Perkahwinan, penceraian, pembatalan perkahwinan dalam Gereja Katolik
Archdiocesan Bahasa Malaysia Apostolate (ABMA) telah menganjurkan Formasi Keluarga untuk seluruh umat berBahasa Malaysia.
Jun 09, 2023

KUALA LUMPUR: Archdiocesan Bahasa Malaysia Apostolate (ABMA) telah menganjurkan Formasi Keluarga untuk seluruh umat berBahasa Malaysia.
Formasi ini bukan sahaja terbuka kepada paroki-paroki di bawah Keuskupan Agung Kuala Lumpur, bahkan untuk semua umat Katolik di seluruh Malaysia.
Perkahwinan adalah perkongsian cinta dan hidup yang intim, yang diciptakan oleh Tuhan.
Rancangan Tuhan, sejak awal penciptaan, adalah supaya lelaki dan wanita menjadi 'satu daging' sebagai tanda persatuan antara orang-orang (Kej. 2:24).
Dalam Katolik, perkahwinan adalah sakramen – suatu tanda berkat Tuhan yang nyata, yang boleh dilihat.
Sakramen perkahwinan menguduskan cinta, seksualiti, dan kelahiran manusia untuk matlamat yang lebih tinggi.
Namun, terdapat banyak godaan dan percubaan sehingga menyebabkan perkahwinan tergelincir dari landasan asal, menyebabkan keluarga berantakan dan berakhir dengan hidup berasingan, perce- raian dan pembatalan perkahwinan.
Fokus utama formasi ini adalah untuk menerangkan tentang perkahwinan, penceraian dan pembatalan perkahwinan mengikut hukum Gereja Katolik.
Fr Jeffri Gumu dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu telah dijemput sebagai penceramah dalam sesi formasi yang telah dihadiri kira-kira seramai 800 peserta.
Fr Jeffri memulakan sesi formasi dengan memberi penerangan tentang struktur, fungsi, peranan serta proses yang berlaku dalam Tribunal Perkahwinan Gereja Katolik.
Sesi ini telah membuka minda semua peserta selain menjadi ilmu tambahan pengetahuan untuk peserta mengetahui dengan lebih jelas bagaimana majlis tribunal dalam gereja Katolik berfungsi.
Selain itu, Fr Jeffri turut menerangkan bagaimana Gereja memandang perkahwinan sebagai suatu perjanjian yang suci dan tidak boleh dipisahkan.
Disebabkan itu, tiada istilah perceraian dalam Gereja Katolik. Perkahwinan yang telah diberkati dalam Gereja Katolik hanya boleh dibatalkan sekiranya mempunyai alasan yang sangat kukuh dan di-sokong dengan bukti konkrit.
Setiap permohonan untuk membatalkan perkahwinan perlu me-lalui majlis Tribunal Perkahwinan Gereja Katolik.
Kemuncak formasi ini adalah sesi soal-jawab yang telah berlangsung selama dua jam, di mana contoh-contoh kes dan permasalahan yang dihadapi oleh suami-isteri dibentangkan untuk perbincangan dan penjelasan daripada Fr Jeffri.
Formasi itu berakhir pada jam 11.00 malam dengan doa penutup dan pemberkatan oleh Fr Jeffri. — Elena Woo
Total Comments:0