Penulis Berkicau: Ziarah
Ziarah bukan perjalanan biasa. Ia harus dilakukan dengan iman, jika tidak ia tidak akan membawa sebarang perubahan dalam hidup rohan kita.
Dec 06, 2024
Sejauh mana pengertian kita tentang ziarah? Adakah ia sekadar aktiviti melawat ke sesebuah tempat yang diisytiharkan tempat ziarah, berdoa rosari dan menghadiri Misa Kudus?
Atau adakah ia sekadar menyertai program ziarah paroki kerana semua orang teruja menyertainya, lalu membeli kemeja T dan topi ziarah dan berjalan kaki beramai-ramai dengan umat lain ke pusat ziarah.
Sempena Jubli Harapan pada tahun 2025, Sri Paus Fransiskus menjemput semua umat untuk datang ke Kota Abadi. Terdapat empat pintu suci basilika yang menawarkan indulgensi. Pintu suci ini hanya akan dibuka di Vatikan sepanjang tahun 2025.
Ziarah bukan setakat menyahut seruan paderi paroki kita untuk melakukan ziarah. Ketika berziarah kita meninggalkan kesibukan sehari-hari dan berjalan menuju tempat ziarah. Paling penting, lupakan telefon pintar anda buat seketika.
Perjalanan fizikal ini mengingatkan kita bahawa kita semua (Gereja) sedang berziarah menuju tanah air syurgawi. Gerak perjalanan kita adalah maju menuju kepenuhan Kerajaan Tuhan pada akhir zaman.
Katekismus Gereja Katolik menyebutkan bahawa ziarah, selain mengingatkan kita akan perjalanan ziarah kita menuju Syurga, juga penting serta tepat bagi pembaharuan doa, mencari sumber-sumber hidup untuk menghidupkan bentuk-bentuk doa Kristiani sebagai Gereja. Intensi dasarnya adalah spiritual.
Tetapi ziarah yang penting dalam Kitab Suci ialah dalam Kitab Keluaran — kisah Musa memimpin orang Israel keluar dari Mesir — melalui padang pasir di mana mereka mengalami pelbagai ujian, godaan dan dosa.
Episod ini telah menjadi salah satu model utama hubungan antara pengembaraan dan kehidupan keinsafan dan iman. Dalam Perjanjian Baru, kita juga melihat kepentingan ziarah, bukan dalam pengertian perjalanan fizikal, tetapi dalam idea untuk menjalani kehidupan semasa kita, kehidupan duniawi dengan cara yang membawa kita lebih dekat kepada yang kekal.
Ziarah bukan perjalanan biasa. Ia harus dilakukan dengan iman, jika tidak ia tidak akan membawa sebarang perubahan dalam hidup rohan kita.
Ziarah kita seharusnya bergerak di dalam geografi iman, di sepanjang jalan yang dilalui jejak-jejak kekudusan, di tempat-tempat di mana rahmat Tuhan telah ditunjukkan dengan kemegahan tertentu dan menghasilkan buah-buah pertobatan dan kekudusan yang berlimpah.
Sempena Jubli Harapan pada tahun 2025, Sri Paus Fransiskus menjemput semua umat untuk datang ke Kota Abadi. Dalam dekri Sri Paus "Harapan tidak Mengecewakan" (Spes non confundit) menyatakan hanya empat pintu suci basilika di Roma yang akan dibuka.
Pintu-pintu suci itu ialah Basilika Sto Petrus, Basilika St John Lateran, Basilika Sto Petrus di luar Tembok dan Basilika St Mary Major — sepanjang Tahun Suci Harapan 2025.
Tidak semua mampu untuk merayakan Jubli Harapan di Roma. Namun di mana pun kita berada, lakukanlah sesuatu.
Mungkin anda boleh menganjurkan ziarah keluarga atau bersama KED/KKD ke pusat-pusat ziarah tempatan. Keluar dari zon selesa, pergilah melakukan kembara bersama Tuhan dan semoga ziarah kita dapat menguatkan iman, belas kasihan dan amal bakti kita.
Total Comments:0