Perarakan raksasa Ekaristi di kota New York

“Kota ini kepunyaan Yesus Kristus” merupakan tema perarakan Ekaristi raksasa yang pernah diadakan di Kota New York.

Jun 09, 2023

Ribuan umat berhimpun di Times Square untuk perarakan Ekaristi. Gambar: Jeffrey Bruno/CNA


NEW YORK: “Kota ini kepunyaan Yesus Kristus” merupakan tema perarakan Ekaristi raksasa yang pernah diadakan di Kota New York. Lebih empat ribu umat beriman turun ke jalan-jalan sambil berdoa dan menyanyikan lagu-lagu pujian pada hari vigil Pentakosta, Mei 27.

Perarakan besar-besaran itu diketuai oleh Uskup Auksilier Joseph Espaillat dari Keuskupan Agung New York. Turut menyertai perarakan itu ialah para klerus, biarawati, dan umat beriman untuk berdoa bagi pengampunan dosa seluruh dunia dan kota New York.

Perarakan yang melalui pelbagai jalan dan Dataran Times Square itu dianjurkan oleh Pusat Karismatik Katolik Hispanik. Para peserta memulakan perarakan mereka dari Dataran Fr Duffy di Times Square dan berakhir di Katedral St Patrick, di mana umat merayakan perayaan Ekaristi bersama para paderi.

Wartawan media, Jeffrey Bruno, yang kebetulan berada di kota itu untuk tugasan lain, bertembung dengan perarakan itu dan berasa kagum. “Saya tidak pernah melihat apa-apa seperti itu sebelum ini, terutama di New York.”

Pemandangan yang menyentuh hati Bruno ialah jalan sesak yang dipenuhi bangunan pencakar langit, dibanjiri dengan umat beriman, berlutut dengan hormat di hadapan Sakramen Mahakudus yang diangkat tinggi.

Fr Shane Johnson, pentadbir St. Anthony dari Gereja Katolik Padua dan pengarah Pusat Karismatik Katolik Hispanik, memberitahu CNA: “Bagi saya, bilangan orang bukan perkara penting.

“Perkara utama ialah iman sejati yang begitu jelas di kalangan peserta. Ia mengejutkan!”

“Detik-detik melutut di atas jalan, di tengah-tengah jalan di kota terkenal ini, dengan tangan kami dinaikkan kepada Tuhan mengingatkan kita tentang siapa kita sebagai anak-anak-Nya dan menyedari, kota ini adalah milik Tuhan sepenuhnya,” kata Fr Shane.

Fr Shane menjelaskan bahawa walaupun ramai yang melihat Kota New York tidak menyokong terhadap acara-acara Katolik tetapi majoriti penduduknya menghormati.

“Selalunya apabila golongan kecil sangat kuat menentang, kita berfikir bahawa iman adalah mati. Tetapi pada hari ini, saya yakin Tuhan menang di hati anak-anak-Nya, malah Dia selalu menang tanpa kita sedari.

“Walaupun mereka tidak memahami iman kita sepeniuhnya, tetapi kebanyakan mereka suka melihat ekspresi iman, bahkan di kota yang sering dianggap mempunyai ramai penduduk pelik dan berdosa!” -- CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments