Perhimpunan Caritas Malaysia kali keempat

Seramai 62 peserta yang datang dari seluruh pelosok Malaysia telah menghadiri Perhimpunan Caritas Malaysia kali keempat pada November 12-15 lalu di Pusat Retret Pace Bene, Papar.

Dec 06, 2024


PAPAR, Sabah: Seramai 62 peserta yang datang dari seluruh pelosok Malaysia telah menghadiri Perhimpunan Caritas Malaysia kali keempat pada November 12-15 lalu di Pusat Retret Pace Bene, Papar.

Ia menggunakan tema “Kesatuan Minda, Hati dan Perbuatan: Marilah Kita Mengasihi Bukan dengan Perkataan atau dengan Lidah, tetapi dengan Perbuatan dan dalam Kebenaran” (Yohanes 3:18-19).

Caritas Malaysia pada kali ini turut mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli dari Komisi Episkopal Keadilan dan Ciptaan (ECCJ) serta Komisi Episkopal Migran dan Orang yang Berpindah Randah (ECMI.

Fr Alvin Ng SJ memulakan perhimpunan dengan merenung surat ensiklik Bapa Paus Fransiskus yang terbaharu Dilexit No.

Beliau mengajak ahli-ahli Caritas untuk memahami tiga prinsip utama Caritas iaitu subsidiari, kebaikan bersama dan tanggungjawab bersama untuk dilaksanakan mengikut konsep sinodal.

Selepas itu, Misa Kudus pembukaan dipimpin oleh Uskup Agung John Wong, Uskup Bernard Paul serta beberapa orang paderi.

Pada hari kedua perhimpunan, Fr Fabian Dicom dari Caritas Malaysia, Clare Westwood dari ECCJ dan Dionysius Richard Ellai dari ECMI menyampaikan fungsi dan peranan komisi masing-masing di dalam pelayanan sosial Gereja Katolik Malaysia.

Anna Teresa Amandus kemudiannya memberi perkongsian tentang hasil daripada Bengkel Ekologi Integral peringkat regional yang telah diadakan di Bangkok, Thailand pada bulan Julai lalu.

Pada masa yang sama, mesyuarat khas di antara Caritas Malaysia, CCJ dengan ECMI telah diadakan. Antara agenda utama yang telah dibincangkan adalah mengenai prospek kerjasama di antara ketiga-tiga komisi ini untuk menganjurkan program bersama sama ada di peringkat nasional mahupun di peringkat keuskupan.

Hari ketiga perhimpunan memberi ruang bagi perwakilan pelbagai Keuskupan berkongsi mengenai Latihan Pengurusan Bencana oleh Albert Tan dan Priscilla Telon, perkongsian tentang apa yang telah dipelajari semasa banjir besar melanda Sabah pada baru-baru ini oleh Jennifer James, rumah perlindungan yang diusahakan oleh Caritas Sibu oleh Eta Ting dan program Caritas Membakut Youth Camp oleh Patricia Bai.

Pada sebelah petang, Dr. Mary Barathy menyampai sesi Psychology manakala Pauline Yeoh dari Pejabat National Caritas Malaysia mengendalikan sesi Standard Safeguarding dan Pengurusan Caritas Internationalis manakala Christopher Kushi bercakap tentang undang-undang perlindungan kanak-kanak di Malaysia.

Para peserta kemudian dibawa ke paroki St Joseph untuk Malam Solidariti. Kedatangan mereka dialu-alukan oleh Msgr Nicholas Stephen, paderi paroki Limbahau dan Papar.

Para peserta disambut meriah dengan paluan gong, tarian tradisi dan dihidangkan dengan pelbagai jenis hidangan makanan tradisi Sabah.

Sr Anita James, Pengarah Caritas Keuskupan Agung Kota Kinabalu mengumumkan penubuhan Caritas Junior bagi paroki Limbahau dan Papar. Caritas Junior ini dianggotai oleh kanak-kanak 12 tahun dan ke bawah.

Evaluasi keseluruhan sesi dilakukan pada hari terakhir perhimpunan.

Caritas Keuskupan Melaka Johor diumumkan sebagai tuan rumah Perhimpunan Caritas Malaysia kali kelima pada tahun hadapan.

Fr Andre Delimarta, seorang misionari Salesian yang mewakili ECMI Kuching, berkongsi, beliau dapat melihat struktur masyarakat Malaysia dan khususnya negeri Sabah yang sungguh unik dan menarik melalui program Malam Solidariti.

Anna Teresa pula berkata topik berkaitan dengan perlindungan kanak-kanak membantunya untuk lebih memahami kepentingan mengetahui undang-undang perlindungan untuk golongan bawah umur.

Uskup Benard Paul, Presiden Caritas Malaysia memimpin perayaan Misa Kudus penutup. Dalam Misa ini, para peserta telah diberkati satu persatu dengan berkat pengutusan oleh para paderi yang hadir.

Perhimpunan Caritas Malaysia kali keempat diakhiri dengan mesyuarat para Pengarah dan Pembantu Eklesiastikal Caritas Keuskupan bersama dengan Presiden Caritas Malaysia.--Patricia Bai

Total Comments:0

Name
Email
Comments