Perkahwinan: Tanda Sakramen Kasih Tuhan

Dalam merayakan Ekaristi hari ini marilah kita berusaha memahami latar belakang perintah Musa dalam Perjanjian Lama itu, kemudian disempurnakan oleh Yesus, yang tegas mengatakan: “Apa yang telah dipersatukan Tuhan, janganlah diceraikan manusia!”.

Oct 04, 2024

HARI MINGGU
BIASA KE-27
TAHUN B
KEJADIAN 2: 18-24;
IBRANI 2: 9-11;
INJIL MARKUS 10: 2-16

Dalam Injil Markus hari ini, orang -orang Farisi melontarkan persoalan kepada Yesus, yang bermaksud untuk mencubai-Nya: “Bolehkah seorang suami menceraikan isterinya?”

Pertanyaan “penuh perangkap” itu dijawab oleh Yesus dengan mengajukan semua soalan kepada mereka, “Apa perintah Musa kepadamu?”.

Dalam merayakan Ekaristi hari ini marilah kita berusaha memahami latar belakang perintah Musa dalam Perjanjian Lama itu, kemudian disempurnakan oleh Yesus, yang tegas mengatakan: “Apa yang telah dipersatukan Tuhan, janganlah diceraikan manusia!”.

Isi utama pesan Yesus ialah, “di mana ada kasih, di situlah ada kesatuan!”

Sama ada dahulu mahupun sekarang, ajaran Yesus tentang kehendak Tuhan dalam perkahwinan ialah SATU dan TAK TERPISAH.

Dalam Perjanjian Lama, kehendak Tuhan itu sebenarnya sudah terungkap dalam Kitab Kejadian di mana secara simbolik menyatakan makhluk Tuhan yang disebut perempuan.

Adam, seorang lelaki pertama, berkata, “Inilah dia, tulang dari tulangku dan daging dari dagingku.

Dia akan dinamai perempuan, sebab dia diambil dari laki-laki. Sebab itu seorang laki-laki akan meninggalkan ayah dan ibunya, dan bersatu dengan isterinya, sehingga kedua-duanya menjadi satu daging” (ay.23-24).

Pesan Kitab Kejadian tersebut ialah Tuhan adalah kasih, kerana itu Dia tidak mahu sendirian.

Maka Dia mencipta alam semesta, bahkan mencipta manusia: Adam. Tetapi manusia ini tidak boleh sendirian, maka Dia menciptakan manusia lain — Hawa sebagai teman hidupnya.

Perempuan itu diambil dari tulang rusuk lelaki, untuk menegaskan bahawa kedua-duanya adalah makhluk Tuhan yang semartabat di hadapan Tuhan. Kerana itu, dalam hal kasih lelaki dan perempuan, mereka adalah setara dan semartabat.

Nilai hidup bersama lelaki dan perempuan atas dasar kasih seperti sudah digambarkan dalam Perjanjian Lama itu di dalam Perjanjian Baru diajarkan dan ditegaskan oleh Yesus dengan kasih sepanjang hidup dan perbuatan-Nya.

Yesus tidak berkahwin, tidak hidup berkeluarga, kerana Dia tidak mahu membatasi kasih khusus hanya kepada seorang.

Kasih-Nya mutlak kepada semua orang yang mahu dikasihi-Nya. Paulus secara simbolik mengatakan, bahawa Gereja, iaitu segenap umat-Nya, adalah mempelai- Nya yang dikasihi-Nya sepenuhnya (lih. Ef 5:22-33). Kasih penuh dan utuh Kristus kepada umat-Nya.

Apakah pesan utama yang ingin disampaikan kepada kita tentang makna perkahwinan dalam Injil Markus hari ini?
Perkahwinan hendaklah jangan dinilai melalui keindahan majlis perkahwinan. Sebaliknya, yang harus diutamakan ialah kesungguhan dan kesetiaan dalam diri kedua-dua mempelai di hadapan Tuhan untuk saling mengasihi.

Sebab perjanjian atau kontrak rasmi antara manusia dapat dibatalkan, namun janji setia dalam perkahwinan di hadapan Tuhan harus mempersatukan kasih dua orang untuk selamanya.

Yesus menegaskan: “Apa yang dipersatukan Tuhan, tidak boleh diceraikan manusia” (Mrk 10:9). Betapa perlunya bagi setiap orang berusaha untuk mengenal dan meneguhkan diri sebagai manusia yang tulus dan setia.

Hanya dengan kejujuran dan kesetiaan kepada Tuhan, orang akan mampu jujur dan setia juga kepada sesama, khususnya kepada calon teman hidup.

Bila ada kejujuran dan kesetiaan hati di antara kedua-duanya, maka kedua-duanya secara alkitabiah disebut “menjadi satu daging”, yang tak terpisahkan. Sehingga mereka berasa sangat pahit dan sakit apabila mereka dipisahkan satu dari yang lain!

Keluarga juga disebut sebagai “Gereja domestik”, Gereja rumah tangga. Seperti Gereja adalah tanda atau sakramen kasih Tuhan dalam diri Yesus Kristus, demikian juga perkahwinan sebagai “gereja kecil” adalah tanda atau sakramen kasih Kristus.

Kasih antara suami dan isteri, dan antara orang tua dan anak-anak, — itulah yang harus menjadi bukti, tanda, sakramen kasih Tuhan, kasih Kristus di dalam setiap perkawinan Kristiani sejati. --Msgr F.X. Hadisumarta O.Carm.

Total Comments:0

Name
Email
Comments