan Regional Semenanjung Malaysia pada bulan Ogos lalu.

Video itu memaparkan tiga batang lilin yang bersinar dalam kegelapan. Lilin-lilin itu ialah lilin iman, cinta dan harapan.

Lilin iman dan cinta terpadam akibat godaan dunia. Namun, lilin harapan memberikan apinya untuk menyalakan lilin iman dan cinta agar terus bersinar dunia yang gelap.

Sebagai Katolik, harapan dalam Kristus tidak menipu atau mengecewakan kerana pengharapan itu berdasarkan kepada realiti bahawa tidak ada sesuatu pun atau seorang pun yang dapat memisahkan kita dari kasih Tuhan.

“Siapakah yang akan memisahkan kita dari kasih Kristus? Penindasan atau kesesakan atau penganiayaan, atau kelaparan atau ketelanjangan, atau bahaya, atau pedang? Tetapi dalam semuanya itu kita lebih dari pada orang-orang yang menang, oleh Dia yang telah mengasihi kita.

Sebab aku yakin, bahwa baik maut, mahupun hidup, baik malaikat-malaikat, mahupun pemerintah-pemerintah, baik yang ada sekarang, mahupun yang akan datang, atau kuasa-kuasa, baik yang di atas, mahupun yang di bawah, ataupun sesuatu makhluk lain, tidak akan dapat memisahkan kita dari kasih Tuhan, yang ada dalam Kristus Yesus, Tuhan kita.” (Rom 8:35.37– 39).

Di sini kita melihat alasan mengapa harapan ini bertahan di tengah-tengah pencubaan: dipupuk oleh amal kasih, harapan ini memampukan kita untuk terus maju dalam kehidupan.

Bagi yang tidak dapat mengunjungi Kota Rasul Petrus dan Paulus, mari merayakannya di Gereja tempatan kita.

Semoga Tahun Jubli yang akan bermula beberapa hari ini, menjadi momen perjumpaan peribadi yang sejati dengan Tuhan Yesus, “pintu” (Yoh 10:7.9) keselamatan kita, yang selalu diwartakan oleh Gereja, di mana saja dan kepada semua orang sebagai “pengharapan kita” (1 Tim 1:1).

Total Comments:0

Name
Email
Comments