Persiapan perkahwinan adalah ‘kewajipan keadilan’

Persiapan mencukupi untuk Sakramen Perkahwinan adalah soal keadilan dalam Gereja Katolik, kata Sri Paus Fransiskus dalam dokumen baharu Vatikan untuk paderi dan keuskupan yang bekerja dengan pasangan bertunang.

Jun 17, 2022


TAKHTA SUCI: Persiapan mencukupi untuk Sakramen Perkahwinan adalah soal keadilan dalam Gereja Katolik, kata Sri Paus Fransiskus dalam dokumen baharu Vatikan untuk paderi dan keuskupan yang bekerja dengan pasangan bertunang.

“Oleh itu, pertama sekali, ada kewajipan dengan rasa tanggungjawab bagi mereka yang menyatakan keinginan untuk bersatu dalam perkahwinan, supaya mereka dapat dipelihara daripada trauma perpisahan dan tidak pernah kehilangan kepercayaan dalam cinta,” kata Sri Paus dalam mukadimah dokumen “Perjalanan Katekumenal untuk Kehidupan Berkahwin,” diterbitkan pada 15 Jun.

Buku kecil 97 mukasurat yang disediakan oleh Dikasateri untuk Kaum Awam, Keluarga dan Kehidupan, adalah sarana pastoral untuk uskup, paderi, pasangan suami isteri, dan orang yang bekerja dalam pelayanan keluarga.

Dokumen itu “adalah hadiah dan ia adalah satu tugas,” ujar Fransiskus sambil menekankan bahawa ia menawarkan garis panduan yang harus disesuaikan dengan budaya dan situasi tertentu, dan bukannya dianggap “formula ajaib.”

Persiapan perkahwinan yang teliti adalah kewajipan keadilan bagi Gereja
Dalam kata-kata pembukaannya, Sri Paus Fransiskus menulis bahawa Gereja mempersiapkan selama bertahun-tahun untuk calon-calon keimamatan dan religius, tetapi persiapan perkahwinan pula hanya berlangsung dalam beberapa minggu.

“Oleh itu adalah menjadi kewajipan keadilan bagi Gereja untuk menumpukan masa dan tenaga untuk mempersiapkan mereka yang dipanggil Tuhan untuk misi yang begitu besar sebagai keluarga,” katanya.
Dokumen dalam bahasa Itali dan tidak lama lagi akan dikeluarkan dalam bahasa-bahasa lain, kata Vatikan. Ia disusun dalam tiga peringkat: persiapan perkahwinan, perayaan perkahwinan, dan iringan pada tahun-tahun pertama kehidupan perkahwinan.

“Gereja, pada setiap zaman, dipanggil untuk mewartakan keindahan dan kelimpahan rahmat yang terkandung dalam sakramen perkahwinan khususnya di kalangan kaum muda dan rahmat kehidupan keluarga yang mengalir daripadanya,” kata Bapa Suci Fransiskus.

Beliau menyatakan bahawa pasangan suami isteri membentuk majoriti umat Katolik dan sering menjadi tonggak dalam kehidupan paroki, kumpulan sukarelawan, dan pergerakan dan persatuan Katolik.

Suami isteri adalah penjaga kehidupan
“Ada keperluan yang merasakan keadilan sepatutnya menghidupkan kita. Gereja adalah seorang ibu, dan seorang ibu tidak pilih kasih di kalangan anak-anaknya. Dia tidak melayan anak-anaknya berbeza-beza sebaliknya Gereja sebagai ibu, memberi perhatian sama rata,” jelasnya.

“Mendedikasikan masa adalah tanda cinta: jika kita tidak menumpukan masa kepada seseorang itu maka ia adalah tanda kita tidak mencintai mereka.”

Pasangan suami isteri adalah “penjaga kehidupan,” kata Sri Paus seraya menekankan, “dari keluargalah panggilan untuk keimamatan dan kehidupan yang disucikan dilahirkan; dan keluargalah yang membentuk struktur masyarakat dan kelemahan masyarakat melalui kesabaran dan pengorbanan setiap hari.”

Mengurangkan kegagalan perkahwinan
Memang selama ini timbul kekhuatiran, jika persiapan perkahwinan adalah ala kadar, pasangan akan menghadapi risiko meraikan perkahwinan yang gagal atau mempunyai asas yang terlalu lemah untuk bertahan apabila menghadapi krisis yang tidak dapat dielakkan.

Persiapan perkahwinan adalah ‘kewajipan keadilan’
Dikasteri untuk Kaum Awam, Keluarga dan Kehidupan berkata bahawa buku kecil persediaan perkahwinan adalah satu inisiatif untuk menandakan Tahun Keluarga Amoris Laetitia, yang didedikasikan untuk memperdalam jangkauan pastoral kepada keluarga.

Tahun ini merupakan ulang tahun kelima Amoris Laetitia, ekshortasi kerasulan Sri Paus Fransiskus tentang cinta dalam keluarga. Ia akan berakhir pada 26 Jun, dalam Pertemuan Keluarga Sedunia edisi ke-10, di Roma.

Bagaimana dengan pasangan Katolik yang gagal?
Bapa Suci berkata beliau berharap bahawa dokumen lain akan diterbitkan tidak lama lagi khusus untuk lelaki dan wanita “yang telah mengalami kegagalan perkahwinan mereka dan hidup dalam kesatuan baharu atau berkahwin semula secara sivil.”

Gereja mahu menemani pasangan ini “agar mereka tidak berasa ditinggalkan dan boleh mencari tempat yang mudah diakses dan merasai semangat persaudaraan, diterima dan kembali menyertai komuniti,” tulis Bapa Suci.

Sri Paus Fransiskus mengakhiri kata pengantarnya untuk dokumen “Perjalanan Katekumenal untuk Kehidupan Berkahwin” dengan menggesa para pastor Gereja supaya berani menghadapi tanggungjawab baharu ini. — CNA/media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments