Pertemuan Komisi Liturgi Episkopal Serantau kali ke-25

Perjalanan sinodal konferensi, persiapan Konvensi Pastoral Malaysia 2026 serta semakan buku lagu “Pozoo Noh Kinoingan” adalah antara agenda utama Komisi Liturgi Episkopal Serantau (ERLC) pada Mei 22-24 lalu di Seminari Kolej St Peter, Kucing.

Jun 09, 2023

 

KUCHING: Perjalanan sinodal konferensi, persiapan Konvensi Pastoral Malaysia 2026 serta semakan buku lagu “Pozoo Noh Kinoingan” adalah antara agenda utama Komisi Liturgi Episkopal Serantau (ERLC) pada Mei 22-24 lalu di Seminari Kolej St Peter, Kucing.

ERLC bermesyuarat setiap tahun untuk membincangkan perkara-perkara liturgi, untuk menyelaras, membina jaringan dan berkongsi sumber.

Uskup Sebastian Francis, Presiden ERLC, mengalu-alukan kehadiran semua perwakilan.

Mesyuarat kali ke-25 ini membincangkan maklumat terkini tentang teks Misa dalam Bahasa Malaysia (BM). Uskup Sebastian menerangkan bahawa Konferensi para Uskup Katolik Malaysia,Singapura dan Brunei (CBCMSB) mengakui Alkitab Versi Borneo (AVB) sebagai teks rasmi BM untuk rantau ini.

Prelatus itu memaklumkan bahawa sebuah jawatankuasa telah dibentuk di bawah pemerhatian Uskup Agung Simon Poh dari Kuching, yang menyediakan dan menghantar teks Misa Hari Minggu berdasarkan terjemahan AVB untuk digunakan oleh gereja.

Versi AVB untuk kegunaan Misa, buat sementara ini, dianggap teks liturgi BM yang sah digunakan dan masih terbuka untuk penambahbaikan dan penelitian.

Selepas kitaran lengkap tiga tahun, ERLC akan mempertimbangkan untuk mencetak teks Misa yang rasmi untuk Konferensi para Uskup.

Komiti Liturgi Muzik ERLC- LMC melaporkan bahawa buku nyanyian baru Sing Your Praise To God (SYPG) untuk pemuzik dan koir telah disusun dan sedang dalam proses mencetak. Memandangkan projek SYPG baru telah selesai, ERLC-LMC bercadang untuk memulakan fasa seterusnya iaitu pembangunan muzik liturgi, mengumpul dan menyusun semua lagu yang digubah secara tempatan.

Dilaporkan juga ketiga-tiga diosis Sabah akan bekerjasama untuk menyemak semula buku lagu “Pozoo No Kinoingan” (gabungan BM dan dan lagu Kadazan-Dusun).

Keuskupan lain juga akan menghantar kompilasi lagu-lagu Bahasa kepada kumpulan ini untuk semakan.

ERLC menasihatkan semua keuskupan agar tidak mencetak sebarang buku liturgi BM buat masa ini sehingga semua teks liturgi AVB dimuktamadkan dan diluluskan oleh CBCMSB.

Penetapan liturgi untuk Dis 24
Mesyuarat ini memutuskan liturgi untuk Disember 24, 2023 yang jatuh pada hari Ahad bahawa pada siang hari, umat akan merayakan Hari Minggu Adven keempat Tahun B, manakala liturgi pada sebelah petang akan merayakan Misa Malam Krismas.

Pada akhir pertemuan ke-25 ERLC, diumumkan bahawa Keuskupan Miri akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat ERLC kali ke-26 pada Jun 3-6, 2024.

Total Comments:0

Name
Email
Comments