Perarakan Krismas serlah kesatuan dan toleransi rakyat Sarawak
Perarakan Krismas ditiga bandar utama di Sarawak, menarik ribuan warga kota tanpa mengira bangsa dan agama, untuk menyertai perarakan yang sangat meriah ini.
Dec 20, 2024

KUCHING: Perarakan Krismas ditiga bandar utama di Sarawak, menarik ribuan warga kota tanpa mengira bangsa dan agama, untuk menyertai perarakan yang sangat meriah ini.
Di bandar raya Kuching pada Disember 7 lalu, perarakan Krismas yang turut disertai oleh Gereja Katolik, dimulakan dengan sesi pujian dan penyembahan diikuti perarakan, diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada orang ramai.
Tahun ini, perarakan dianjurkan oleh Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS), Persatuan Kristian Evangelical Sarawak (SECA) dan Gereja Methodist (SCAC).
Turut mengambil bahagian ialah Gereja Anglikan, Gereja Methodist SIAC, Gereja BEM, Gereja Adventist Hari Ketujuh, The Salvation Army, Gereja Baptist Sarawak, Gereja Blessed Sarawak dan pelbagai denominasi Kristian yang lain.
Di tengah-tengah perarakan yang meriah itu, sekumpulan biarawati dari Kongregasi Sisters of Franciscans of Sarawak (SSFS), menyanyikan lagu Feliz Navidad.
Acara kemuncak pada malam itu adalah pengagihan hadiah kepada orang ramai pada pukul 8.15 malam, isyarat yang melambangkan kasih sayang dan kemurahan hati di tengah-tengah Krismas.
Di Miri, Perarakan Krismas bukan sekadar acara tahunan kerana ia mempromosikan banyak nilai positif dengan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan kaum dan agama di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menghantar pesanan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, semasa merasmikan Perakaran Krismas Bandara Raya Miri pada Disember 8.
Dalam teks ucapan itu, Premier Sarawak mengatakan Perarakan Krismas bermatlamat merapatkan hubungan dan memainkan peranan mengukuhkan perpaduan di Miri yang berbilang kaum.
“Ini selaras dengan objektif kerajaan dalam penubuhan Unit Untuk Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang merupakan cerminan hasrat kerajaan mewujudkan masyarakat inklusif secara sosial apabila setiap orang mempunyai peluang sama menikmati hasil kebebasan dan kemakmuran mereka.”
“Tidak ada UNIFOR di tempat lain hanya di Sarawak. Ia mencerminkan komitmen kita memelihara dan memupuk apa yang telah kita warisi daripada nenek moyang kita yang mengajar untuk mengamalkan nilai hormat-menghormati,” jelasnya.
Di Sibu, kira-kira 10,000 peserta menyertai Perarakan Krismas Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS) yang diadakan pada Disember 14.
Dengan tema tahun ini, ‘Yesus Adalah Raja Damai’ (Yesaya 9:6), penganjur utama Perarakan Krismas bandar Sibu ialah Gereja-gereja ACS Sibu.
Diadakan juga Upacara Penyalaan Salib Kesatuan diikuti dengan Benediktus yang dipimpin oleh Presiden Persidangan Tahunan Iban Sarawak (SIAC) Gereja Methodist Rev Bonnie Sedau.
Selain itu, Sambutan Krismas Antara Agama juga dirayakan pada Disember 15 di Hotel RH, Sibu.
Msgr Michael Lee, pengerusi penganjur Sambutan Krismas Antara Agama, mengatakan sambutan antara agama itu merupakan anjuran Gereja ACS Sibu dan Keuskupan Katolik Sibu. Akhbar Tempatan
Total Comments:0